Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSONALITI

Pengerusi termuda RC tabur bakti demi ikatan penduduk

Apr 22, 2018 | 05:30 AM



NIAT murni mahu menabur bakti dirasakan bagai dibalas dengan tuba selepas bantuan yang dihulurkan disambut bukan dengan kesyukuran, tetapi rungutan dan raut wajah yang bercuka.



Malah, hati Cik Nur Zatul Ezza Zainal pernah terguris apabila sapaan lembutnya disahut dengan bunyi dentuman pintu sewaktu lawatan ke rumah penduduk.



Namun demikian, telatah segelintir penduduk HDB ini tidak sedikit pun mematahkan semangat pemimpin akar umbi itu dalam menggalas tugas merapatkan ikatan antara penduduk di kejiranannya.



Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 7 Woodlands itu berasa lebih terdorong melakukan yang terbaik demi kesejahteraan penduduk yang menginap di sekitar 13 blok di situ.



"Sebenarnya kebanyakan penduduk hargai apa yang kami lakukan, cuma satu, dua yang suka merungut dan masam muka walaupun selepas dibantu.



"Ada yang hentam pintu apabila kami datang ziarah. Tetapi saya tidak kecil hati. Saya berfikiran positif kerana saya percaya kita tidak harus cepat menilai. Kita harus sedar setiap orang mempunyai masalah masing-masing dan bergelut dengan krisis peribadi yang langsung tidak kita ketahui,'' ujar guru prasekolah di Tadika MOE berusia 28 tahun itu sambil mengukir senyuman.



Dek kematangan fikiran dan semangat kejiranan yang jauh melewati usia mudanya itu, tidak hairanlah jika Cik Nur Zatul Ezza dipilih memimpin pasukan sukarelawan seramai 30 orang di RC itu.



Malah, beliau mencipta sejarah apabila menjadi pengerusi RC termuda di kalangan anggota akar umbi semasa dilantik pada November 2016.



Mengimbas detik awal pelantikan itu, beliau, yang baru lima bulan menyertai kegiatan akar umbi sebelum dilantik sebagai pengerusi, berkata:



"Pada mulanya ada anggota yang jauh lebih tua dan berpengalaman nampak macam tidak pandang serius pada saya dan ragu-ragu tentang kebolehan saya untuk memimpin kerana masih muda.



"Mereka berhak mempunyai pandangan masingmasing. Tetapi, saya cuba tawan hati dan perasaan mereka dengan melakukan yang terbaik dan lama-kelamaan mereka bertambah yakin dengan saya.''



Sebagai pengerusi RC dan juga anggota Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Woodlands, antara tanggungjawabnya ialah membantu Anggota Parlimen GRC Sembawang, Encik Amrin Amin, menganjurkan kegiatan untuk penduduk seperti parti blok bagi mewujudkan sekitaran kejiranan yang harmoni, kegiatan gaya hidup sihat dan memberi bantuan kepada keluarga memerlukan.



Walaupun terpaksa menghabiskan banyak masa lapang khususnya pada hujung minggu, cabaran itu dihadapi dengan hati terbuka dan berlapang dada kerana kerja kemasyarakatan sudah mendarah daging dalam jiwanya.



Ia berputik sejak menengah dua apabila beliau menjadi sukarelawan di Persatuan Terencat Akal Singapura (Minds).



Penglibatan dalam kerja akar umbi pula bermula selepas beliau, yang menginap di kejiranan itu, menerima undangan Encik Amrin untuk menyertai pasukan akar umbinya dalam satu lawatan mengunjungi penduduk.



Di samping semangat berkobar-kobar, keupayaan Cik Nur Zatul Ezza bertutur dalam bahasa Mandarin turut membantu beliau dalam usahanya mendekati penduduk.



Beliau mengambil mata pelajaran itu sebagai satu elektif semasa menuntut di Fakulti Sains Biologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sebelum mendalaminya menerusi kursus-kursus lanjutan di balai-balai rakyat selepas tamat pengajian.



Beliau kini di peringkat pertengahan dalam penguasaan bahasa itu.



"Saya rasa cukup seronok belajar bahasa Mandarin dan ia telah banyak membantu saya menjalin ikatan dengan penduduk,'' kata bekas pelajar Politeknik Ngee Ann itu, yang pernah bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di sebuah syarikat swasta sebelum menukar haluan ke bidang pendidikan prasekolah selepas mengikuti diploma dalam bidang itu di bawah biasiswa MOE.



Penukaran kerjaya itu terpaksa dilalui berikutan kecederaan pada pergelangan tangan yang menjejas keupayaannya menggerakkan jari jemari dalam kerja penyelidikan.



Ditanya apakah kepuasan menjadi seorang anggota akar umbi, beliau yang masih solo berkata:



"Melihat penduduk berbilang bangsa hidup bergotong-royong dan saling membantu memberi saya banyak kepuasan.



"Saya masih ingat semasa bulan puasa lalu, penduduk bukan Islam turut membantu penduduk Islam menganjurkan majlis iftar di bawah blok dan sama-sama berkemas selepas majlis berakhir.



"Sumbangan ini tampak kecil tapi kesannya amat mendalam. Semangat seperti inilah yang benar-benar menyentuh perasaan saya.''



PERSONALITI "Sebenarnya, kebanyakan penduduk hargai apa yang kami lakukan, cuma satu, dua yang suka merungut dan masam muka walaupun selepas dibantu. Ada yang hentam pintu apabila kami datang ziarah. Tetapi saya tidak kecil hati. Saya berfikiran positif kerana saya percaya kita tidak harus cepat menilai. Kita harus sedar setiap orang mempunyai masalah masing-masing dan bergelut dengan krisis peribadi yang langsung tidak kita ketahui.''
- Cik Nur Zatul Ezza Zainal, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 7 Woodlands.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >