Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penerima anugerah Muis bukan calang-calang relawan

Oct 02, 2019 | 05:30 AM



Lapan individu contoh telah diiktiraf dengan Anugerah Jasa Bakti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) baru-baru ini. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya dan telah mencurahkan masa dan tenaga demi kebaikan masyarakat. BERITA HARIAN memaparkan antara sumbangan mereka.




DR BIBI JAN MD AYYUB



DR Bibi Jan telah mengajar dan memberi kaunseling selama lebih 38 tahun.



Beliau bekas Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) dan disebabkan sumbangan cemerlangnya terhadap kerja kesatuan, Dr Bibi Jan dinobat Anugerah Rakan Buruh oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 2005.



Sebagai aktivis sosial, beliau bergiat dalam banyak jawatankuasa di pertubuhan Melayu/Islam dan juga pemerintah. Disebabkan penglibatannya dalam kerja kemasyarakatan, Dr Bibi Jan diiktiraf antara lain dengan Bintang Bakti Masyarakat (Lintang).



Sebagai pendidik, beliau telah menulis beberapa kajian yang mengetengahkan trend dan isu berkenaan bahasa Melayu.



Ibu enam anak itu pernah mendapat Anugerah Ibu Contoh oleh Jamiyah Singapura.



CIK HAMIDAH IBRAHIM



Cik Hamidah merupakan ahli Lembaga Rayuan (Appeal Board), jawatan yang dipegang sejak 2008. Lembaga Rayuan berada di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), yang dilantik Presiden Singapura untuk mendengar rayuan mereka yang terkilan dengan keputusan Presiden Mahkamah Syariah atau Kadi Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Muslim (ROMM).



Keputusan yang ditulis Cik Hamidah, yang dilakukan dengan penuh teliti dan penyelidikan, dipaparkan dalam Laporan Rayuan Syariah Singapura (SSAR).



Beliau telah membuat sumbangan penting dalam mempertingkat mutu keputusan yang dilakukan dalam perbicaraan Lembaga Rayuan dan meningkatkan taraf serta status Lembaga itu dalam kalangan pengamal undang-undang.



Pada 2016, Cik Hamidah dilantik sebagai ahli panel Jawatankuasa Resolusi Pertikaian Wakaf bagi membantu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



USTAZ MOHAMAD H. RAIS



Ustaz Mohamad telah bersara daripada jawatannya sebagai Presiden Kanan Mahkamah Syariah. Siswazah Universiti Al-Azhar, Mesir, itu mempengerusikan banyak isu berkenaan perceraian pasangan Muslim sewaktu berkhidmat di Mahkamah Syariah.



Bersama asatizah kanan lain, mereka berusaha melaksanakan Kursus Persiapan Perkahwinan (MPC), yang berkuat kuasa pada 1980-an. Kini, kursus ini menjadi sebahagian pakej bagi pasangan yang mendaftar perkahwinan mereka di ROMM.



Sebagai ulama, beliau menulis beberapa buku mengenai ajaran Islam, dan ada yang digunakan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi pelajar yang mengambil kertas Usuluddin Peringkat A.



Ustaz Mohamad penyokong kuat antiekstremisme bersama asatizah kanan lain, yang bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



ENCIK MUHAMMAD EFFENDY IBRAHIM



Encik Effendy berkhidmat dalam sektor masjid selama lebih 20 tahun.



Beliau mendedikasikan kebanyakan masanya di Masjid Darul Ghufran, tempat beliau banyak menyumbang kepada pembangunan korporat serta kecemerlangan pertubuhan.



Sumbangan terkininya ialah pembangunan semula masjid itu dengan menerajui pasukan mengumpul lebih $10 juta dana bagi membiayai projek tersebut.



Dikenali sebagai ahli strategi, Encik Effendy banyak menyumbang dari segi idea dan strategi. Beliau pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif (ExCo) Persatuan Pelajar Agama Dewasa Singapura (Perdaus) pada 1997.



ENCIK MUHAMMAD HIDHIR ABDUL MAJID



Encik Hidhir kini ahli Lembaga Rayuan di bawah Amla dan sudah berkhidmat 17 tahun serta merupakan antara ahli kanan Lembaga itu.



Beliau banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan keluarga Islam melalui pelbagai perbicaraan sebagai pengerusi dan ahli panel Lembaga Rayuan.



Encik Hidhir merupakan ahli Majlis Muis dari 2010 hingga 2011 dan merupakan ahli aktif dalam jawatankuasa Muis yang lain, khususnya Jawatankuasa Tetap Audit dan Jawatankuasa Penilaian Projek dan Tender.



Beliau juga dilantik sebagai ahli panel Jawatankuasa Resolusi Pertikaian Wakaf pada 2016 untuk membantu Muis.



ENCIK MUSTAPHA KAMAL OSMAN



Encik Mustapha kini Pengerusi Masjid Pusara Aman dan merupakan ahli aktif sektor masjid selama lebih 20 tahun. Beliau bermula sebagai relawan di Masjid Assyakirin dan menubuhkan kumpulan belia di masjid itu, kemudian menyertai lembaga pengurusan dan terus memimpin kumpulan belia tersebut.



Pada 1998, Encik Mustapha menjadi salah seorang anggota jawatankuasa bagi Sekretariat Muslim Muda (YMS) dengan menerajui pelbagai program belia di Masjid Assyakirin.



Beliau juga memulakan program silang agama dan silang bangsa bersama pertubuhan agama lain, serta Gerakan Belia PA, untuk memberi belia Muslim peluang berinteraksi dengan belia daripada agama lain.



ENCIK MOHAMED RASHID SHARIFF



Encik Mohamed Rashid sudah sekian lama menjadi relawan masjid. Beliau mula terlibat pada 1976 dalam Jawatankuasa Pembinaan Masjid. Dahulu, beliau bergerak dari pintu ke pintu untuk mengumpul dana daripada penduduk Muslim semata-mata ingin memastikan terdapat dana mencukupi bagi pembinaan masjid di Ang Mo Kio.



Setelah selesai pembinaan Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohamed Rashid terus berada dalam Lembaga Pengurusan Masjid (MMB) sehingga hari ini, tempoh yang hampir mencecah 40 tahun. Sebagai sebahagian MMB, beliau menggalas tanggungjawab penting, antaranya penolong bendahari dan bendahari. Beliau juga memulakan beberapa perkhidmatan bantuan perubatan di masjid tersebut.



Encik Mohamed Rashid menerima Anugerah Pekhidmatan Sukarelawan Muis pada 1997.



CIK NORAIN MOHD NOOR



Cik Norain merupakan Pegawai Kejururawatan secara sukarela Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) sejak 2001. Mulai 2003, beliau menggalas peranan sebagai ketua pasukan dengan bertanggungjawab memastikan operasi klinik harian berjalan lancar, antara lain. Beliau juga relawan adjung bagi pekhidmatan haji dengan menjalankan ceramah, tutorial dan taklimat mengenai alat perubatan dan simulasi mengenai prosedur kecemasan serta operasi klinik. Cik Norain amat berdedikasi dalam tanggugjawabnya demi memastikan pengurusan perubatan bagi jemaah haji Singapura terjaga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >