Penerbangan Jetstar dari Singapura ke Australia tertangguh selepas polis dipanggil untuk menangani pertikaian di kalangan tiga penumpang mengenai telefon.
Penerbangan Jetstar 3K161 sepatutnya berlepas dari Singapura pada 11.20 malam, Jumaat (22 Disember) dan tiba di Darwin pada 5.20 pagi Sabtu.
Ia tertangguh dan berlepas dari Singapura hanya pada 7.15 pagi Sabtu.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, jurucakap Jetstar Group Robin Goh berkata pesawat yang sudah bergerak untuk berlepas berpatah balik di Lapangan Terbang Changi pada Jumaat.
Pertikaian dipercayai berlaku apabila pengumuman dalam penerbangan dibuat supaya penumpang mematikan telefon mereka.
Penumpang lelaki berusia 55 tahun, dipercayai Filipina-Australia, memberitahu jirannya, lelaki Australia 47 tahun, supaya mematikan telefonnya.
Mereka, bersama isteri lelaki 55 tahun itu, bertengkar hangat. Kru pesawat memberitahu bahawa mereka perlu turun jika tidak menyelesaikan pertikaian mereka.
Polis dipanggil apabila pertikaian memburuk. Keadaan semakin buruk apabila penumpang lain menyangka beliau mendengar ada orang mengatakan perkataan 'bom'. Namun beliau seorang sahaja yang mendengarnya. Hakikatnya memang tidak ada bom.
Polis dimaklumkan mengenai kes gangguan itu pada 11.26 malam Jumaat.
Dua lelaki, berusia 47 dan 55, membantu dalam siasatan polis.
Encik Goh berkata tiga penumpang bertikai dan mengeluarkan ancaman lisan.
Menurutnya, baucar makanan diberi kepada semua penumpang kerana kelewatan itu. Keluarga dengan anak kecil diberi akses ke ruang lebih selesa.
"Kami memandang serius soal keselamatan dan tidak bertolak ansur terhadap ancaman atau tingkah laku yang mengganggu penumpang dalam penerbangan kami," kata Encik Goh.