Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN BELANJAWAN 2022

Pengamat: Struktur cukai baru kurangkan ketidaksamaan sosial

Feb 20, 2022 | 04:53 PM



LANGKAH memberi tumpuan pada cukai pendapatan peribadi bagi golongan bergaji tinggi serta cukai bagi hartanah bernilai tinggi dan kereta mewah boleh mengurangkan ketidaksamaan sosial selain memastikan sistem cukai yang lebih progresif dan adil, menurut para pengamat.



Ketua penyelidikan dan perundingan firma rundingcara hartanah Edmund Tie, Encik Lam Chern Woon, berkata langkah menaikkan cukai pendapatan peribadi bagi golongan bergaji tinggi, cukai kereta mewah serta cukai bagi hartanah yang tidak didiami oleh pemilik dan hartanah bernilai tinggi yang didiami pemilik amat dialu-alukan untuk mengurangkan ketidaksamaan sosial dan mengukuhkan kompak sosial.



"Semua penduduk kecuali 5 hingga 10 peratus penduduk teratas kemungkinan tidak akan terjejas dengan kenaikan cukai berbilang serampang ini," ujar Encik Lam.



Tambahnya, pengumuman pemerintah semasa Belanjawan tahun ini merangkumi pelbagai langkah untuk mengenakan cukai lebih tinggi pada golongan yang berada sementara melindungi golongan yang tidak berada daripada kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kos sara hidup yang kian meningkat.



Antara lain, beliau berkata usaha memperluas Model Gaji Progresif (PWM) kepada lebih banyak sektor seperti runcit dan khidmat makanan bersama peningkatan kepada Daya Kerja (Workfare) merupakan antara usaha yang menyumbang kepada usaha pengagihan semula pemerintah.



"Namun beberapa syarikat mungkin menghadapi cabaran sedang mereka menangani kos lebih tinggi disebabkan PWM itu serta gaji kelayakan minimum lebih tinggi bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S, di tengah-tengah bantuan berkaitan Covid-19 yang kian berkurangan serta sekitaran ekonomi yang masih mencabar," ujarnya.



Ketua pakar ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling dan pakar ekonomi OCBC Bank, Encik Howie Lee, berkata langkah yang lebih berkemungkinan menjejas golongan yang meraih gaji tinggi itu sejajar dengan visi pemerintah mewujudkan model cukai yang bersifat progresif.



"Usaha melindungi daripada ketidaksamaan yang meningkat dengan sistem cukai yang progresif mungkin akan terus menjadi keutamaan penting bagi pemerintah bagi dekad akan datang.



"Kami menjangkakan kajian akan terus dijalankan untuk mencari huraian kreatif untuk melaksana sistem cukai yang progresif secara keseluruhan dengan kebocoran minimum," ujar mereka.



Mereka yang membeli kereta mewah akan dikenakan cukai yang bersamaan dengan 220 peratus daripada nilai pasaran terbuka (OMV) kereta mereka yang jumlahnya bernilai lebih $80,000.



Cukai pendapatan peribadi teratas akan dinaikkan mulai tahun penilaian 2024 iaitu bagi pendapatan yang diraih daripada 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.



Penduduk yang berpendapatan lebih $500,000 hingga $1 juta akan dikenakan cukai sebanyak 23 peratus manakala mereka yang berpendapatan lebih $1 juta akan dikenakan cukai sebanyak 24 peratus.



Cukai hartanah bagi perumahan yang tidak didiami oleh pemilik, termasuk hartanah pelaburan, pula akan dinaikkan kepada antara 12 peratus dengan 36 peratus, berbanding 10 peratus hingga 20 peratus sekarang.



Kadar cukai hartanah bagi rumah yang didiami pemilik bagi bahagian nilai tahunan yang melebihi $30,000 juga akan dinaikkan kepada antara 6 peratus dengan 32 peratus, berbanding dengan 4 peratus hinggga 16 peratus sekarang.



Apabila dilaksana sepenuhnya, langkah ini akan menambah pendapatan cukai hartanah Singapura sebanyak $380 juta setiap tahun, atau sekitar 12 peratus daripada jumlah cukai hartanah yang diperoleh sekarang sebanyak $3.1 bilion.



Beberapa pengamat berkata mereka tidak jangkakan kesan yang besar pada pasaran hartanah.



Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Realty, Encik Ismail Gafoor, berkata beliau tidak merasakan bahawa kenaikan cukai hartanah itu akan banyak menjejas permintaan bagi pelaburan hartanah kediaman.



"Ramai pelabur mengambil pandangan jangka panjang dalam pelaburan hartanah dan menimbangkan potensi bagi pertumbuhan modal dan pemeliharaan harta pada masa akan datang.



"Dengan peningkatan cukai hartanah bagi hartanah pelaburan, kami jangkakan harga sewa mungkin naik sedang sesetengah pemilik hartanah perumahan mungkin menaikkan harga sewa untuk membiayai cukai hartanah lebih tinggi yang perlu dibayar," ujar Encik Ismail.



Tambahnya, langkah menaikkan cukai hartanah bagi rumah yang didiami pemilik pula adalah adil dan progresif, dengan mereka yang mampu membayar lebih menyumbang lebih banyak.



Pengurus Negara PropertyGuru Singapore, Dr Tan Tee Khoon, berkata penduduk yang lebih kaya merupakan golongan yang akan paling terjejas dengan cukai hartanah lebih tinggi bagi perumahan yang tidak didiami oleh pemilik.



"Mereka yang memiliki rumah mewah atau beberapa hartanah atau kedua-duanya akan rasa kesan paling besar kerana kadar cukai yang dikenakan bagi hartanah yang bernilai tinggi adalah jauh lebih tinggi.



"Pemilik rumah warga Singapura biasa yang memiliki hanya satu hartanah tidak akan terjejas dek perubahan ini," ujar beliau.




Berikut antara perubahan besar sistem cukai dalam usaha meningkatkan pendapatan  bagi membiayai perbelanjaan masa hadapan serta menangani ketidaksamaan sosial.



Kenaikan GST dalam dua tahap



  • Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dinaikkan daripada 7% kepada 9% dalam dua tahap

  • GST naik daripada 7% kepada 8% bermula 1 Januari 2023, dan daripada 8% kepada 9% pada 1 Januari 2024

Cukai pendapatan peribadi lebih tinggi bagi golongan bergaji tinggi



  • Bermula tahun penilaian 2024 bagi pendapatan yang diraih pada 2023

  • Bahagian pendapatan penduduk lebih $500,000 hingga $1 juta, akan dikenakan cukai 23%; lebih $1 juta pula akan dikenakan cukai 24%, lebih tinggi berbanding cukai 22% sekarang bagi pendapatan lebih $320,000

  • Dijangka jana pendapatan cukai tambahan $170 juta setiap tahun

Cukai hartanah lebih tinggi bagi hartanah kediaman



  • Dinaikkan dalam dua peringkat mulai 2023, dengan kenaikan lebih tinggi bagi hartanah lebih mahal

  • Cukai hartanah bagi perumahan yang tidak didiami oleh pemilik naik kepada antara 12% dengan 36%, berbanding antara 10% dengan 20% sekarang

  • Cukai hartanah bagi perumahan yang didiami pemilik bagi nilai tahunan lebih $30,000 naik kepada antara 6% dengan 32%, berbanding antara 4% dengan 16% sekarang

Cukai lebih tinggi bagi kereta mewah



  • Peringkat Bayaran Pendaftaran Tambahan (ARF) baru bagi kereta akan diperkenal dan jejas pembeli kereta jenama seperti Porsche Cayenne dan Bentley Continental GT

  • Pembeli kereta dengan nilai pasaran terbuka (OMV) lebih $80,000 akan dikenakan cukai bersamaan dengan 220% daripada jumlah lebih $80,000 itu, selain peringkat ARF tertinggi yang kenakan cukai hingga 180% daripada OMV kereta

Kenaikan cukai karbon secara bertahap



  • Dinaikkan kepada antara $50 dengan $80 setiap tan menjelang 2030 daripada kadar $5 sekarang



“Mereka yang memiliki rumah mewah atau beberapa hartanah atau kedua-duanya akan rasa kesan paling besar kerana kadar cukai yang dikenakan bagi hartanah yang bernilai tinggi adalah jauh lebih tinggi. Pemilik rumah warga Singapura biasa yang memiliki hanya satu hartanah tidak akan terjejas dek perubahan ini.”
- Pengurus Negara PropertyGuru Singapore, Dr Tan Tee Khoon.






“Dengan peningkatan cukai hartanah bagi hartanah pelaburan, kami menjangkakan harga sewa mungkin naik sedang sesetengah pemilik hartanah perumahan mungkin menaikkan harga sewa untuk membiayai cukai hartanah lebih tinggi yang perlu dibayar.” 
- Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Realty, Encik Ismail Gafoor.






“Semua penduduk kecuali 5 hingga 10 peratus penduduk teratas kemungkinan tidak akan terjejas dengan kenaikan cukai berbilang serampang ini.” 
- Ketua penyelidikan dan perundingan firma rundingcara hartanah Edmund Tie, Encik Lam Chern Woon. 





Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >