Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Penderma boleh dapatkan wang semula susuli pemergian Rayyan

Setempat
27
0

KEMPEN WISH FOR RAYYAN

Penderma boleh dapatkan wang semula susuli pemergian Rayyan

Jan 06, 2021 | 05:30 AM

PENDERMA yang menyumbang kepada kempen mengumpul dana bagi pesakit atrofi otot spina, Allahyarham Rayyan Qush, menerusi platform kumpul dana awam, Give.asia dan GoGetFunding, boleh mendapatkan wang mereka semula.

Kedua-dua platform ini mengumpulkan sekitar $500,000 daripada penyumbang Singapura dan luar negara bagi memenuhi biaya preskripsi rawatan terapi Zolgensma dari Amerika Syarikat, yang menelan belanja $3.1 juta.

Penyakit Rayyan itu berpunca daripada pupusnya sel saraf yang dipanggil neuron motor yang mengawal pergerakan otot.

Kempen Wish For Rayyan berjaya mengumpulkan $1.1 juta dengan baki wang terkumpul daripada derma orang perseorangan, persembahan amal dalam talian yang diusahakan pelakon Nick Mikhail serta jualan amal di Facebook Live.

Menyusuli pemergian Rayyan yang berusia setahun dua bulan dalam tidur pada 1 Januari lalu, ibunya Cik Nurdiana Rohop, 32 tahun, dan pentadbir Kempen Wish For Rayyan telah menerima pertanyaan beberapa penderma yang ingin wang mereka dikembalikan.

Pihak Give.asia telah dihubungi dengan penderma menerusi wadah ini diminta memohon wang balik menerusi platform tersebut di laman http: //give.asia/campaign/save-rayyan-with-spinal-muscular-atrophy#/updates.

Tarikh akhir permohonan ialah 11 Januari ini.

Selepas tarikh tersebut, baki wang dalam dana sejumlah $153,353 (sebelum potongan cukai) yang tidak dipulangkan kepada penderma akan disalur kepada sekurang-kurangnya empat kempen lain yang tersenarai di pelantar Give.asia.

Memandangkan platform GoGetFunding yang mengumpulkan $345,364 adalah laman global yang berpangkalan di luar negara, prosesnya lebih sulit dan memakan masa.

Bagaimanapun, pulangan wang boleh dimohon dengan mengirim e-mel kepada pentadbir kempen di alamat e-mel emilia.nathasha@ gmail.com dengan subjek 'Refund for WishForRayyan Campaign - GoGetFunding'.

E-mel juga boleh dikirimkan jika anda menderma menerusi PayNow atau pindahan wang daripada bank.

Nama penuh, jumlah yang didermakan serta e-mel yang digunakan bagi menderma kepada kempen ini perlu disertakan.

Tarikh akhir permohonan ialah 11 Januari.

Kesemua keterangan ini diperolehi di laman Instagram kempen 'Wish For Rayyan'. 

Pentadbir kempen menulis di Instagram tersebut:

"Kami sedang menyelaras semua permintaan penderma yang ingin wang derma mereka semula. Wang akan dipindahkan dalam tempoh tujuh hari selepas 11 Januari.

"Baki wang dalam dana ini pula akan didermakan kepada golongan memerlukan. Kami juga telah mengenal pasti beberapa keluarga dan individu yang boleh dibantu.

"Terima kasih buat mereka yang ingin derma disalurkan bagi keperluan abang-abang Rayyan."

Sementara itu, konsert digital #WishForRayyan yang dikendalikan Favtech Media dengan kerjasama Fortress Events dan Voz Management pada 12 Februari ini juga dibatalkan.

"Bakat Singapura termasuk Datuk Ramli Sarip sudah bersedia menyumbang kepada acara ini. Takdir sudah tertulis. Moga anak syurga ini dalam jagaan Allah dan doa kami buat keluarganya," jelas penganjur konsert, Encik Khairul Ilham.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3