SIAPA yang bakal memegang jawatan pengerusi baru Angkatan Karyawan Islam (AMP) akan diketahui selepas anggota lembaga baru badan itu mengadakan mesyuarat pertamanya, yang dijangka berlangsung sebelum akhir tahun ini.
"Lembaga baru akan mengadakan mesyuarat selepas AGM (mesyuarat agung tahunan) untuk melantik Pengerusi baru. Mesyuarat ini akan diadakan bulan ini pada tarikh yang akan ditetapkan," kata kenyataan AMP selepas badan itu mengadakan AGM-nya ke-24 tadi, Sabtu (12 September).
Semalam, akhbar ini melaporkan pengerusi baru AMP mungkin diketahui sejurus selepas AGM itu, namun Berita Harian difahamkan ekoran beberapa faktor pentadbiran, ia dijangka diumumkan selepas mesyuarat pertama lembaga baru itu bulan ini.
Dalam AGM semalam, para anggota AMP telah memilih lima pengarah baru bagi membentuk lembaga baru badan tersebut.
Pengarah baru itu adalah - Dr Md Badrun Nafis Saion; Encik Mohamad Azmi Muslimin; Encik Muhamad Nazzim Muhamad Hussain; Encik Othman Marican dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Dua pengarah paling lama berkhidmat, Encik Mohd Raziff Abdull Hamid dan Encik Azmoon pula telah bersara.
Encik Azmoon bersara sebagai Pengerusi AMP.
Berikut senarai penuh anggota lembaga pengarah baru AMP:
1. Encik Abdul Hamid Abdullah, 60 tahun, Auditor Khidmat Awam;
2. Dr Bibi Jan Mohd Ayyub BBM, 57 tahun, Kaunselor Sekolah Menengah MacPherson;
3. Dr Md Badrun Nafis Saion, 40 tahun, Konsultan Bersekutu, Unit Pergigian Pediatrik, Penjagaan Pergigian Nasional Singapura;
4. Encik Mohamad Azmi Muslimin, 46 tahun, Pelabur Swasta;
5. Dr Mohd Nawab Mohd Osman, 36 tahun, Penolong Profesor, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU);
6. Encik Muhamad Nazzim Muhamad Hussain, 54 tahun, Ketua Pegawai Operasi Vector Scorecard
7. Encik Muhd Shamir Abdul Rahim, 33 tahun, Pengarah Urusan, Sypher Labs Pte Ltd;
8. Encik Othman Marican, 65 tahun, Pengurus Sumber Manusia (Bersara);
9. Encik Phiroze Abdul Rahman, 52 tahun, Pengurus Materials II-VI Singapore Pte Ltd; dan
10. Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, 35 tahun, rakan kongsi firma guaman Rodyk & Davidson LLP