Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: IKON MASYARAKAT

Pengasas jenama Crave gigih perluas niaga, jadi mentor kepada rakan peniaga lain

Walau di tengah-tengah pandemik, orak langkah buka pusat makanan mini yang turut gabungkan beberapa jenama makanan terkenal lain SG di bawah satu bumbung
Nov 11, 2021 | 05:30 AM



SEDANG banyak restoran dan kedai makan terpaksa ditutup sekarang akibat pandemik Covid-19, usahawan dan pemilik Crave - The Original Adam Rd Nasi Lemak By Selera Rasa, Dr Abdul Malik Hassan, melakukan sebaliknya.



Bukan sahaja beliau meluaskan perniagaannya dengan membuka sebuah tempat makan berkonsep baru tetapi pada masa yang sama, meluaskan usahanya untuk membantu pemilik niaga yang lain.



Dr Malik baru sahaja membuka sebuah pusat makanan mini yang menggabungkan beberapa jenama makanan terkenal di bawah satu bumbung.



Dikenali sebagai Kaaakis, ia merupakan pusat makanan mini yang ketiga dikendalikannya.



Terletak di Pasir Ris West Plaza, pusat makanan mini ini menggabungkan beberapa syarikat makanan terkenal seperti Padang Grill by Rumah Makan Minang, Old Amoy Chendol dan Ikan 1986.



Kaaakis yang pertama telah dibuka di Sun Plaza dekat Sembawang dan yang kedua di Buangkok.



Tiga lagi pusat makanan mini sepatutnya dibuka sehingga akhir tahun ini tetapi akibat kekurangan tenaga kerja, rancangan tersebut terpaksa dianjakkan kepada awal tahun depan.



Tiga tempat itu ialah pusat beli-belah Lot One Shoppers, pusat beli-belah Railway dekat Hillview dan pusat beli-belah Yew Tee.



"Kita bermula dengan Selera Rasa, kemudian lahir pula 'anaknya' Crave dan kini 'cucunya' pula, Kaaakis!" katanya.



Menurutnya, konsep baru ini merupakan strategi baru bagi mendekati lebih ramai pelanggan terutama yang tinggal di estet kejiranan.



Dan bagi meluaskan pilihan pelanggan, jenama terkenal yang kerap kali didapati di pusat penjaja, kini akan mengorak langkah ke pusat beli-belah pula.



Apa yang menarik ialah pemilik perniagaan yang menjadi rakan kongsinya akan turut menerima sesi pementoran secara peribadi untuk membantu mereka meluaskan perniagaan masing-masing.



Menurutnya, idea tersebut tercetus hasil perbualannya dengan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



"Beliau berkata dengan saya agar tampil ke hadapan untuk membantu syarikat makanan dan minuman (F&B) yang lain dan pada pendapat saya, ia merupakan satu idea yang cukup baik," ujarnya.



Berbekalkan dorongan itu, sejak November tahun lalu, Dr Malik mula memberanikan diri, memikirkan konsep baru bagaimana untuk menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.



Daripada situlah, beliau mempelawa beberapa jenama F&B terkenal untuk menyertainya dalam menjayakan pusat makanan mini yang baru ini.



Dan sejauh ini, sudah terdapat 15 jenama yang telah menyuarakan minat untuk turut serta.



Pada awalnya, menurut Dr Malik, kebanyakan jenama F&B itu mempunyai satu keprihatinan utama iaitu berkaitan perkongsian resipi.



"Tapi saya beritahu mereka ada cara tertentu untuk terus melindungi resipi turun-menurun itu. Membuka satu lagi cawangan tidak semestinya bermakna resipi itu diketahui orang lain.



"Apa yang kita lakukan ialah menyediakan pes dan tukang masak di sini hanya masak menggunakan pes tersebut," ujarnya.



Selain itu, beliau turut menasihati mereka tentang perkara seperti perbelanjaan, inventori dan aspek lain dalam menjalankan perniagaan di peringkat korporat.



Bagi Padang Grill by Rumah Makan Minang, Dr Malik berkata beliau mengambil masa sekitar setahun untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan bersama mereka untuk memperhalusi pes yang disediakan agar lebih mudah dimasak setiap hari.



Mengongsi pengalamannya, Encik Mohd Arif Mohd Zin, yang bertanggungjawab ke atas jenama Padang Grill by Rumah Makan Minang, berkata beliau amat berterima kasih atas bimbingan dan nasihat yang diberikan Dr Malik sepanjang proses ini.



"Tunjuk ajar dan panduan yang dikongsi Dr Malik dan pasukannya memang amat kami hargai. Bukan sahaja daripada segi menjalankan perniagaan, tetapi juga bagaimana untuk lock the deal atau dapatkan perjanjian dengan pembekal," katanya.



Beliau juga berkata pada awalnya, ibu bapanya, yang merupakan pengasas restoran nasi padang terkenal, Rumah Makan Minang, Cik Zubaidah Marlian dan suaminya, Encik Mohd Zin Harun, agak ragu-ragu dengan langkah yang diambil ini.



"Mungkin ia masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada usaha ini akan mendatangkan hasil ataupun tidak tetapi yang pastinya, belum cuba, belum tahu," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >