Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengalaman haji selesa, akan terus dipertingkat

GSA turut akur pengalaman tahun ini berjalan lancar; Muis akan terus kerjasama dengan pihak Saudi untuk dapatkan lebih banyak tempat bagi jumlah jemaah setempat
Sep 01, 2019 | 05:30 AM



Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini menerima pujian kerana berjaya menyediakan khidmat yang baik bagi jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini. Wartawan NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) dan ZUBAIDAH EUSOFF (zeusoff@sph.com.sg) menemuramah pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), kakitangan syarikat ejen haji serta jemaah untuk mendapatkan pengalaman mereka semasa di tanah suci. 




DARIPADA proses pemeriksaan kastam yang pantas kepada taklimat kesihatan khas sebelum wukuf, jemaah haji dari Singapura telah meraih manfaat pelbagai peningkatan dalam proses dan prasarana semasa menunaikan haji tahun ini.



Ini termasuk menyediakan lebih banyak kerusi roda dan kereta elektrik bagi jemaah lebih berusia atau berkeperluan khas, kata Ketua Delegasi Haji Singapura Dr Albakri Ahmad.



"Berdasarkan maklum balas jemaah, mereka berkata pengalaman mereka menunaikan haji adalah selesa," ujar Dr Albakri yang turut merakamkan penghargaannya kepada pihak berkuasa Arab Saudi.



"Ia bermula dengan proses pemeriksaan yang pantas setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan diteruskan dengan banyak peningkatan prasarana di mercu tanda utama sepanjang perjalanan haji, sehingga mereka meninggalkan Makkah," tambah beliau.



Kesemua 900 tempat dalam kuota rasmi yang diperuntuk bagi warga Singapura tahun ini dipenuhi.



Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), 90 peratus daripada kumpulan jemaah ini mengerjakan haji buat pertama kali.



Kumpulan terakhir, dengan 43 jemaah, dijadual kembali ke Singapura pada Sabtu depan.



Beberapa ejen pakej haji (GSA) yang dihubungi Berita Harian/Berita Minggu juga berkata secara umum, pengalaman jemaah di bawah jagaan mereka adalah baik.



Pengurus Besar Halijah Travel, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata peningkatan prasarana seperti menggantikan tiang dengan tembok bagi melontar jamrah di Mina - yang kini boleh dilakukan dari beberapa tingkat - serta sistem pengurusan jemaah yang lebih baik telah banyak membantu jemaah semasa menunaikan ibadah.



Halijah Travel membawa rombongan 240 jemaah tahun ini.



"Berdasarkan laporan pegawai dan kakitangan kami di sana, pengalaman jemaah adalah baik dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," ujar Encik Haffidz.



Ibadah lontar jamrah, iaitu upacara simbolik melontar batu terhadap iblis, dilakukan pada hari pertama Aidiladha dan berlangsung di lembah padang pasir Mina - sekitar 7 kilomter dari Makkah.



Tahun ini, sejumlah besar pasukan keselamatan telah dikerahkan ke sana oleh pihak berkuasa Arab Saudi, antaranya untuk mencegah sebarang insiden rempuhan. Satu rempuhan yang berlaku pada 2015 membunuh ratusan jemaah.



Agensi berita rasmi Saudi, SPA, berkata ibadah lontar jamrah tahun ini yang ditunaikan lebih 2 juta jemaah berlangsung dengan lancar dan tanpa sebarang insiden besar.



CABARAN



Cabaran terbesar yang dihadapi jemaah Singapura adalah cuaca yang panas dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius pada sesetengah hari, kata Dr Albakri.



Bagi membantu jemaah menjaga kesihatan semasa menunaikan ibadah, wakil Kementerian Kesihatan Saudi dengan kerjasama pasukan perubatan Pejabat Ehwal Haji Singapura (SPAO) telah mengadakan taklimat kesihatan awal sebelum jemaah memulakan wukuf di Arafah.



"Ini membantu menambah kesedaran di kalangan jemaah supaya menjaga kesihatan secara lebih baik dengan minum banyak air, menjaga kebersihan, menggunakan payung apabila berada di bawah terik matahari dan supaya berehat secukupnya," kata Dr Albakri.



Dalam pada itu, beberapa jemaah dan GSA yang dihubungi BH/BM melahirkan keprihatinan tentang tempoh menunggu giliran menunaikan haji yang kini antara 37 dengan 54 tahun.



Encik Haffidz berkata tempoh penantian yang lama ini mencadangkan jemaah di masa depan mungkin lebih berusia dan memerlukan lebih banyak sokongan semasa menunaikan haji.



Mengulas tentang keprihatinan itu, Dr Albakri berkata secara umum, tempoh penantian yang lebih lama dihadapi bakal haji dari semua negara.



"Muis juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa haji Saudi untuk mendapatkan lebih banyak tempat haji bagi jumlah jemaah yang lebih besar dalam senarai menunggu," kata Dr Albakri, yang juga Timbalan Ketua Eksekutif Muis.



Tambah beliau, pihak berkuasa haji Saudi juga perlu mengimbangi keinginan menampung lebih ramai jemaah dengan keperluan memastikan pengalaman menunaikan haji adalah selamat dan berkesan.



Kata Dr Albakri, setakat ini pihak berkuasa haji Saudi telah melakukan kerja yang hebat untuk mempertingkat proses dan prasarana - sebahagian Wawasan 2030 untuk menampung 6 juta jemaah.



Muis, kata Dr Albakri, akan terus bekerjasama dengan GSA serta pihak berkepentingan lain untuk memastikan semua bakal haji mempunyai persiapan terbaik untuk menunaikan haji, dari segi kewangan, kerohanian dan jasmani.



"Pokoknya, kami semua bersatu menyandang tanggungjawab bersama untuk membantu masyarakat memenuhi rukun Islam kelima ini," kata Dr Albakri.




" Berdasarkan maklum balas jemaah, mereka berkata pengalaman mereka menunaikan haji adalah selesa. Ia bermula dengan proses pemeriksaan yang pantas setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan diteruskan dengan banyak peningkatan prasarana di mercu tanda utama sepanjang perjalanan haji, sehingga mereka meninggalkan Makkah.
- Ketua Delegasi Haji Singapura, Dr Albakri Ahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >