SEJAK dua hari lalu, Syed Alwi Syed Hassan hanya mampu membawa pulang sekitar setengah daripada pendapatan yang biasa diraihnya dalam sehari sebagai pemandu teksi.
Malah, keadaan terkini seolah-olah membawanya kembali ketika tempoh pemutus litar tahun lalu.
"Sekarang ini boleh dikatakan hampir serupa dengan tahun lalu apabila penduduk Singapura dikenakan larangan perjalanan.
"Pendapatan kami sebagai pemandu teksi sekali lagi terjejas teruk. Selepas memandu berpusing-pusing di sekitar negara selama hampir sejam, saya mungkin hanya dapat seorang penumpang sahaja - itu pun mereka akan ke tempat berdekatan," kata Syed Alwi, 64 tahun.
Menurut beliau yang sudah memandu teksi selama enam tahun, sejak Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) diperkenalkan Ahad lalu, pendapatan sehariannya sukar untuk menjangkaui lebih $100.
Ini selepas beliau memandu selama hampir lapan jam, bermula pada 6 pagi.
"Kalau dulu, saya boleh membawa pulang sekitar $120 dalam sehari, selepas tolak duit sewa dan minyak. Kalau sekarang, $70 dah kira memadai," ujarnya.
Menurut beliau pengumuman pemerintah mengenai langkah pengurusan selamat yang diperketat ini bagaikan datang mendadak dan justeru tidak banyak masa yang diberikan kepada pemandu teksi membuat penyesuaian.
Keadaan kini turut membuat Syed Alwi risau sekiranya pemandu penggantinya mengambil keputusan untuk berhenti.
"Kalau beliau berhenti bermakna saya perlu bekerja lebih banyak masa agar dapat membayar duit sewa teksi ini, dan kalau saya tidak mampu lagi bertahan, mungkin juga saya perlu berhenti bekerja," akui Syed Alwi.
Namun datuk kepada dua orang cucu berusia lapan dan lima tahun itu, bersyukur mujur terdapat bantuan yang diberikan daripada syarikat pengendali Comfort Delgro kepada penyewa teksinya buat masa ini.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bantuan daripada segi potongan harga sewa sebanyak 50 peratus hingga 13 Jun nanti masih belum mencukupi.
Ini kerana harga minyak masih menjadi bebanan kepada setiap pemandu teksi menurut Syed Alwi.
"Harga minyak pun semakin meningkat, jadi bantuan itu masih belum dapat membantu kami sepenuhnya.
"Kalau boleh, kami berharap dapat potongan harga sewa kereta sebanyak 100 peratus, tetapi itu terpulang juga kepada syarikat pengendali teksi," ujarnya.