Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penangkapan jurutera satu peringatan ideologi radikal mudah tersebar di media sosial

Sep 14, 2018 | 05:30 AM



Media sosial boleh disalah guna sehingga boleh mempengaruhi individu untuk berfahaman radikal. Demikian yang berlaku ke atas seorang jurutera teknologi maklumat (IT) yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lalu kerana menyokong ISIS. Bagaimanakah seorang jurutera boleh terpengaruh dengan fahaman radikal dalam talian itu? Apakah langkah untuk membendung fahaman tersebut dari menular? NORHAIZA HASHIM (norhaiza@sph.com.sg), ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) menemuramah beberapa pengamat, pemimpin masyarakat dan asatizah bagi mendapat pandangan mereka.



PENANGKAPAN seorang jurutera teknologi maklumat (IT) kerana menjadi radikal sendiri bulan lalu merupakan satu peringatan bahawa ancaman ideologi radikal mudah disebarkan menerusi media sosial.



Bahkan, pengaruh ideologi radikal itu tidak mengenal latar belakang seseorang kerana ia boleh juga mempengaruhi sesiapa sahaja termasuk golongan karyawan.



Demikian menurut para pemimpin masyarakat dan asatizah ketika memberi pandangan dan reaksi terhadap penangkapan terbaru itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



Ahmed Hussein Abdul Kadir Sheik Uduman, 33 tahun, seorang warga Singapura, ditahan di bawah ISA kerana berhasrat menyertai konflik bersenjata di Syria dan menyokong ISIS.



Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), daripada mendapat maklumat agama dari asatizah atau guru agama yang berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), Ahmed Hussein sebaliknya mendapat maklumat keagamaan di Internet.



Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ustaz Dr Leyaket Ali berkata pentingnya menuntut ilmu agama dari sumber yang boleh dipercayai.



Sebagai sebuah negara yang mempunyai bilangan pengguna Internet tertinggi, ia bermakna maklumat yang luas boleh diperolehi dengan mudah di Internet.



"Kita harus melatih diri kita untuk sentiasa kritikal terhadap sebarang maklumat diperolehi. Pada masa sama, kita harus melatih anak-anak kita yang masih bersekolah mengenai kemahiran pemikiran kritikal terutama dalam menggunakan Internet, agar dapat membezakan dari yang baik dengan yang buruk. Ia juga penting menanyakan mereka yang bertauliah dan pakar dalam bidang mereka, bukan seorang sahaja tetapi seberapa ramai orang," kata Ustaz Dr Leyaket.



Penahanan Ahmed Hussein, seorang jurutera IT, menunjukkan beliau mempunyai pekerjaan yang baik tetapi masih dipengaruhi dengan fahaman songsang.



"Ia menunjukkan pemikiran radikal tidak mengenal usia, kerjaya dan pangkat. Sesiapa sahaja boleh terperangkap dalam ideologi begitu kerana pengedaran maklumat yang tidak tepat dan berat sebelah," kata Zamil Penyelidikan Bersekutu Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Ustaz Mustazah Bahari.



Bersetuju dengan pandangan tersebut, Dr Mustafa Izzuddin, Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, berkata seorang yang terpelajar juga tidak terkecuali dari dipengaruh dengan fahaman radikal.



"Ia tidak lagi benar hanya mereka yang kurang pelajaran menjadi radikal. Ini kerana individu yang radikal dipengaruh oleh ideologi ekstrem yang diuar-uarkan oleh pensyarah berfahaman radikal dan diperluaskan lagi melalui media sosial," kata beliau.



Melalui media sosial, Ahmed Hussein bukan sahaja mengekalkan talian hubungan dengan individu lain dari luar negara yang menyokong ISIS tetapi lebih buruk lagi, dia cuba mempengaruhi rakan-rakan dalam talian lain dari luar negara untuk mengikuti ajaran pengganasan dengan harapan mereka menyertainya dalam menyokong ISIS.



Penahanan terbaru itu menunjukkan ancaman radikal diri dan keganasan masih berleluasa, meningkatkan kepentingan bagi masyarakat untuk sentiasa berwaspada jika terdapat kenalan atau anggota keluarga yang menunjukkan tanda-tanda radikal.



Ia merupakan satu tanggungjawab masyarakat untuk merujuk individu tersebut kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), RRG atau polis.



Muis pula ingin mengingatkan masyarakat Islam untuk mencari ilmu pengetahuan daripada sumber yang boleh dipercayai, "khususnya daripada asatizah atau guru agama yang berdaftar di bawah ARS, yang dibimbing Kod Etika ARS."



Manakala itu, Pengarah Eksekutif Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Mohd Anuar Yusop, menambah sebagai anggota Kumpulan Jagaan Susul Antara Agensi (ACG), AMP prihatin mengenai penahanan Ahmed Hussein dan ia menunjukkan pentingnya usaha diteruskan untuk berinteraksi dengan semua lapisan dalam masyarakat bagi memastikan setiap warga memainkan peranan menangani ancaman radikal.



"Kita akan teruskan usaha bekerjasama dengan rakan-rakan dan pemerintah untuk mendekati lebih ramai anggota masyarakat bagi mengekang ia berlaku di masa hadapan," katanya.



ACG terdiri daripada badan bukan pemerintah (NGO) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk kaunseling, bantuan kewangan, mencari pekerjaan buat pasangan tahanan, dan bantuan pendidikan bagi kanak-kanak bersekolah.




"Pemikiran radikal tidak mengenal usia, kerjaya dan pangkat. Sesiapa sahaja boleh terperangkap dalam ideologi begitu kerana pengedaran maklumat yang tidak tepat dan berat sebelah."
- Zamil Penyelidikan Bersekutu Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Ustaz Mustazah Bahari



"Ia tidak lagi benar hanya mereka yang kurang pelajaran menjadi radikal. Ini kerana individu yang radikal dipengaruh oleh ideologi ekstrem yang diuar-uarkan oleh pensyarah berfahaman radikal dan diperluaskan lagi melalui media sosial."
- Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak Dr Mustafa Izzuddin Awas tanda radikal



"Kita harus melatih diri kita untuk sentiasa kritikal terhadap sebarang maklumat diperolehi. Pada masa sama, kita harus melatih anak-anak kita yang masih bersekolah mengenai kemahiran pemikiran kritikal terutama dalam menggunakan Internet, agar dapat membezakan dari yang baik dengan yang buruk. Ia juga penting menanyakan mereka yang bertauliah dan pakar dalam bidang mereka, bukan seorang sahaja tetapi seberapa ramai orang."
- Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ustaz Dr Leyaket Ali




SALURAN BANTUAN



Ada persoalan berkaitan konsep dan ideologi agama? Berikut khidmat pertolongan yang disediakan



Rangkaian Belia Asatizah (AYN)



Sertai sesi bimbingan bersama asatizah Rangkaian Belia Asatizah (AYN) di Masjid Al-Falah di Orchard Road. Buat janji temu di talian 6235-3172.



Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)



Anda juga boleh menghubungi talian bantuan RRG di 1800-7747-747 atau menerusi aplikasi RRG. Orang ramai juga boleh melungsuri laman www.rrg.sg.




Awas tanda radikal



  • Melahirkan kepercayaan bahawa pengganasan boleh digunakan serta meluahkan sokongan kepada pengganas dan perjuangan mereka.

  • Cuba pengaruhi orang lain agar menyokong atau libatkan diri dalam pengganasan atau kedua-duanya sekali.

  • Paparkan lencana atau lambang yang menyokong kumpulan pengganas.

Orang ramai digesa melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengenali sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda radikalisasi. Hubungi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di 1800-2626-473.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >