SATU ancaman bom palsu menyebabkan penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Taiwan ke Singapura ditunda semalam (2 Feb).
Penerbangan SQ879 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan pada 5.45 petang semalam dan tiba di Singapura beberapa jam kemudian pada 10.35 malam, sekitar 15 minit lebih lewat daripada dijadualkan.
Menurut akhbar The Straits Times, jurucakap SIA mengesahkan bahawa terdapat ancaman bom melibatkan penerbangan SQ879 semalam.
“Ancaman itu ditentukan pihak berkuasa sebagai palsu dan pesawat itu mendarat seperti biasa di Lapangan Terbang Changi di Singapura sekitar 10.35 malam,” kata jurucakap itu sambil menambah mereka tidak dapat mendedahkan perincian lanjut.
Seorang penumpang yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Leong berkata penumpang hanya dibenarkan naik ke pesawat sekitar 15 minit lebih lewat daripada yang dijadualkan.
“Saya fikir penerbangan ini ditunda kerana hujan lebat. Kru penerbangan juga bertindak seperti biasa,” ujarnya.
Menurut laman web Apple Daily Taiwan, pesawat SIA itu berada di landasan kapal terbang apabila polis Taipei memaklumkan kepada polis lapangan terbang bahawa seorang wanita telah membuat panggilan menggunakankan telefon awam dan mendakwa kononnya terdapat bahan letupan dalam penerbangan SQ879.
Pihak SIA juga diberitahu tetapi pesawat itu berlepas selepas pihak berkuasa menentukan ancaman itu adalah palsu.
Polis Taipei sedang menjalankan siasatan, kata Apple Daily.