PEMULIHAN ekonomi daripada pandemik Covid-19 tidak harus mengakibatkan lebih banyak kerosakan kepada alam sekitar, kata Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.
"Apec (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) sebagai satu wadah berbilang hala di rantau ini, perlu menerapkan saranan dalam agendanya untuk mempromosikan kemampanan sekitaran," kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua Pendidikan.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Apec yang ke-32 di New Zealand kelmarin.
Dalam ucapannya, Dr Maliki berkata Singapura telah melancarkan Pelan Hijau 2030, yang melakar strategi negara ini ke arah pembangunan mampan dan pengeluaran karbon sifar bersih.
Namun, usaha melindungi sekitaran memerlukan kerjasama di peringkat setempat, serantau dan global, ujar Dr Maliki lagi.
Di mesyuarat itu, Dr Maliki turut menekankan bahawa kerjasama antarabangsa kekal penting dalam persediaan, pencegahan dan respons pandemik, serta memastikan kesalinghubungan rantai bekalan.
"Kami perlu bersiap sedia sekarang bagi pandemik seterusnya," kata Dr Maliki.
Justeru, usaha yang dilakukan Apec dalam memperkukuh daya tahan rantai bekalan dan membangun protokol pelancongan yang selamat harus diteruskan, tambah Dr Maliki.
Beliau turut menarik perhatian tentang kepentingan kesediaan digital.
Bagaimanapun, transformasi digital adalah menjangkau teknologi baru dan peralatan. Bahkan, ia boleh memperkasa orang ramai dan meningkatkan kehidupan mereka, kata Dr Maliki.
Oleh itu, usaha merapatkan jurang digital dan meningkatkan kemahiran digital boleh menyediakan lebih banyak peluang bagi orang ramai untuk meraih manfaat daripada ekonomi digital.
Pada masa yang sama, terdapat keperluan untuk memupuk kerjasama serantau dan antarabangsa dalam memperkukuh kebolehan untuk saling kendali antara pelbagai rejim dan standard, agar perniagaan boleh beroperasi dengan mudah antara sempadan.
Oleh itu, Singapura sedang membangun kerjasama digital bersama beberapa ekonomi Apec, seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Digital dengan Chile dan New Zealand, serta Perjanjian Ekonomi Digital dengan Australia.
Di Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) pula, Australia, Jepun dan Singapura merupakan penganjur bersama Inisiatif Kenyataan Bersama E-Dagang, yang bertujuan untuk mewujudkan peraturan perdagangan untuk mengurus bidang yang baru muncul ini.
Ini berfungsi sebagai asas penting dalam prasarana global yang lebih besar, yang akan memperkasakan ekonomi dan rakyat pelbagai negara untuk bersedia menghadapi revolusi digital, kata Dr Maliki.