PENDAFTARAN kereta atau teksi diesel baru tidak akan dibenarkan di Singapura mulai 2025.
Demikian diumumkan Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung, semasa debat belanjawan mengenai rancangan pemerintah dalam memulihara sekitaran pada Khamis (4 Mac), lapor akhbar The Straits Times (ST).
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah dalam membawa masuk kenderaan yang dilengkapi enjin yang lebih bersih.
Encik Ong berkata, pengeluaran daripada kenderaan di Singapura, menyumbang sekitar 6.4 juta tan Karbon Dioksida setiap tahun.
Jika kenderaan ringan - termasuk kereta dan teksi - dilengkapi enjin elektrik, Encik Ong berkata "pengeluaran karbon secara keseluruhan akan menjadi sekitar 1.5 juta tan setiap tahun."
"Pengeluaran ini adalah sekitar empat peratus pengeluaran negara secara keseluruhan - ini bukan sesuatu yang tidak signifikan," tambah beliau sambil berkata terdapat penjimatan karbon sekitar 50 peratus sekiranya pemandu berpindah menggunakan kenderaan elektrik, "meskipun kuasa elektrik itu dihasilkan menerusi bahan bakar fosil."