Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengalaman sebagai mentor bantu bina daya keyakinan

Dec 05, 2022 | 05:30 AM



SEMASA di darjah dua, Cik Nurin Rusydina Amelia Mohamed Azahar, 22 tahun, mengalami kesukaran memahami subjek matematik dan kian hilang keyakinan dalam subjek tersebut.

Kemudian, semasa di menengah tiga, seorang guru pernah memberitahu ibunya bahawa Cik Nurin tidak akan cemerlang dalam pelajarannya.

Teguran gurunya berbaur daya keyakinan yang rendah membuat Cik Nurin hilang motivasi untuk belajar dan beliau mula bekerja sambilan pada usia 15 tahun.

Cik Nurin, bagaimanapun, berupaya meraih kelulusan Nitec dalam jurusan Teknologi Fasiliti (Perkhidmatan Landskap) daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East.

Namun, apabila beliau gagal melanjutkan pengajian ke peringkat Higher Nitec disebababkan markah tidak mencukupi, beliau pasrah dan membuat keputusan meneruskan kerja sambilan sebagai penolong dapur di restoran Pastamania.

Mujurlah, Cik Nurin mempunyai seorang pak cik yang beliau anggap sebagai mentor yang selalu memberi panduan dalam membuat keputusan pendidikan yang sesuai dan memberinya dorongan apabila keadaan menjadi sukar.

Memahami bagaimana pelajar mungkin berasa kehilangan dalam hidup mereka, Cik Nurin kini sebagai seorang mentor, mencipta ruang selamat dan terbuka buat pelajar berkongsi kesukaran mereka.

Cik Nurin, yang telah mengikuti kursus diploma dalam kaunseling daripada Institut Pendidikan Tinggi Kaplan dan sekarang penuntut ijazah sarjana seni muda dalam psikologi daripada Universiti Murdoch di institut sama, telah menjadi mentor kepada golongan belia selama setahun bersama The Astronauts Collective (TAC).

Beliau membimbing seramai tujuh pelajar, dengan tempoh bagi setiap program bimbingan selama lima minggu. 

Antara pelajar di bawah bimbingannya adalah empat belia menengah empat daripada program Therapeutic Group Home Boys’ Town.

“Membimbing belia membuat saya rasa seperti saya mempunyai adik-beradik tambahan. Pelajar belia ini peramah dan walaupun mereka berasal daripada latar belakang berbeza, mereka kian selesa dengan saya,” kata Cik Nurin, anak sulung empat beradik ini. 

Ibunya seorang penjual makanan di sebuah kantin sekolah dan bapanya teknisyen kawalan perosak.

Beliau mula menjadi fasilitator pelajar pengajian tinggi untuk menemani pelajar sekolah menengah dalam program sehari untuk menerokai kerjaya bermakna. 

Sebagai fasilitator, beliau berpeluang menjalani latihan yang dipanggil Mentor Pelajar Pengajian Tinggi sebelum menyertai Mission X, satu program bimbingan anjuran TAC dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi (IHL) untuk mempromosi kesukarelaan belia.

Menerusi program latihan Mission X, beliau belajar membina hubungan bersama pelajar daripada latar belakang, personaliti dan budaya berbeza. 

Justeru, bagi membina hubungan bersama pelajar di bawah bimbingannya, perkara pertama yang Cik Nurin akan lakukan adalah mencipta ruang selamat dan terbuka untuk mereka. 

“Ini akan menggalakkan mereka menjadi lebih selesa, bersikap terbuka dan berbicara dengan saya bagi membolehkan saya memahami keadaan mereka dan membimbing mereka. Walaupun ada yang mula bersikap terbuka pada sesi terakhir, saya menganggapnya sebagai satu pencapaian kerana saya dapat membantu mereka,” kata Cik Nurin.

Mendengar isi hati mereka juga penting sebagai pembimbing untuk mendekati mereka, menurut Cik Nurin.

“Oleh sebab pelajar saya adalah pelajar menengah empat, mereka bakal menduduki peperiksaan preliminari GCE Peringkat ‘N’ semasa saya membimbing mereka. Saya akan tanya tentang matlamat dan kerjaya cita-cita mereka dan ambil tahu tentang peperiksaan preliminari mereka. Jika mereka mendapati kertas peperiksaan mereka susah dan tidak mempunyai keyakinan, saya cuba beri galakan dengan berkongsi pengalaman peribadi saya,” kata Cik Nurin.

Beliau juga akan membantu pelajar tersebut meneroka hala tuju pendidikan mereka selepas tamat sekolah menengah seperti bagaimana mereka boleh meneruskan pengajian daripada ITE kepada politeknik dan menggalakkan mereka agar bersikap terbuka tentang pilihan pendidikan yang lain.

Cik Nurin merupakan antara belia yang memilih menjadi mentor dalam gerakan nasional Mentoring SG yang bermatlamat membina budaya bimbingan di Singapura dan menjadikan bimbingan lebih mudah diakses golongan belia. 

Bagi Cik Nurin, yang bercita-cita menjadi pegawai perkhidmatan perlindungan kanak-kanak, pengalamannya sebagai seorang mentor juga membantu membina daya keyakinannya, dengan beliau sendiri tidak perlu malu akan perjalanan pendidikannya. Ini kerana ia berguna semasa beliau membantu pelajar yang mengalami keadaan serupa. 

 







Pelajari, cipta kegiatan bermakna antara mentor dengan pelajar







APABILA Encik Nur Syazwan Syamsuddin, 25 tahun, penuntut kursus ijazah jurusan sains komputer dalam simulasi interaktif masa nyata daripada Institut Teknologi Singapura (SIT) dan pembimbing Yayasan Mendaki, terlalu sibuk dan tertekan dengan kerja sekolahnya, pelajar di bawah bimbingannya menghubungi beliau dan memberinya galakan.

Pada saat itu, Encik Syazwan, mentor kepada pelajar tersebut, menghargai keprihatinan mereka dan sedar bahawa hubungan antara mentor dengan pelajar bimbingan saling mendukung. 

“Ia satu pengalaman yang saya tidak akan lupakan dan mendorong saya terus menjadi mentor kepada pelajar. Mereka juga buat saya bersikap lebih terbuka untuk berkongsi cabaran yang saya hadapi,” katanya.

Beliau kini juga bekerja sambilan bersama SIT untuk membina sofwe bagi membantu mendiagnosis dan merawat masalah leher. 

Encik Syazwan menjadi mentor bersama badan bantu diri Yayasan Mendaki selama dua tahun, dengan beliau telah membimbing enam pelajar sekolah menengah dan tiga pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE). 

Setiap program bimbingan berlangsung selama enam bulan. 

Mengulas pengalamannya sebagai mentor, Encik Syazwan, anak sulung dalam dua beradik ini berkata:

“Walaupun saya dan pelajar di bawah bimbingan saya berlainan usia, saya rasa kami berkongsi pengalaman sama dalam beberapa perkara seperti hubungan sesama manusia dan kemajuan diri.”

Encik Syazwan telah mendaftarkan diri sebagai mentor di Yayasan Mendaki kerana beliau ingin menabur bakti dan menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah membantu dalam perjalanan pendidikannya.

Beliau sendiri mendapat bantuan kewangan daripada badan bantu diri tersebut bagi yuran tuisyen di politeknik dan di SIT.

Bagi mempersiap diri sebagai seorang mentor, Encik Syazwan perlu menjalani latihan bimbingan anjuran Yayasan Mendaki dan menghadiri sesi amalan masyarakat (community of practice), dengan pelbagai mentor berkongsi pengalaman, cabaran dan cara mengatasi pelbagai cabaran semasa menghadapi pelajar bimbingan.

Program bimbingan Yayasan Mendaki ini adalah sebahagian daripada Mentoring SG, satu gerakan nasional yang bermatlamat membina budaya bimbingan di Singapura dan menjadikan bimbingan lebih mudah diakses golongan belia. 

Dalam usahanya membimbing para belia, beliau cuba sedaya upaya meningkatkan daya keyakinan mereka dengan memberi tumpuan kepada kekuatan diri masing-masing.

“Dalam dunia yang berkembang pesat ini, mudah melupakan harga diri. Saya selalu mengingatkan setiap pelajar di bawah bimbingan saya bahawa setiap seorang daripada mereka istimewa dan mempunyai bakat tersendiri,” katanya.

Berkongsi tentang salah seorang pelajar yang dibimbingannya, Encik Syazwan berkata: 

“Saya lihat perkembangan baik terhadap salah seorang pelajar di bawah bimbingan saya, Aiman. Dia sekadar memerlukan seseorang untuk mendengar luahannya. Apabila dia dapat melahirkan apa yang tersirat dalam hati, dia akan merenung dan ini membantunya membuat keputusan sendiri.” 

Beliau menambah bahawa beliau turut menganggap pelajar di bawah bimbingannya sebagai kawan dan beliau pernah mempunyai sesi santai bersama mereka menerusi wadah komunikasi video, Zoom, dengan pelajar di bawah bimbingannya bermain gitar atau permainan komputer sementara Encik Syazwan melakukan kerja sekolahnya. 

“Dalam sesi santai inilah, mereka selesa berkongsi apa sahaja dengan saya,” katanya yang mendapati pengalaman bimbingan ini sangat memuaskan buat dirinya dan para pelajar. 

Lantaran itu, Encik Syazwan mendapat pengajaran bahawa usaha mendengar luahan atau isi hati seseorang itu sangat penting. 

“Saya rasa, kerap kali, ramai orang hanya memerlukan seseorang untuk pasang telinga, bukan memberi nasihat atau maklum balas. Dalam pengalaman saya, mereka yang inginkan seseorang untuk mendengar luahan mereka tahu apa mereka ingin lakukan tetapi hanya mahu melahirkan isi hati kepada seseorang,” kata Encik Syazwan.

Beliau kini adalah sebahagian daripada jawatankuasa penganjur bagi program Mentor Rakan Sebaya (Peer Mentor) dan berharap dapat mempelajari dan mencipta kegiatan bermakna antara mentor dengan pelajar yang dibimbing. 







Perkasa individu potensi tinggi fikir di luar kotak capai kejayaan







PENUNTUT universiti, Encik Muhammad Syafiq Mohamed Sahrom, 24 tahun, yang mendapat bimbingan seorang mentor daripada Mara Mentoring, berpendapat beliau telah dicabar untuk memikirkan tentang kerjayanya pada masa hadapan. 

Seorang mentor di Mara Mentoring, Encik Sean Loke, 36 tahun, pengurus perniagaan serantau Kingfisher Recruitment Group, pula mendapati peranannya adalah membantu membuka minda pelajar yang dibimbingnya. 

Demikian antara pengalaman seorang mentor dan pelajar di bawah bimbingannya yang telah menyertai program bimbingan Mara Mentoring, kelolaan Kelab Mendaki, yang ditubuhkan pada Oktober 2019. 

Program bimbingan ini bermatlamat menghubungkan profesional berkerjaya bersama penuntut universiti Melayu/Islam demi membantu penuntut dalam perjalanan kerjaya dan kemajuan diri mereka. 

Ia juga mempunyai visi untuk memperkasa individu Melayu/Islam berpotensi tinggi untuk berfikir di luar kotak dalam mengecapi kejayaan dan mencapai mobiliti sosial.

Menurut Encik Hafiz Kasman, 29 tahun, anggota jawatankuasa eksekutif Kelab Mendaki, program bimbingan ini memberi tumpuan untuk mendedahkan penuntut universiti kepada bidang kewangan dan perundingan, pemasaran, teknologi serta penjualan dan operasi. Ia juga mahu membuka minda mereka kepada sektor yang kian berkembang pesat. 

“Kami rasa ada kekurangan masyarakat Melayu/Islam dalam bidang profesional tersebut. Antara sebab utama adalah akibat kekurangan kapital sosial untuk mengakses kerjaya tertentu. Maka, peranan kami di Mara Mentoring adalah memastikan penuntut universiti Melayu/Islam dibekalkan dengan kapital sosial yang diperlukan untuk mencapai kerjaya pilihan mereka,” kata Encik Hafiz, juga pengasas sama dan ketua pegawai operasi, Kinobi.

Mara Mentoring mempunyai seramai 20 mentor pada setiap tahun yang membimbing sekitar 35 penuntut universiti. 

Mentor dipilih berdasarkan prestasi mereka sepanjang program bimbingan dalam bidang masing-masing dan mempunyai masa untuk memberi komitmen kepada program selama enam bulan.

Semua mentor dan penuntut yang dibimbing akan berjumpa beramai-ramai selama tiga jam sebulan sekali dan ada juga pertemuan peribadi antara mentor dengan penuntut yang dibimbing. 

Mara Mentoring turut melibatkan ramai mentor dan sukarelawan bukan Melayu/Islam.

“Kami amat berbesar hati dengan sumbangan mereka dalam program ini dan ada kekal menjadi mentor kami sejak Mara Mentoring ditubuhkan,” kata Encik Hafiz. 

Jika pada awalnya, setiap penuntut di bawah bimbingan dipadankan dengan seorang mentor, Mara Mentoring menukar kepada model bimbingan secara berkumpulan supaya mentor dan penuntut bimbingan boleh belajar bersama-sama dalam kumpulan yang lebih luas. 

Justeru, dua mentor kini dipadankan dengan tiga atau empat penuntut yang dibimbing. Padanan tersebut berdasarkan minat kerjaya, personaliti, latar belakang serupa dan faktor lain. 

Dalam pada itu, Mara Mentoring bekerjasama rapat dengan daya usaha Mentoring Alliance for Action (AfA).

AfA adalah sebahagian daripada Mentoring SG, satu gerakan nasional yang bermatlamat membina budaya bimbingan di Singapura dan menjadikan bimbingan lebih mudah diakses golongan belia. 

“Kami turut serta dalam Amalan Komuniti AfA dan mengambil manfaat yang ditawarkan sebagai anggota AfA. Salah satu manfaatnya adalah penggunaan ruang WeWork bagi sukarelawan kami dan ini berguna kerana ada dalam kalangan kami bekerja di kawasan pusat perniagaan (CBD),” kata Encik Hafiz, pengerusi sama AfA yang memimpin jawatankuasa pengemudi untuk memacu perkongsian dan penyertaan dalam sektor masyarakat, swasta dan awam. 

Melangkah ke tahun keempat Mara Mentoring, Encik Hafiz berkata mereka berasa terdorong dengan sokongan padu yang diberikan para mentor dan masyarakat Melayu/Islam Singapura. 




  •                                                            Gerakan Mentoring SG
  • Satu daya usaha di bawah Forward SG, Mentoring SG, berusaha menyokong pembangunan belia dan peralihan daripada sekolah kepada kerja melalui bimbingan supaya belia maju dan merealisasikan aspirasi mereka.
  •     Mentor boleh membantu belia meluaskan perspektif terhadap maksud kejayaan dan memberi panduan, sokongan dan nasihat praktikal kepada golongan belia.
  •     Berdasarkan hal sedemikian, daya usaha Mentoring Alliance for Action (AfA) dilahirkan. 
  •     Dilancarkan pada Mac tahun lalu, daya usaha ini bertujuan mengukuhkan usaha bimbingan dan menawarkan peluang bimbingan kepada belia Singapura.
  •     Dipimpin oleh Mentoring Alliance for Singapore (MASg) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Mentoring AfA bergabung bersama rakan kongsi korporat, pertubuhan bimbingan, institusi pendidikan, kumpulan belia dan persatuan profesional untuk memupuk masyarakat yang komited terhadap pembinaan belia berkeyakinan dan berdaya tahan.

 




Sertai gerakan Mentoring SG hari ini. Layari laman web, mentoring.sg, untuk mendapatkan maklumat lanjut.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >