Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:20
Maghrib
6:57
Isyak
8:11
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Setempat
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Penerima biasiswa AS perjuang wanita, kanak-kanak perempuan

Terima biasiswa Fulbright bagi lanjut pengajian Sarjana Dasar Awam di Universiti Brandeis, Boston
Oct 23, 2022 | 07:01 AM



SEBAGAI generasi pertama lulusan universiti dalam keluarganya, Cik Aishah Winter memilih untuk mengukir kerjaya sebagai peguam.



Pengalaman sekitar sedekad berkecimpung dalam bidang undang-undang keluarga mendorongnya untuk melakukan sesuatu bagi mencegah keganasan dan diskriminasi terhadap wanita.



Pada 2020, beliau menyertai sektor tidak mencari keuntungan sebagai pengurus bagi Program dan Jangkauan Antikeganasan bersama United Women Singapore (UWS).



Tahun ini, Cik Aishah, 36 tahun, menerima biasiswa Fulbright daripada pemerintah Amerika Syarikat yang menyokong pengajian Sarjana Dasar Awam di Sekolah Heller bagi Dasar Sosial dan Pengurusan, Universiti Brandeis di Boston.



Beliau berharap pengajian itu akan membantu dalam usahanya untuk memperjuangkan wanita dan kanak-kanak perempuan, khususnya golongan minoriti.



"Tiada yang lebih penting bagi saya daripada usaha untuk meningkatkan mutu kehidupan kanak-kanak perempuan dan wanita minoriti di Singapura dengan meningkatkan mobiliti sosial dan peluang ekonomi mereka menerusi program dan pendidikan.



"Saya sendiri berasal daripada keluarga yang bukan berada. Saya juga bersyukur kerana meraih manfaat daripada pendidikan saya dan sokongan daripada individu lain yang membimbing dalam kerjaya saya," ujar Cik Aishah, yang sudah berumah tangga dan belum dikurniakan cahaya mata.



Suaminya seorang warga Amerika Syarikat.



Sedang kededua ibu bapanya tidak mempunyai kelayakan tinggi, mereka mementingkan pendidikan, sifat berdikari dan kestabilan kewangan, kata Cik Aishah.



Beliau juga melihat sendiri apa yang boleh berlaku jika seseorang tidak mengetahui hak mereka di bawah undang-undang serta apa huraiannya, dan ini telah mendorongnya untuk memburu kerjaya dalam bidang guaman dahulu.



"Semasa berkhidmat sebagai peguam keluarga, saya menangani kes seperti perceraian, hak menjaga anak, hingga pertikaian nafkah, di kededua mahkamah sivil dan syariah di Singapura.



"Saya melihat bagaimana kehidupan wanita boleh terjejas disebabkan keterbatasan kapasiti dan peluang," ujar Cik Aishah.



Dalam menjalankan tugas sebagai peguam, Cik Aishah gembira dapat membantu kliennya untuk berdikari dan memulakan kehidupan baru, tetapi beliau juga sedar bantuan itu terbatas.



Ini merangsang beliau untuk meneroka kerjaya dalam advokasi keadilan sosial yang membolehkan beliau untuk membangun program demi manfaat lebih ramai orang.



Di UWS, beliau membangun program antikeganasan serta mendekati pihak berkepentingan termasuk agensi pemerintah, syarikat, sekolah dan orang awam untuk memupuk kesedaran tentang kesamaan jantina, serta pencegahan keganasan domestik.



Beliau memilih untuk memohon biasiswa Fulbright yang menawarkan peluang belajar di Amerika.



Beliau juga ingin mempelajari lebih lanjut tentang sistem pendidikan di negara itu, serta cara ia menangani isu sosioekonomi seperti imigrasi, kaum dan ketidaksamaan ekonomi.



"Apabila anda keluar dari zon keselesaan anda, anda akan lebih sedar tentang diri anda dan kedudukan anda dalam masyarakat, serta kedudukan negara anda di dunia.



"Saya juga dapat berkongsi tentang nilai negara kita, serta budaya dan dasar kita. Sejauh ini, saya juga pelajari banyak persamaan di antara kita walaupun berbeza dari segi jantina, kaum, agama atau kewarganegaraan.



"Semua orang sedang mencari peluang yang sama untuk mencapai kebahagiaan, tidak kira apa jua," ujar Cik Aishah.



Mantan pelajar Sekolah Menengah CHIJ Toa Payoh dan Maktab Rendah Tampines itu sebelum ini meraih sarjana muda undang-undang daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).



Beliau berada di Boston, Amerika sejak Ogos tahun ini untuk memulakan pengajian sarjana selama dua tahun.



Mengenai rancangannya selepas pengajian sarjana itu, Cik Aishah berkata: "Saya berharap dapat pulang ke Singapura untuk meneruskan kerja saya dalam dasar, penyelidikan dan advokasi bagi kesamaan jantina dan pemerkasaan wanita muda minoriti yang menghadapi keadaan yang mencabar."




Tiada yang lebih penting bagi saya daripada usaha untuk meningkatkan mutu kehidupan kanak-kanak perempuan dan wanita minoriti di Singapura dengan meningkatkan mobiliti sosial dan peluang ekonomi mereka menerusi program dan pendidikan. Saya sendiri berasal daripada keluarga yang bukan berada. Saya juga bersyukur kerana meraih manfaat daripada pendidikan saya dan sokongan daripada individu lain yang membimbing dalam kerjaya saya.
- Penerima biasiswa Fulbright daripada pemerintah Amerika Syarikat, Cik Aishah Winter.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >