Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pencapaian tiga beradik 'hadiah' kepada ibu bapa

Sep 03, 2019 | 05:30 AM



Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) mengadakan Acara Anugerah Biasiswa LBKM pada 26 Ogos lalu dan telah menyampaikan lima biasiswa berbeza. Selama 10 tahun, ia telah memberi Biasiswa Berprestij kepada penuntut sarjana dan pascasiswazah Melayu/Islam. Bagi mahasiswa, biasiswa tersebut dibuka kepada penuntut di 10 universiti teratas dunia, berdasarkan senarai TIMES Pendidikan Lanjut & Quacquarelli Symonds. Seramai 25 penerima menerima biasiswa LBKM - Biasiswa Berprestij, Merit, Ekonomi Masa Depan dan Ikonik - tahun ini. Wartawan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) melaporkan.



SEORANG bakal menjadi doktor, seorang lagi akan memulakan pengajian Sarjana bidang Antropologi Sosial sementara yang lagi satu pula bakal menjadi doktor gigi.



Ibu bapa mana yang tidak akan berbangga melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang pilihan masing-masing di universiti-universiti terkemuka dunia.



Itulah kejayaan yang berjaya dicatat oleh anak kepada pasangan Encik Yusoff Mohamed Noor, 55 tahun, seorang jurutera dan isteri, Cik Sri Haryati Abdul Hamid, 53 tahun, guru sekolah menengah.



Bagi ketiga-tiga anak pasangan itu - Encik Muhammad Ashraf Yusoff, Cik Aisyah Yusoff dan Cik Dinah Yusoff - itulah 'hadiah' kepada kedua orang tua yang telah banyak berkorban demi menyediakan masa depan yang cerah bagi mereka.



Encik Ashraf, 26 tahun, merupakan mahasiswa Tahun Keenam bidang perubatan di University College London (UCL); Cik Aisyah, 23 tahun, bakal memulakan pengajian sarjana falsafah dalam bidang antropologi sosial di Universiti Cambridge bulan depan; sementara Cik Dinah, 22 tahun, sedang mengikuti pengajian pergigian di King's College London.



Ketiga-tiga beradik itu merupakan penerima biasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).



Ditemui baru-baru ini, Encik Ashraf menjelaskan bahawa niat untuk menyambung pengajian di luar negara memang sudah terpendam dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.



"Bapa saya selalu beritahu bahawa bila kita sudah dewasa, kita perlu lihat dunia dan menjalani kehidupan sendiri di luar negara.



"Bila kita di Singapura, kita hanya melihat sebahagian dunia, dan kehidupan di sini amat baik tetapi jika kita perlu hidup sendirian di negara orang, banyak yang kita pelajari tentang orang lain dan diri kita sendiri," ujar bekas pelajar Raffles Institution (RI) dan Maktab Rendah Raffles (RJC) itu.



Beliau berada di tahun akhir pengajiannya dan dijangka tamat pengajian pada Julai 2020.



Berminat dalam pengkhususan perbidanan dan sakit puan serta pediatrik (kanak-kanak), Encik Ashraf berkata beliau akan pulang ke Singapura setelah itu untuk memulakan kerjayanya di sini.



Beliau menerima Biasiswa Berprestij LBKM bernilai $10,000 - iaitu kali keenam biasiswa tersebut diberikan kepadanya.



Sementara itu, kedua adik perempuannya pula menerima Biasiswa Merit LBKM - Cik Aisyah menerima $7,500 sebagai penuntut pascasiswazah, sementara Cik Dinah menerima $5,000 sebagai mahasiswa.



Cik Aisyah juga merupakan valediktorian Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Julai lalu dan telah menerima Anugerah Cendekiawan Koh Boon Hwee.



Anugerah itu diberikan kepada pelajar terbaik NTU yang telah meraih prestasi akademik cemerlang, memaparkan sifat kepimpinan tinggi, menyumbang kepada masyarakat dan menjadi contoh kepada pelajar lain.



Menyentuh keputusannya melanjutkan pelajaran dalam Antropologi Sosial, bekas pelajar Maktab Rendah Nasional (NJC) yang telah mengikuti Program Bersepadu (IP) itu berkata:



"Ia memberi tumpuan lebih terhadap penyelidikan kualitatif dan ini merupakan apa yang ingin saya buru di masa hadapan."



Beliau, yang bercita-cita menyertai bidang akademik, berhasrat meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) pula selepas tamat pengajian sarjananya di Cambridge.



Namun, di sebalik semua yang berjaya dikecapi sehingga kini, adik-beradik tersebut tetap rendah hati dan mahu mengenang budi baik orang yang telah membantu mereka mencapai aspirasi masing-masing.



Encik Ashraf dan Cik Aisyah hadir bagi Majlis Anugerah Biasiswa LBKM 2019 yang diadakan Ogos lalu di Orchard Hotel Singapore.



Adik mereka, Cik Dinah tidak dapat hadir kerana sedang berada di United Kingdom (UK).



"Menerima biasiswa ini pertama, merupakan satu berkat, dan kedua pada saya ia merupakan amanah.



"Hakikat bahawa saya telah menerima (biasiswa ini) daripada pemberi yang sangat murah hati mengingatkan saya bahawa saya perlu memberi balik kepada masyarakat," kata Encik Ashraf.



"Sepanjang enam tahun ini, bila ada masa susah, saya selalu ingat ada sesuatu yang lebih besar yang perlu saya capai untuk masyarakat Melayu, sekurang-kurangnya berusaha sebaik mungkin untuk mengharumkan nama masyarakat Melayu/ Islam," tambah beliau.




"Bapa saya selalu beritahu bahawa bila kita sudah dewasa, kita perlu lihat dunia dan menjalani kehidupan sendiri di luar negara. Bila kita di Singapura, kita hanya melihat sebahagian dunia, dan kehidupan di sini amat baik tetapi jika kita perlu hidup sendirian di negara orang, banyak yang kita pelajari tentang orang lain dan diri kita sendiri."
- Encik Muhammad Ashraf Yusoff.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >