PENDEKATAN Singapura dalam melarang ucapan yang menyinggung perasaan mengenai kaum, tetapi tidak melarang perkongsian pendapat mengenai perkara ini, melindungi kaum minoriti, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang K. Shanmugam.
Dengan adanya perlindungan seperti itu, kaum minoriti boleh berasa selamat untuk membincangkan tentang pengalaman mereka.
Kata Encik Shanmugam lagi, jika ucapan yang menyinggung perasaan semua orang ditoleransi atau dibolehkan, lebih banyak ucapan seperti itu mungkin ditujukan kepada masyarakat minoriti.
Encik Shanmugam berkata demikian di Parlimen pada Isnin (5 Julai) dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Cik Raeesah Khan (GRC Sengkang).
Cik Raeesah telah bertanya apakah undang-undang menentang ucapan kebencian perkauman di sini sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa langkah untuk mencegah ucapan perkauman tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk mengekang luahan tentangan terhadap ketidakadilan atau ketidakpuasan misalnya.
Undang-undang Singapura terhadap kebencian perkauman dan ucapan yang menyinggung perasaan itu selaras dengan saranan itu, kata Encik Shanmugam.
Katanya, di bawah Kanun Keseksaan, tindakan yang sengaja melukai perasaan perkauman mana-mana orang, mempromosikan permusuhan antara pelbagai kumpulan kaum atau melakukan perkara yang menjejas keharmonian kaum, merupakan kesalahan.
"Undang-undang itu sama untuk semua orang, tidak kira kaum," kata Encik Shanmugam.