Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PILIHAN RAYA PRESIDEN

Pengerusi syarikat marin umum hasrat ingin bertanding

Jul 12, 2017 | 05:30 AM



PENGERUSI syarikat minyak dan gas Farid Khan Kaim Khan telah mengumumkan secara rasmi hasratnya mahu bertanding dalam Pilihan Raya Presiden September ini.



Bercakap di sidang media semalam, Encik Farid, yang berketurunan Pakistan dan pengarah syarikat Bourbon Offshore Asia Pacific, berkata beliau mengambil keputusan mahu bertanding bagi "menunaikan amanah rakyat".



"Kini, pada usia 62 tahun, saya boleh melakukan dua perkara - bersara dan meninggalkan segala-galanya, atau menggunakan segala pengalaman yang telah saya kumpulkan selama ini untuk berkhidmat kepada negara. Inilah sebabnya saya berada di sini hari ini," ujar Encik Farid, yang bertutur dalam bahasa Inggeris dan Melayu.



Encik Farid adalah orang kedua melahirkan hasrat mahu bertanding dalam Pilihan Raya Presiden bagi calon Melayu sejak semakan perlembagaan November lalu.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Mohamed Salleh Marican, mengumumkan beliau ingin bertanding bulan lalu.



Menjawab soalan wartawan berkenaan kelayakannya bertanding sebagai calon Melayu, Encik Farid berkata beliau yakin permohonannya akan diluluskan.



"Memang saya berketurunan Pakistan, tetapi saya anggap diri saya orang Melayu.



"Susah nak cakap kami bukan orang Melayu... saya dilahirkan di Geylang Serai dan bahasa kedua saya ialah bahasa Melayu. Anggota keluarga saya berkahwin dengan orang Jawa dan Bawean... kami satu keluarga besar dan kami melakukan apa yang dilakukan orang Melayu di Singapura," tambahnya.



Semakan Perlembagaan tahun lalu turut mengenakan syarat lebih ketat bagi calon sektor privet yang ingin bertanding.



Antara lain, calon itu perlu memimpin syarikat yang memiliki ekuiti pemegang saham $500 juta.



Walaupun tidak mendedahkan nilai ekuiti pemegang saham syarikatnya di sidang akhbar semalam, Encik Farid berkata beliau yakin dapat memenuhi syarat itu semasa menjawab soalan wartawan berkenaan perkara ini.



"Saya agak yakin akan dapat melayakkan diri. Ada banyak cara menghitung ekuiti pemegang saham... Bourbon (ibu syarikat Bourbon Offshore berpangkalan di Perancis) ialah syarikat agak besar, antara yang terbesar di dunia.



"Anda boleh pergi ke laman web kami, dan lihat sendiri... semuanya terbuka kerana kami syarikat disenarai di bursa saham," ujar Encik Farid, yang menambah bahawa beliau bercadang menyerahkan borang permohonan dan dokumen sokongan kepada Jabatan Pilihan Raya minggu depan.



Dalam kenyataannya semalam, beliau berkata Bourbon mengendalikan lebih 500 kapal pada 2016. Ia menggajikan sekitar 10,000 pekerja di 45 negara.



Sekitar 200 penyokong, terdiri daripada rakan industri dan anggota keluarga beliau hadir di jamuan yang diadakan selepas sidang akhbar di Hotel Changi Village semalam. Di sana, beberapa poster juga dipamerkan, yang menunjukkan Encik Farid mengayakan baju kurung Melayu dan pakaian korporat.



Encik Farid juga pengasas syarikat operasi bawah laut Bumi Subsea, pemberi khidmat kenderaan bawah laut kawalan jauh dan peralatan menyelam bagi industri binaan serta minyak dan gas.



Menurutnya, beliau ingin memperjuang lima perkara sebagai presiden - bekerja rapat dengan pemerintah untuk menangani isu radikalisme, memperkukuh hubungan antara warga berbilang kaum, membantu golongan yang berkeperluan, mencipta pekerjaan, dan memperkukuh keluarga.



Dalam pada itu, Encik Farid berkata beliau juga memberi sumbangan kepada masyarakat di luar bidang kerjayanya.



Beliau berkhidmat sebagai pengerusi Jawatankuasa Memandu Careers@Maritime - inisiatif Mendaki Sense yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang kerjaya dalam industri marin, dan terlibat dalam beberapa program di masjid, termasuk di Masjid Tentera Diraja di Clementi Road.



Encik Farid mendirikan rumah tangga pada 1989 dengan Cik Naeemah Shaik Abu Bakar, 62 tahun; dan pasangan itu mempunyai dua anak - Cik Raeesah Khan, 23 tahun, dan Encik Yusuf Khan, 18 tahun.



"Ada tiga perkara penting dalam hidup saya - keluarga, masyarakat dan negara. Saya berharap diberi peluang berkhidmat kepada negara saya," ujarnya.




BIODATA



Farid Khan Kaim Khan, 62 tahun



Keluarga



- Isteri: Naeemah Shaik Abu Bakar, 62 tahun



- Anak: Raeesah Khan, 23 tahun, pengurus besar Seri Restaurant, dan pengasas pertubuhan tanpa untung;



Yusuf Khan, 18 tahun, pelajar jurusan kejuruteraan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE)



Pendidikan:



- Sekolah Menengah Bartley (sehingga menengah dua. Encik Farid meninggalkan sekolah untuk bekerja selepas bapanya meninggal dunia)



- Politeknik Singapura - meraih kelayakan menjadi Jurutera Junior pada 1983, selepas mengikuti kursus kejuruteraan kelautan



Kerjaya



- 1968: Mula bekerja di kilang memproses kayu balak dan mencuci kereta di stesen minyak pada waktu malam, pada usia 13 tahun



- 1970: Bertugas sebagai pembantu mekanik di limbungan kapal



- 1976: Menjadi Steward atau pembantu kapten di sebuah kapal milik Neptune Orient Lines (NOL). Beliau meninggalkan syarikat itu sebagai Jurutera Ketiga



- 1977: Bekerja di syarikat tengah laut PT Shillelagh dan PT Satmarindo sebagai Jurutera Kedua, sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Jurutera



- 1994: Mula bertugas dengan Agensea Pte Ltd di Singapura, sebelum berpindah ke PT. Pelangi Niaga Mitra Internasional, yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia. Di Pelangi, Encik Farid diberi peluang mempertingkat kemahiran beliau dalam pengurusan dan menjadi pengurus besar pada 2003



- 2004: Berpindah ke Pelangi Mitra Offshore Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura. Beliau menjadi rakan kongsi di syarikat itu dan berkhidmat sebagai pengarah sehingga 2015



- 2005: Menjadi rakan kongsi Bourbon Offshore - yang berpangkalan di Perancis - untuk menubuhkan Bourbon Offshore Asia Pte Ltd. Beliau kini menjadi pengerusi syarikat ini



- 2015: Membentuk Bumi Subsea Asia Pte Ltd - syarikat yang memberi khidmat kenderaan bawah air kawalan jauh dan peralatan menyelam kepada industri minyak dan gas serta sektor binaan



Kerja kebajikan:



Pengerusi Jawatankuasa Memandu Careers@Maritime (inisiatif Mendaki Sense); Penasihat Industri di Lembaga Penasiat Akademi Kelautan Singapura (SMA); menyokong program bantu belia di Masjid Tentera Diraja



* Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.




PILIHAN RAYA PRESIDEN



  • Pilihan Raya Presiden yang dijadual berlangsung pada September ini dikhaskan bagi calon Melayu.

  • Lantaran itu, orang yang berharap menjadi Presiden perlu memohon untuk dua sijil yang dimestikan - Sijil Kelayakan dan Sijil Masyarakat.

  • Tempoh permohonan untuk bertanding dibuka pada 1 Jun 2017 dan akan terus dibuka sehingga hari kelima selepas Writ Pilihan Raya diumumkan oleh Perdana Menteri. Writ ini dijangka diumumkan bulan depan.

  • Mengikut undang-undang Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) dan Jawatankuasa Masyarakat mempunyai sekurang-kurangnya 10 hari selepas Writ dikeluarkan untuk menilai pemohon. Pemohon akan diberitahu tentang hasil permohonan sebelum Hari Penamaan Calon.

  • Tempoh berkempen bermula selepas Hari Penamaan Calon. Ia berakhir pada Hari Bertenang - di mana kegiatan berkempen dilarang, 24 jam sebelum Hari Mengundi.

  • September 2017: Hari Mengundi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >