Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengembara lengkap divaksin dari Australia, Switzerland, boleh masuk S'pura tanpa kuarantin mulai 8 Nov

Oct 26, 2021 | 06:31 PM



PENGUNJUNG yang lengkap divaksin dari Australia dan Switzerland boleh memasuki Singapura tanpa kuarantin mulai 8 November apabila negara ini memperluas lagi skim membuka semula sempadan buat golongan yang divaksin.



Dengan Australia dimasukkan ke dalam skim Laluan Perjalanan Bagi Orang Yang Divaksin (VTL), ini bererti penduduk Australia boleh menikmati kembara dua hala bebas kuarantin antara kedua-dua negara mulai 8 November, sementara urusan kembara serupa buat pemilik pas pelajar dan perniagaan dari Singapura dijangka berkuatkuasa menjelang 23 November.



Switzerland telah pun membuka sempadannya buat semua pengunjung dari Singapura. Justeru, peluasan skim VTL yang melibatkan Switzerland ini bererti penduduk Singapura boleh terbang ke negara-negara ini dan kembali tanpa perlu menjalani kuarantin di Switzerland atau Singapura.



Bagaimanapun, penduduk Singapura yang bercadang berkunjung ke Australia bagi kembara riadah perlu menunggu lebih lama bagi kunjungan dua hala tanpa kuarantin. Canberra menjelaskan ini mungkin berlaku menjelang Disember.



Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, mengumumkan tentang VTL baru ini dalam satu sidang media maya pada Selasa (26 Oktober). Beliau menyatakan, penting bagi Singapura gigih melaksanakan usaha membuka semula sempadan dan membangun semula kedudukannya sebagai hab penerbangan.



Beliau menjelaskan kedua-dua negara mempunyai pertalian ekonomi dengan Singapura dan menambah bahawa kedua-dua negara mempunyai kadar jangkitan Covid-19 yang sama atau lebih rendah daripada Singapura dan negara VTL lain.



Beliau menambah Singapura kini dalam perbincangan dengan beberapa negara lain termasuk negara jiran dalam melancarkan lebih banyak VTL.



Encik Iswaran menambah kuota VTL yang ada kini iaitu 3,000 pengembara setiap hari akan ditambah kepada 4,000 setiap hari dengan pengumuman dua VTL baru ini.



VTL membolehkan pengunjung yang lengkap divaksin memasuki Singapura tanpa perlu menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN). Sebaliknya, mereka akan mengambil ujian swab Covid-19 sebelum keberangkatan dan sesudah ketibaan di Singapura.



Singapura telah sejauh ini mengumumkan 11 VTL. 10 daripadanya termasuk bersama Amerika Syarikat dan Britain, yang sudah bermula, manakala yang terakhir bersama Korea Selatan dijangka bermula pada 15 November.



Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata pelaksanaan berjaya skim VTL ini sejauh ini telah memberi CAAS pengalaman dan keyakinan memperluaskannya lagi buat lebih banyak negara.



Ia menambah akan ada langkah berjaga-jaga seperti ujian Covid-19 di bawah skim ini dan jumlah kedatangan akan diuruskan oleh kuota VTL yang diperkenalkan kini.



"Kami akan memantau kemajuan skim ini secara rapi sebelum mengambil keputusan untuk sebarang tambahan kapasiti lanjutan," tambah CAAS.



Mengenai pembukaan semula buat Australia, CAAS berkata Australia adalah antara 10 pasaran paling tinggi bagi kedatangan tahunan penumpang ke Lapangan Terbang Changi, yang membawa pada sekitar empat peratus daripada keseluruhan kedatangan penumpang pada 2019.



Terdapat lebih 50,000 warga Singapura yang menetap di Australia sementara lebih 25,000 warga Australia tinggal di Singapura, jelas CAAS.



Mengenai pembukaan semula buat Switzerland pula, CAAS berkata negara itu adalah pusat kewangan utama dan diletakkan sebagai antara rakan kerjasama perdagangan dan pelaburan Singapura paling utama.



Ia menambah terdapat kewujudan niaga yang utuh bagi lebih 1,000 syarikat Switzerland yang beroperasi di Singapura. Antaranya termasuk bank, syarikat insuran dan badan korporat besar.



Terdapat sekitar 3,000 ekspatriat Switzerland yang menetap di Singapura.



CAAS menambah: "Sedang situasi Covid-19 secara global berubah, kita akan terus mengubahsuai langkah sempadan kita dengan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan awam terjaga."



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >