Pendidik, artis bergabung hasil lagu S'pura bagi pelajar

BUAT pertama kalinya, 19 pendidik dan artis telah bergabung untuk menghasilkan 12 lagu baru bagi pelajar di bawah projek "Stories We Sing".

Satu kerjasama antara Akademi Guru-Guru Singapura bagi Seni (Star) di bawah Kementerian Pendidikan (MOE) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), projek tersebut bertujuan mempertingkat kualiti pembelajaran muzik dan pembelajaran di sekolah dengan menghasilkan lagu kontemporari yang mempunyai sentuhan unik berkaitan Singapura.

Projek "Stories We Sing" merangkumi penghasilan cakera padat (CD), penerbitan buku yang mengandungi lirik lagu dan 50 set idea pembelajaran yang direka khas oleh guru muzik.

Lagu itu akan digunakan sebagai bahan tambahan bagi menyokong pembelajaran dalam kelas.

Antara lagu Melayu yang diketengahkan termasuk lagu 'Bendera Kita' yang liriknya ditulis Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Cikgu Noh Daipi; Guru Pakar, Cikgu Muhamad Rafi Abu Bakar dan Guru Kanan Cikgu Fauziah Muhamad Fadzillah.

Ia digubah oleh penyanyi dan komposer, Cik Sarah Ismail.