Video yang diterbitkan di Nas Daily oleh Encik Nuseir Yassin mengenai Singapura yang disifatkan sebagai 'hampir sempurna' mengundang kritikan daripada beberapa warga yang merungut tentang kehidupan di negara ini. Membalas kritikan tersebut Encik Nuseir antara lain menyifatkan pengkritik sebagai kurang mempunyai perspektif. ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) merumuskan pandangan kededua belah pihak.
PENERBIT di sebalik siri video terkenal Nas Daily di Facebook, Encik Nuseir Yassin, telah meninggalkan Singapura tetapi itu tidak menghalangnya daripada memuat naik satu lagi video tentang negara ini baru-baru ini.
Video bertajuk Negara Yang Hampir Sempurna sepanjang lima minit itu berbeza daripada video seminit yang biasanya dihasilkannya.
Video itu antara lain memaparkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang dilihat sedang berjalan di sekitar Taman Di Pesisiran.
Dalam video itu, Encik Lee berkata:
"Inilah yang kita telah bina di Singapura selama 53 tahun dan kami akan terus membinanya."
Dalam video terkini Encik Nuseir yang lebih dikenali sebagai Nas tentang Singapura itu, beliau menyifatkan Singapura sebagai negara yang mempunyai masalah sama dengan negara lain di seluruh dunia tetapi telah berjaya mencari huraian bagi mengatasinya.
Antara huraian yang dimaksudkannya itu dan turut dipaparkan dalam video tersebut termasuk dasar perumahan berbilang bangsa Singapura, had jumlah kereta dan Newater.
"Apabila saya melihat cara mereka membina dan melakukan kerja, termasuk sistem air, lapangan terbang, bangunan dan tamannya, saya kagum kerana kesemua masalah mereka, mereka berjaya selesaikannya dalam masa 53 tahun sejak merdeka," kata Nas yang berusia 26 tahun.
Namun, video tersebut juga mengundang pelbagai reaksi daripada penontonnya.
Satu kenyataan di laman Facebook The Alternative View mengkritik Nas baru-baru ini dengan mengatakan beliau sepatutnya mengalami sendiri kehidupan di sini sebagai warga biasa.
Kenyataan itu turut merujuk kepada beberapa isu yang hangat dibahaskan di sini termasuk isu tempoh pajakan 99 tahun flat HDB, Perkhidmatan Negara (NS), Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan mutu khidmat kereta api.
Menjawab kritikan itu Nas berkata:
"Saya ada idea yang lebih baik. Mengapa tidak semua orang di sini cuba hidup di Timur Tengah?"
Beliau turut menukil cabarannya membesar sebagai Muslim Arab di Israel, perang yang melibatkan negara itu serta bagaimana beliau lebih suka tinggal di Singapura.
"Satu perkara yang saya dapat pelajari daripada melawat pelbagai negara adalah bahawa ramai orang kekurangan perspektif. Dan di Singapura, terlalu ramai orang kekurangan perspektif.
"Dengan gembira, saya boleh mengajak anda sertai saya (melawat pelbagai negara) dan melihat di luar dunia anda.
"Namun sejujurnya, saya tidak akan mengambil anda bekerja dengan saya. Saya tidak boleh bekerjasama dengan orang yang suka merungut," kata Nas.
Komen Nas itu telah menarik lebih 6,000 reaksi daripada pengguna Facebook lain.
Nas yang mempunyai lebih 8.2 juta pengikut di laman Facebook Nas Daily sebelum ini menjelaskan bahawa videonya tentang Singapura tidak ditaja meskipun ia rata-ratanya berunsur positif.
Sebelum ini, beliau juga pernah menghasilkan beberapa video lain yang menunjukkan pelbagai aspek Singapura yang berbeza.
Ini termasuk video tentang sistem pengurusan sampahnya serta kehidupan warga setempat yang biasa.
Nas yang merupakan seorang warga Palestin-Israel juga lulusan Universiti Harvard.
Beliau berhenti kerja untuk melawat negara di seluruh dunia dan merakam pengalamannya lalu memuatnaikkan video seminit ke laman Facebooknya setiap hari.
Beliau bertekad mengembara selama 1,000 hari seraya menyampaikan kisah orang ramai dari Malta ke Singapura dan pelbagai negara lain.
Namun, menurutnya, beliau tidak menghasilkan video itu bagi mendapatkan ganjaran lumayan.
"Jika saya dapat mengubah sesebuah pandangan, itu sahajalah yang saya mahu," ujarnya.
Contohnya, ada orang mungkin takut mengunjungi Turkey kerana menganggapnya sebagai tempat yang berbahaya, tambah Nas.
"Jika saya dapat mengubah pandangan seseorang tentang Turkey, saya gembira," katanya.
APA KATA PENGKRITIK MENGENAI SINGAPURA:
Pemimpin Singapura dibayar lima kali lebih banyak berbanding Presiden Amerika Syarikat dan oleh itu, Singapura seharusnya lima kali lebih baik daripada negara paling berkuasa di dunia.
APA KATA NAS:
Israel memberi gaji kurang $3,000 sebulan kepada kakitangan pemerintahnya yang menghabiskan waktu yang panjang di tempat kerja. Ini menjadikan lebih mudah bagi seseorang terlibat dengan rasuah untuk menambah kekayaan peribadi mereka. Ahli politik Singapura dibayar gaji yang tinggi dan saya faham mengapa. Ini satu cara untuk mengelak rasuah.
KRITIKAN: Flat HDB mempunyai tempoh pajakan terhad (99 tahun). Jika beli flat jualan semula HDB baki tempoh pajakannya hanya tinggal sedikit.
NAS: Cuba tidur satu malam dengan roket yang ditembak dekat rumah anda dan anda tidak boleh tidur kerana bunyi siren yang kuat.
KRITIKAN: Warga Singapura perlu jalani Perkhidmatan Negara selama 2.5 tahun.
NAS: Cuba tinggal dalam keadaan perang dengan negara jiran.
KRITIKAN: Warga perlu sumbang 37 peratus gaji kepada Dana Simpanan Pekerja (CPF).
NAS: Cuba tinggal di tempat yang Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) per kapitanya 40 peratus kurang daripada negara anda.
KRITIKAN: MRT penuh sesak setiap pagi dan petang semasa waktu sibuk.
NAS: Dengan gembiranya, saya akan menggunakan pengangkutan awam anda yang berhawa dingin daripada tinggal di Timur Tengah.
KRITIKAN: Video dihasilkan dengan tajaan pemerintah Singapura
NAS: Saya sendiri menanggung kos $10,000 bagi video ini. Saya memang bukan ahli perniagaan yang baik.
MENGENAI NAS DAILY
LAMAN Facebook Nas Daily, yang diterbitkan Encik Nuseir Yassin (gambar), mempunyai seramai 7.6 juta pengikut - menjadikannya salah satu penerbit media sosial yang paling berpengaruh.
Warga Palestin-Israel berusia 26 tahun itu memulakan Nas Daily selepas beliau berhenti bekerja sebagai jurutera perisian komputer dengan gaji yang tinggi di New York City untuk mengembara. Nas merupakan nama panggilannya dan juga bermaksud 'warga' dalam bahasa Arab.
Beliau berikrar mengirimkan satu video setiap hari selama 1,000 hari - tidak kira hujan ais, hujan lebat mahupun hubungan Internet yang lemah.
Beliau sejauh ini telah memenuhi matlamatnya.
Video yang beliau siarkan memaparkan tempat-tempat yang beliau kunjungi, seringkali negara diluar tarikan pelancong seperti Armenia dan Papua New Guinea.
Dalam videonya, beliau menerangkan cara hidup penduduk negara yang beliau kunjungi atau individu unik yang beliau kenali.
Adakalanya beliau turut berkongsi pemikiran tentang keluarganya, hubungan dan keadaan di Timur Tengah.
Videonya kelihatan ringkas namun padat dengan gambaran positif, namun ada pengkritik yang menyifatkan videonya sebagai dangkal.
Hampir semua videonya adalah sekitar satu minit dan beliau mengakhiri videonya dengan slogan menarik, "Itulah satu minit, berjumpa dengan anda esok".
Nas, yang mengembara bersama teman wanitanya dan seorang lagi teman yang membantu merakam dan menyunting, dilaporkan meraih sekitar AS$80,000 ($109,000) sebulan, kebanyakannya merupakan hasil iklan Facebook.