PEMINDAHAN 43 aset wakaf, termasuk Wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain, ke sebuah hartanah komersial di 11 Beach Road telah menghasilkan pendapatan sejumlah $23.79 juta sejauh ini.
Pendapatan daripada hartanah itu umumnya dihasilkan daripada kegiatan menyewa ruang komersial di bangunan tersebut.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyatakan demikian semasa memberi jawapan bertulis kepada soalan anggota pembangkang Encik Faisal Manap (GRC Aljunied).
Encik Faisal antara lain bertanya mengenai butiran hartanah wakaf di Beach Road itu termasuk keluasan dan pendapatannya.
Memberi perincian tentang wakaf di 11 Beach Road itu, Encik Masagos berkata hartanah wakaf di tapak tanah seluas 714 meter persegi itu merupakan sebuah hartanah komersial setinggi enam tingkat dengan ruang yang boleh disewakan seluas 3,202 meter persegi.
Bangunan itu dibeli hasil daripada penjualan bersama 43 aset wakaf, ujar Encik Masagos.
Pada 22 Jun lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan ia telah memindahkan harta wakaf asal milik Haji Pitchay Meerah Hussain ke sebuah harta komersial dengan tempoh pajakan 999 tahun di 11 Beach Road pada 2002 untuk memenuhi tujuan asal wakaf tersebut.
Dalam kenyataannya itu, Muis berkata bangunan asal yang terletak di No 5 Lorong 9 Geylang, berada dalam keadaan usang dan tidak menjana sebarang pendapatan. Hartanah di 11 Beach Road pula ialah bangunan setinggi enam tingkat.
Encik Masagos dalam jawapan bertulisnya juga menjelaskan bangunan di No 5 Lorong 9 Geylang itu dijual dan dipindahkan ke pihak luar pada tempoh pajakan 199 tahun, di mana pemajak tertakluk pada peraturan pengezonan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Pada tempoh tersebut, wakaf itu bertempat di 11 Beach Road.
“Urusan ini membenarkan wakaf mengembangkan asetnya dalam tempoh jangka panjang.
“Wakaf ini akan mempunyai dua aset pada penghujung tempoh pajakan – perkongsian hasil dari hartanah di 11 Beach Road dan hartanah asal," jelas Encik Masagos.
Dalam pada itu, konsep wakaf Istibdal – yang turut di amalkan di negara Muslim – telah digunakan dalam pemindahan aset harta wakaf ini, ujar Muis.
Muis membuat kenyataan itu menyusuli satu catatan media sosial mengenai pengurusan wakaf Haji Pitchay Meerah Hussain yang telah tersebar dalam talian baru-baru ini yang mendakwa wakaf tersebut telah di uruskan secara salah oleh Muis.
Catatan itu juga diiringi gambar sebuah kuil Cina yang dikatakan berada di alamat asal wakaf tersebut.
Dalam kenyataan yang diterbitkan di laman webnya, Muis berkata dakwaan itu ada lah palsu. Ia juga berkata ia sedang berusaha menghubungi ahli keluarga wakif yang masih hidup untuk meyakinkan mereka bahawa hasrat wakif masih lagi ditepati dan niat yang lebih meluas di sebalik penciptaan Wakaf akan terus dipenuhi.
“Muis menilai bahawa ini merupakan alternatif terbaik dan paling dekat untuk memenuhi keperluan wakif, memandangkan harta asal tidak lagi dapat digunakan sebagai madrasah.
“Muis berpendapat bahawa jika dibiarkan dalam keadaan dan lokasi asalnya, niat wakif untuk membuat wakaf tidak dapat dicapai,” jelas Muis.
Wakif ialah orang yang meninggalkan wakaf. Setelah pemindahan ke bangunan enam tingkat itu, Muis berkata ia mampu meng agihkan hasil daripada wakaf ke madrasah sepenuh masa, sesuai dengan niat asal wakif.
Menurut Muis, sepanjang tujuh tahun lalu, wakaf tersebut telah mengagihkan lebih $200,000 kepada Madrasah Al-Maarif, Madrasah Alsagoff dan Madrasah Wak Tanjong.
Di bawah Undang-Undang Pentadbiran Islam (Amla), Muis ditugaskan untuk meng uruskan semua wakaf di Singapura untuk memastikan bahawa harta wakaf kekal berdaya maju dan pulangan dimaksimumkan bagi penerima yang dimaksudkan.
Ini dilakukan di bawah nasihat Jawatankuasa Fatwa yang telah memberi bimbi ngan berhubung kebolehlaksanaan pemba ngunan semula wakaf serta pemindahan aset, yang dikenali sebagai wakaf istibdal, kata Muis.
Wakaf istibdal juga diamalkan di negara-negara Islam lain, sebagai strategi untuk memastikan objektif asal wakaf dicapai.