Pendidikan awal kanak-kanak, bimbingan remaja bantu anak Melayu capai potensi, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:07
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19
Setempat0

Pendidikan awal kanak-kanak, bimbingan remaja bantu anak Melayu capai potensi

Mar 26, 2019 | 05:30 AM

Pendidikan kekal penting dalam memastikan mobiliti sosial, atau kebolehan individu mendaki tangga kejayaan tidak kira latar belakang. Ini dinyatakan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad, di bahas Belanjawan Ehwal Masyarakat Islam pada 8 Mac lalu. Beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif pendidikan yang bertujuan membantu anak Melayu/Islam mencapai potensi mereka. Ikuti laporan BERITA HARIAN mengenai pelbagai insiatif tersebut, termasuk usaha membina asas kukuh dalam pendidikan awal kanak-kanak serta program mentoring untuk remaja.

ANAK Melayu/Islam di Singapura akan menerima lebih banyak sokongan dari segi pendidikan awal serta dalam bentuk program mentoring remaja untuk membantu mereka mencapai potensi.

Baru-baru ini, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad, mengumumkan di Parlimen beberapa inisiatif Yayasan Mendaki untuk terus menyokong mobiliti sosial.

Ini termasuk usaha meluaskan kesedaran keluarga Melayu/Islam mengenai pendidikan prasekolah, mengadakan program mentoring baru bagi pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), serta memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam segenap masyarakat.

Encik Zaqy, yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki, turut mengumumkan bahawa Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) telah melantik Mendaki untuk mendekati ibu bapa bagi kanak-kanak berusia empat tahun hingga enam tahun yang belum dimasukkan ke prasekolah.

Berita Popular

Penyelidik kedoktoran dalam pendidikan awal kanak-kanak, Cik Shaireen Selamat, akur pemerintah, sejak beberapa tahun lalu, telah mengatasi isu seperti kemampuan dan akses kepada pendidikan prasekolah.

Namun, masih ada keluarga yang mungkin menghadapi kos tidak dijangka atau mendapatinya sukar memasukkan anak ke dalam prasekolah.

"Proses yang lebih mudah mungkin diperlukan. Saya suka idea duta generasi warga emas yang menghubungkan senior kepada perkhidmatan.

"Begitu juga, kita boleh menghubungkan keluarga dan kanak-kanak dengan sebuah pusat sehenti bagi perkhidmatan prasekolah dan keperluan khas.

"Jika kita memudahkan proses itu bagi mereka, mereka akan lebih cenderung untuk memberi respons positif," ujar Cik Shaireen.

Beliau juga merupakan seorang pengasas bersama Perikatan Karyawan Prasekolah Mendaki (MAPP), yang antara lain bekerjasama dengan Mendaki bagi acara seperti PlayFest bagi kanak-kanak prasekolah dan keluarga mereka.

Encik Zaqy berkata pihaknya ingin keluarga Melayu/Islam lebih sedar tentang pentingnya kanak-kanak menghadiri prasekolah secara tetap.

"Kajian menunjukkan pembangunan asas kanak-kanak dalam penguasaan bahasa paling berkesan pada usia awal," ujarnya semasa berucap di bahas Belanjawan Ehwal Masyarakat Islam pada 8 Mac lalu.

Selain itu, Mendaki akan memperkukuh asas Matematik di peringkat prasekolah, dengan meluaskan Program KelasMateMatika@CC (KMM) di kelab masyarakat.

Dibuka kepada keluarga Melayu/Islam bergaji rendah dengan anak berusia empat hingga enam tahun, program itu bertujuan meningkatkan pemahaman ibu bapa mengenai konsep asas Matematik.

Bagi golongan remaja pula, Mendaki akan melaksanakan projek perintis Program Memperkasa Remaja Lelaki dan Perempuan untuk membantu pelajar ITE Melayu/Islam mencapai potensi mereka.

Seorang mentor program tuisyen Mendaki, Cik Nurul Asyikin Shariff, berkata belia daripada sekolah menengah hingga ITE, politeknik dan maktab rendah boleh meraih manfaat daripada bimbingan kerjaya oleh seorang mentor, misalnya.

"Mereka boleh meraih manfaat dengan melihat apa yang dilakukan mentor dalam kerjaya mereka, dan perjalanan yang telah dilalui mentor itu.

"Memang ramai anak muda seperti saya dulu pun terkial-kial untuk cari jawapan dalam hidup, seperti apa bidang yang diminati dan apa yang ingin dilakukan.

"Tetapi perubahan hanya akan berlaku jika belia melihat mentor itu benar-benar berusaha untuk memupuk hubungan dengan mereka, bukan setakat 'touch and go' sahaja," ujar Cik Nurul Asyikin, 24 tahun.


INISIATIF PENDIDIKAN YANG DIUMUM SEMASA BAHAS BELANJAWAN EHWAL MELAYU/ISLAM

- Perluas program Matematik KelasMateMatika@CC, bantu meningkatkan pemahaman ibu bapa mengenai konsep asas Matematik

- ECDA lantik Mendaki dekati kanak-kanak berumur 4-6 tahun yang belum berdaftar di prasekolah

- Tubuhkan jawatankuasa Anugerah Mendaki untuk pastikan kayu ukur kecemerlangan kekal relevan

- Lancar projek perintis Program Memperkasa Pelajar Lelaki dan Perempuan di ITE, membolehkan pelajar berinteraksi dengan mentor dan karyawan muda sebagai model peranan

- Anjurkan kegiatan Raikan Ilmu pada bulan Oktober untuk sebar mesej pembelajaran sepanjang hayat

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map