Subuh
5:33
Syuruk
6:56
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
6:59
Isyak
8:14
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pendamaian wajib hurai 90% tuntutan nafkah dari anak tanpa tindakan guaman

Dec 05, 2022 | 05:30 AM



SEKITAR 90 peratus daripada permohonan ibu bapa yang menuntut nafkah daripada anak di bawah Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa dihuraikan tanpa perlu mengambil tindakan guaman.



Ini hasil daripada pendekatan pendamaian wajib yang perlu dilalui ibu bapa dan anak terlebih dahulu untuk cuba mengekalkan ikatan keluarga, menurut Kumpulan Kerja bagi Semakan Akta Penyaraan Ibu Bapa.



Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA) membolehkan warga emas memerlukan menuntut nafkah daripada anak yang mampu menyokong ibu bapa tetapi tidak berbuat demikian.



Sejak Mac 2011, ibu bapa yang membuat permohonan menuntut nafkah daripada anak diwajibkan menjalani proses pendamaian bersama anak mereka di pejabat Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa (CMP) untuk membantu mereka menghuraikan isu penyaraan tanpa perlu mengambil tindakan guaman.



CMP ialah wadah bukan guaman.



Pesuruhjaya itu membantu menjalankan sesi pendamaian bagi ibu bapa dan anak mereka supaya mencapai persetujuan mengenai sumbangan kewangan yang perlu diberikan kepada ibu bapa setiap bulan.



Jika ibu bapa dan anak bersetuju, pesuruhjaya itu mungkin merujuk mereka kepada pusat perkhidmatan keluarga bagi huraian konflik atau kaunseling, atau Pusat Perantaraan Masyarakat bagi perantaraan.



Objektifnya adalah mengatasi masalah dan mencapai persetujuan yang boleh diterima kededua pihak.



Pendekatan pendamaian ini merupakan antara perubahan utama yang dilaksana setelah MPA dipinda pada 2010.



Jika proses pendamaian di CMP tidak berjaya, ibu bapa boleh menimbangkan untuk memfailkan permohonan di Tribunal Penyaraan Ibu Bapa (TMP) pula untuk menuntut nafkah daripada anak mereka.



TMP ialah badan bebas berfungsi kuasi-kehakiman (quasi-judicial) di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keluarga (MSF) untuk mendengar dan memutuskan permohonan di bawah MPA.



Warga emas boleh memohon bagi arahan penyaraan di tribunal, jika mereka berusia 60 tahun dan ke atas, bermastautin dan duduk di Singapura, dan tidak mampu menyara diri mereka dari segi kewangan.



Arahan pemberian nafkah yang dikeluarkan tribunal itu boleh dikuatkuasa oleh Mahkamah Keadilan Keluarga.



Pada Januari 2022, MSF berkata pendekatan pendamaian telah memberi hasil positif, dengan bilangan kes warga emas yang akhirnya memfailkan untuk mendapatkan arahan nafkah di tribunal itu, merosot daripada purata 170 setiap tahun (dari 2008 hingga 2010) kepada 86 (dari 2011 hingga 2013) dan kekal stabil pada sekitar 30 kes setiap tahun sejak 2017.



"Kemerosotan itu disebabkan proses pendamaian dipertingkat di CMP, yang mempunyai kadar huraian sekitar 90 peratus daripada lebih 2,000 permohonan yang diterima sejak Mac 2011," kata MSF dalam kenyataannya sebelum ini.



Dalam mempertimbangkan kes tuntut nafkah, tribunal mempertimbangkan beberapa faktor termasuk kemampuan ibu bapa untuk meraih pendapatan, simpanan mereka, serta keperluan asas dan perubatan.



Tribunal itu juga melihat kemampuan anak untuk memberi nafkah, mengambil kira faktor seperti gaji, keupayaan meraih pendapatan, hartanah, perbelanjaan untuk keluarga, serta sumbangan yang sudah diberikan kepada ibu bapa.



Tribunal itu juga mengambil kira jika ibu bapa itu telah mendera, mengabaikan atau meninggalkan anak itu.



Ini sedang sekitar satu dalam empat kes yang difail di CMP, dan sekitar satu dalam tiga kes di TMP melibatkan ibu bapa yang didakwa mendera, mengabaikan atau meninggalkan anak mereka.



Baru-baru ini, Kumpulan Kerja bagi Semakan Akta Penyaraan Ibu Bapa menyarankan beberapa pindaan kepada MPA untuk mencapai keseimbangan lebih baik antara melindungi anak daripada penyalahgunaan akta itu, dan melindungi warga emas yang mudah terjejas.



Kumpulan kerja itu merancang membentangkan pindaan itu tahun depan sebagai Rang Undang-Undang Persendirian.



Ini bermakna Anggota Parlimen biasa, bukan pemegang jawatan politik, yang akan memperkenalkan rang tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >