Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: TEKAD BERJAYA

Pendidik yang jadikan pelajar bak 'tetamu hotel'

Penerima Anugerah Jurulatih bagi Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET)
Oct 30, 2021 | 05:30 AM



KERJA keras dan kegigihan boleh disifatkan sebagai sebahagian daripada nilai hidup Cik Kamaliah Kamis.



Sepanjang 13 tahun sebelum menjadi seorang pendidik, beliau sudah menceburi bidang perhotelan bermula sebagai pegawai perkhidmatan tetamu.



Berbekalkan budaya kerja yang tidak mengenal erti penat, Cik Kamaliah, 41 tahun, kemudian dinaikkan pangkat sebagai pengurus.



Beliau malah ditawarkan peluang bekerja di hotel terkemuka seperti Resorts World Sentosa.



Meskipun dengan kerjaya yang stabil, lapan tahun lalu, Cik Kamaliah memutuskan untuk bertukar angin.



Dengan pengalaman yang ditimba sepanjang bertugas dalam bidang perhotelan, Cik Kamaliah berasa beliau mahu berkongsi ilmu sebagai seorang pendidik.



Langkah itu juga bagi memenuhi impiannya sejak muda.



"Dulu saya sering menonton drama bersiri bahasa Cina yang mempunyai banyak watak guru.



" Dalam drama itu, saya kagum dengan cara mereka menangani pelajar dan mendidik mereka.



"Jadi boleh katakan di situlah berputiknya minat untuk mengajar," singkap pensyarah dalam jurusan Perkhidmatan Hotel dan Makanan di ITE Kolej Barat itu.



Dalam wawancara dengan Berita Harian baru-baru ini, Cik Kamaliah akur beliau sebenarnya sudah mula mengajar sejak dalam industri perhotelan.



Menurutnya, ketika itu, beliau sering menjadi mentor dan memberi bimbingan kepada rakan setugas.



Justeru, apabila seorang bekas rakan sekerja mempelawanya memohon menjadi pensyarah di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 2013, Cik Kamaliah berkata beliau tidak berfikir panjang untuk merebut peluang itu.



Dan kini setelah hampir 10 tahun menyandang jawatan tersebut, beliau tidak menoleh ke belakang.



Namun, peralihan kerjaya dari bidang perhotelan ke pendidikan tetap punya cabarannya.



"Sebelum ini, saya mengajar rakan setugas sahaja... semuanya sudah dewasa.



"Sebaliknya, tugas di ITE memerlukan saya mendidik golongan remaja pula.



"Pada mulanya, saya dapati agak sukar untuk menarik perhatian mereka dan memberi mereka dorongan untuk belajar," ujar Cik Kamaliah, yang kini mengajar kededua pelajar sepenuh masa dan pelajar lebih dewasa menerusi program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) yang disediakan di ITE.



Namun beliau menganggap kekurangan itu sebagai satu cabaran dan menggunakan pengalamannya sendiri sebagai pelajar sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) sebagai panduan.



Meskipun sudah bergelar pendidik, Cik Kamaliah masih dahagakan ilmu dan percaya adalah penting untuk terus meningkatkan diri.



Buat masa ini, beliau sedang memburu ijazah sarjana muda dalam sumber manusia di SUSS walaupun hatinya masih terpaut pada tugas selaku pendidik.



Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ditimba itu, ia kini digunakannya untuk menyediakan bahan pembelajaran di kelas yang diubah supaya lebih mudah difahami.



"Lama-kelamaan, saya mula menjalinkan hubungan baik bersama mereka (pelajar) serta dapat menarik perhatian mereka untuk memberi tumpuan kepada pelajaran," jelasnya.



Baru-baru ini, usaha Cik Kamaliah sebagai pendidik diiktiraf.



Beliau menerima Anugerah Jurulatih CET yang diberikan oleh ITE.



Anugerah itu, antara lain mengiktiraf kecenderungan seorang pendidik untuk terus mempertingkat diri dan memberi nilai tambah kepada pelajarnya.



"Kelas saya adalah seperti hotel di mana pelajar saya merupakan 'tetamu' dalam 'hotel' saya.



"Jadi sepanjang perjalanan pembelajaran mereka, saya berniat untuk membantu mereka dan menawarkan perkhidmatan yang terbaik.



"Apabila 'tetamu-tetamu' saya menikmati pengalaman yang baik, saya rasa ini mendorong saya untuk terus berkhidmat kepada mereka," tambahnya.



Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Cik Kamaliah berkata beliau tidak menyangka mendapat penghargaan itu.



"Saya sekadar melaksanakan tugas dengan rasa cinta dan bangga.



"Saya rasa terharu yang usaha saya sepanjang perjalanan saya diiktiraf.



"Selama ini penghargaan yang saya terima adalah daripada pelajar-pelajar saya yang menulis nota.



" Justeru, anugerah rasmi ini adalah bonus bagi saya," ujar beliau yang menyifatkan anugerah itu sebagai pendorong bagi beliau menyokong dan membimbing pelajarnya dalam laluan persekolahan mereka.




"Kelas saya adalah seperti hotel di mana pelajar saya merupakan 'tetamu' dalam 'hotel' saya.

Jadi sepanjang perjalanan pembelajaran mereka, saya berniat untuk membantu mereka dan menawarkan perkhidmatan yang terbaik.

Apabila 'tetamu-tetamu' saya menikmati pengalaman yang baik, saya rasa ini mendorong saya untuk terus berkhidmat kepada mereka."

- Cik Kamaliah Kamis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >