FASA seterusnya bagi pendaftaran Darjah 1 di Singapura akan bermula 9 pagi dan akan berakhir 4.30 petang hari ini.
Fasa 2A (1) adalah bagi ibu bapa yang merupakan alumni atau anggota jawatankuasa pengurusan atau penasihat sekolah itu.
Terdapat kemungkinan pengundian akan berlaku pada fasa ini apabila sebuah sekolah menerima lebih banyak permohonan berbanding tempat yang ditawarkan.
Tahun lalu, empat sekolah popular perlu melakukan pengundian semasa fasa ini. Ini termasuk Sekolah CHIJ St Nicholas Girls, Sekolah Rendah Nan Hua, Rosyth School dan Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian.
Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengumumkan keputusannya melalui SMS pada 13 Julai.
Seperti tahun lalu, pendaftaran dijalankan dalam talian sepenuhnya kerana Covid-19.
Bagi Fasa 2A (1), ibu bapa boleh mendapatkan borang pendaftaran di laman web MOE.
Ini merupakan pendaftaran fasa kedua tahun ini.
Fasa 1 yang dijalankan pada 30 Jun hingga Khamis minggu lalu, diperuntukkan bagi kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik yang lebih tua yang sudah mendaftar di sekolah itu.
Terdapat tujuh sekolah rendah yang telah memenuhi lebih dari separuh tempat Darjah 1 yang disediakan dari fasa ini.
Daripada 181 sekolah rendah, 50 telah memenuhi sekurang-kurangnya 40 peratus dari tempat yang disediakan.
Sekolah rendah yang mempunyai permohonan paling banyak dalam fasa tersebut adalah Sekolah Rendah Horizon di Punggol, dengan 138 dari 240 tempat Darjah 1, iaitu 57.5 peratus, diisi.
Terdapat tujuh fasa secara keseluruhan dan latihan pendaftaran ini akan berlangsung sehingga Oktober.