Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengawal keselamatan dipenjara 5 bulan, 2 minggu selepas langgar perintah duduk di rumah sewaktu dilanda Covid-19

Oct 14, 2021 | 09:33 PM



SEORANG pengawal keselamatan yang dijangkiti Covid-19 dan diminta duduk di rumah telah melanggar peraturan dengan keluar dari rumahnya untuk bertemu seorang pemberi pinjam wang kerana bimbang keluarganya tiada duit secukupnya untuk dibelanjakan sewaktu Hari Raya Puasa.



Dia berbohong tentang status kesihatannya kerana ingin pinjamannya diluluskan di cawangan peminjam wang Goldstar Credit di Hougang Mall. Kerana perbuatannya itu, cawangan itu perlu mengeluarkan $600 bagi menjalankan kerja penyahjangkitan di premisnya.



Burhanto Rejo, 56 tahun, dihukum penjara lima bulan dan dua minggu pada Khamis (14 Oktober) kerana melanggar perintah jangan keluar rumah ketika berada dalam cuti sakit.



Burhanto bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak 2018 di dormitori pekerja asing di Tanah Merah Coast Road. Dormitori itu menjadi kelompok Covid-19 sekitar Mei 2020.



Pada 18 Mei, Burhanto mula mengalami tanda jangkitan pernafasan akut dan diberi cuti sakit selama lima hari.



Seorang doktor di Poliklinik Yishun mengulangi pesanan bahawa Burhanto perlu duduk di rumah sepertimana yang diperlukan oleh undang-undang, mengikut dokumen mahkamah. 



Burhanto memberitahu penyelianya yang juga memintanya agar duduk di rumah.



Pada 9 pagi sekitar 23 Mei, doktor itu memberitahunya bahawa dia diuji positif Covid-19 dan mengarahkannya agar menanti ambulans untuk mengambilnya dalam tempoh sehari.



"Doktor itu sekali lagi memberitahu yang tertuduh agar dia mengasingkan dirinya dan duduk di rumah bagi mengelakkan jangkitan itu daripada merebak kepada orang lain," kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ng Jun Cheong.



Panggilan kedua diterimanya sekitar 1 petang bagi memberitahunya ambulans akan datang dalam masa enam jam tetapi Burhanto risau keluarganya tidak mempunyai wang mencukupi untuk dibelanjakan bagi Hari Raya Puasa yang jatuhnya pada 24 Mei.



Dia meminta anak saudaranya agar membuat tempahan kenderaan baginya berkunjung ke Hougang Mall untuk ke Goldstar Credit bagi meminjam wang.



Burhanto yang tidak demam berbohong kepada pegawai pinjaman dalam borang pengisytiharan kesihatan, menafikan dia mempunyai tanda flu dan sudah diberi perintah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).



Dia naik ke atas dan duduk di sofa tetapi menerima panggilan daripada anggota keluarganya yang mengatakan seorang pegawai ambulans ada di rumahnya.



Sedang dia bergegas keluar dari Goldstar Credit dan menaiki teksi untuk pulang, dia menerima beberapa panggilan dari Hospital Khoo Teck Puat dengan pegawai ambulans itu bertanyakan lokasinya ketika itu.



Dia pulang ke rumah sekitar 3 petang dan dihantar ke hospital.



Kerana perbuatannya itu, cawangan Goldstar Credit itu perlu menjalankan kerja pembersihan rapi dengan biaya $600, jelas dokumen mahkamah lagi. Tiga orang yang ditemui, dua pemandu dan seorang pegawai pinjaman serta anggota keluarganya perlu dikuarantin.



Memohon bagi penjara enam bulan, DPP Ng berkata terdapat keperluan yang dipertingkat bagi menghalang sebarang kesalahan yang membahayakan kesihatan awam, apa lagi dalam tempoh pandemik ini.



"Memandangkan yang tertuduh diuji positif Covid-19, risiko jangkitannya sangat tinggi. Nasib baik tiada bukti orang lain yang ditemui turut dijangkiti," jelas DPP Ng sambil menambah Burhanto telah dipesan berulang kali agar duduk di rumah.



Dalam rayuannya pula, Burhanto yang tidak diwakili peguam, berkata dia adalah satu-satunya pencari rezeki buat keluarganya yang mempunyai banyak hutang untuk dilangsaikan.



Isterinya tidak boleh bekerja di sini kerana beliau warga asing dengan pas jangka panjang. Mereka juga perlu menyara anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun, jelas Burhanto yang memberi keterangan dalam bahasa Melayu melalui seorang penterjemah.



"Saya merayu agar diberi hukuman lebih ringan kerana sukar buat keluarga saya seandainya saya dipenjara," kata Burhanto sedang isterinya menangis di balik dewan perbicaraan.



Hakim Daerah Janet Wang membenarkan permohonan Burhanto bagi menunda hukuman penjaranya kepada 22 November agar dia boleh menyiapkan dokumen bagi memohon bantuan kewangan dan buat masa ini mencari rezeki buat keluarganya sebelum dia dipenjara.



Hakim Wang, bagaimanapun, menolak usulan DPP Ng agar ikat jamin buat Burhanto dinaikkan dari $2,000 kepada $3,000, selepas Burhanto berkata dia tidak dapat mencari seseorang untuk membayar ikat jamin tersebut buatnya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >