ISI rumah Singapura boleh mendaftar bagi mendapatkan sebotol ubat kumur mulut StayWell mulai Isnin lalu (15 November) hingga 10 Disember.
Ubat kumur mulut povidone-iodine (PVP-I) yang membunuh kuman yang menyebabkan sakit tekak akan diedarkan di bawah Inisiatif Kekal Bersedia Yayasan Temasek yang bertujuan mengurangkan penyebaran penyakit.
Isi rumah yang berminat boleh menempah slot bagi mendapatkan botol ubat kumur mulut 250ml dan cawan ukuran 25ml di laman https://stayprepared.sg/staywell/register/
Isi rumah yang berdaftar boleh mendapatkan ubat kumur mulut itu di lokasi yang diinginkan mulai 22 November dengan 12 Disember, bergantung pada bekalan ubat kumur tersebut.
Seandainya permintaan mengatasi jangkaan, pusingan kedua di mana orang ramai boleh mendapatkan ubat kumur itu sendiri boleh diadakan selepas tempoh Tahun Baru Cina, Februari depan, jelas Yayasan Temasek.
Inisiatif terkini oleh yayasan itu menyusuli edaran pelitup, sanitiser tangan dan oksimeter sepanjang 18 bulan lalu.
Penduduk boleh menggunakan ubat kumur itu dua hingga empat kali sehari apabila mereka terasa akan mengalami sakit tekak atau bagi kebersihan oral umum.
Ubat kumur mulut PVP-I ini adalah cecair coklat yang cepat bertindak menentang patogen dan dihasilkan untuk mengkumur mulut dan tidak harus ditelan.
Bukti daripada beberapa kajian menunjukkan PVP-I boleh mengganggu kaitan pada Sars-CoV 2- virus yang menyebakan Covid-19 - kepada tisu oral dan salur udara nasofarinks serta mengurangkan jumlah partikel virus dalam air liur dan titisan saluran pernafasan.
Yayasan Temasek menasihati orang ramai terdapat bahan cecair penyahjangkit PVP-I yang tersedia di pasaran dan digunakan bagi menyahjangkit luka atau permukaan kulit. Ini tidak harus digunakan sebagai ubat kumur mulut kerana ia mungkin mengandungi bahan penyahjangkit lain atau mempunyai konsentrasi PVP-I lebih tinggi.