Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha warga tangani inflasi

Pengantin baru kurangkan makan luar

Baru-baru ini, pemerintah mengumumkan pakej bantuan bernilai $1.5 bilion untuk membantu warga Singapura mengharungi cabaran ekonomi dan kadar inflasi global yang tinggi kini. Inflasi yang meningkat telah menyebabkan harga barangan, termasuk makanan, elektrik dan gas, naik dan menjejas ramai warga. BERITA HARIAN memaparkan bagaimana inflasi telah menyebabkan perbelanjaan bulanan keluarga berubah dan bagaimana langkah-langkah bantuan yang diumumkan dapat membantu mereka.
Jul 09, 2022 | 05:30 AM



SYED Muhammad Syafiq, yang baru sahaja berumah-tangga pada Disember lalu, telah mula menanggung kos elektrik dan makanan yang kian meningkat.



Mereka berdua tinggal bersama ibu bapa Encik Syafiq sementara menunggu flat BTO mereka siap.



Sebagai pengantin baru, mereka mempunyai rancangan simpanan untuk melakukan renovasi bagi rumah baru dan untuk membina keluarga sendiri.



Namun, kenaikan kos dek inflasi yang semakin meruncing kini mungkin menjejas rancangan mereka.



Beberapa keluarga yang diwawancara Berita Harian (BH) berkata mereka terasa 'cubitan' inflasi gara-gara perbelanjaan yang meningkat untuk keperluan asas seperti barang pasar, membeli makan, pengangkutan dan bil utiliti.



Encik Syafiq sekeluarga jarang membeli barang pasar tetapi mereka tetap terasa kesannya menerusi perbelanjaan makan harian.



"Harga makanan sudah meningkat kerana harga barang pasar pun semakin tinggi.



"Sup ikan goreng dari pusat makanan yang saya gemari sudah meningkat dari $5.40 ke $6.20 untuk satu bungkus," kata Encik Syafiq.



Beliau juga berkata harga tambang menaiki Grab atau menyewa kereta Tribecar, telah meningkat baru-baru ini.



"Harga tambang untuk pergi ke Woodlands dari Jurong East meningkat dari $15 kepada sekitar $25. Kadar untuk waktu sibuk pasti lebih mahal," kata Encik Syafiq.



Kadang-kala, Encik Syafiq sekeluarga akan membatalkan rancangan untuk keluar pada hujung minggu jika harga tambang Grab terlalu mahal dan tidak dapat menyewa kereta. Ini salah satu cara mereka menjimat.



Tetapi yang paling mengejutkan Encik Syafiq adalah peningkatan dalam kos penggunaan elektrik yang telah meningkat hampir dua kali ganda dari bulan Mei hingga Jun.



"Bil elektrik saya untuk bulan Jun adalah $188 termasuk GST. Bil bulan lepas baru sekitar $80," kata Encik Syafiq.



Cuaca Singapura terlalu panas dan penduduk sudah biasa menggunakan hawa dingin katanya.



Rumah beliau misalnya ada tiga unit hawa dingin yang digunakan hampir setiap malam.



Untuk keluarga yang lebih besar, seperti keluarga Encik Mohamed Imran, perbelanjaan mereka secara keseluruhan telah meningkat sekitar 20 peratus.



Menurut Encik Imran, yang sudah bertugas di perkhidmatan seragam selama 20 tahun, perbelanjaan untuk barang runcit bagi keluarganya seramai lima orang kini antara $800-$1000 setiap bulan.



"Sebelum wabak Covid-19, kita dapat berjimat dengan membeli barang pasar di Johor (Bahru). Tetapi, Malaysia pun sedang mengalami kesan inflasi jadi penjimatannya sudah berkurang," kata Encik Imran.



Encik Imran mendapati peningkatan harga bahan-bahan segar adalah yang paling ketara.



"Harga dua atau tiga ekor ayam hampir $50. Dahulu, saya masih boleh beli sayur dan bahan lain dengan jumlah wang yang sama," kata Encik Imran.



Beliau berkata yang baucar CDC dan credit $100 untuk perbelanjaan utiliti yang dihulurkan pemerintah akan dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan tetapi hanya untuk jangka pendek.



Encik Imran menambah: "Saya dan isteri saya sering menggunakan baucar CDC untuk membeli bahan-bahan beku. Ia tahan lebih lama dan saya rasa ia salah satu cara untuk belanja secara cermat dan bijak."



Beliau juga mahu mengurangkan perbelanjaan untuk perkara yang kurang penting seperti menyewa kereta, memesan makanan dalam talian, dan mengurangkan aktiviti di luar dari dua hingga tiga kali seminggu kepada seminggu sekali.



Mereka juga cuba membuat penjimatan dalam aspek perbelanjaan lain. Misalnya, mereka mengawal penggunaan alat hawa dingin untuk mengurangkan bil elektrik.



Namun, Encik Imran dan Encik Syafiq risau tentang cabaran-cabaran yang akan timbul akibat kos sara hidup yang semakin meningkat, terutama sekali dengan GST yang akan meningkat dari 7 peratus ke 9 peratus tidak lama lagi.



Encik Imran berkata:



"Orang seperti saya harus menampung keperluan keluarga saya sendiri dan keperluan ibu bapa saya juga.



"Jadi, terdapat tekanan tambahan. Saya harap pemerintah akan ada lebih bantuan jangka panjang untuk membantu rakyat untuk mengatasi peningkatan GST dan inflasi."



Encik Syafiq pula yang baru mula membina keluarganya berkata:



"Pada masa ini, kami sedang menyimpan sebanyak mungkin wang yang kami boleh.



"Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang, siapa tahu betapa mahalnya kos sara hidup pada masa hadapan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >