Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penggiat teater mahu kongsi pengalaman jaga ibu alami dememsia

Sep 20, 2018 | 05:30 AM



TINGKAH laku ibu Cik Noorlinah Mohamed mula berubah sedikit demi sedikit sejak sembilan tahun lalu.



Antara lain ibunya, Cik Beebee Mohamed Salam, sering lupa di mana beliau meletakkan barang-barangnya dan akan menuduh orang lain 'mencuri' barangnya.



Cik Noorlinah juga mendapati masakan ibunya, yang sebelum ini terkenal dengan kehandalannya di dapur, juga berubah - masakan beliau ada kalanya terlalu masin, terlalu manis, atau kurang bahan.



Malah, perwatakannya juga berubah; daripada seorang yang pendiam kepada seorang yang banyak bercakap.



Pertuturannya pula ada kalanya tidak beralas.



Setelah dibawa menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa Cik Beebee, kini 92 tahun, mengalami demensia.



Sejak itu, Cik Noorlinah, 50 tahun, telah berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjaga pesakit demensia, melalui sesi-sesi latihan yang diadakan Persatuan Penyakit Alzheimer (ADA) dan juga melalui kajian sendiri.



Menurut Cik Noorlinah, apabila simtom-simtom demensia muncul, ia tidak harus dinafikan kerana jika ia tidak dirawat serta merta, simtom-simtom tersebut mungkin bertambah teruk.



"Satu perkara penting yang saya pelajari adalah untuk menilai keperluan pesakit itu dengan teliti dan bukan hanya memutuskan berdasarkan apa yang kita rasa pesakit itu perlu," katanya.



Walaupun kededua Cik Noorlinah dan suami bekerja, mereka akan memastikan bahawa keperluan Cik Beebee cukup tersedia dengan bantuan pembantu rumah.



Cik Noorlinah, yang bekerja dalam bidang teater secara bebas, akan memastikan beliau mempunyai masa lapang untuk menghantar ibunya ke hospital.



Beliau turut memastikan bahawa ibunya terlibat dalam aktiviti-aktiviti harian untuk memberikan peluang berinteraksi dengan orang lain dan juga bersenam.



Antaranya, apabila Cik Noorlinah bekerja, pembantu rumahnya akan membawa ibunya bersiar-siar di sekeliling kawasan rumah mereka dan juga membawanya ke pasar, walaupun ibunya berkerusi roda.



Selain itu, walaupun pergerakan Cik Beebee terhad, Cik Noorlinah akan tetap membawa Cik Beebee menyertai zumba yang dikhaskan untuk warga emas di Kelab Masyarakat (CC) berdekatan rumahnya.



Cik Noorlinah akui sokongan keluarga, terutama sekali suaminya begitu penting dalam membantu mempermudahkan usaha menjaga ibunya.



"Memang menjaga pesakit demensia memenatkan, terutama sekali apabila anda bekerja dan terpaksa terkejar ke rumah atau hospital untuk menjaga mereka.



"Selain kepenatan fizikal, anda juga akan berasa penat secara mental, kerana terlalu banyak perkara yang harus difikirkan; cara terbaik untuk menguruskan mereka, layan tingkah laku dan perbualan mereka, dan ada kalanya membuat keputusan untuk mereka," katanya.



Menurut Cik Noorlinah, kesukaran yang dihadapi dapat diringankan jika kelucuan diselitkan di sana sini dan tidak terlalu serius.



Beliau turut melihat hikmah di sebalik apa yang berlaku, kerana hubungannya bersama ibunya semakin rapat selepas Cik Beebee sakit.



Katanya: "Saya menganggapnya sebagai satu perjalanan dalam hidup yang akan menambah kekuatan diri saya, dan saya menyahut cabaran tersebut dan hanya berazam untuk melakukan yang terbaik."



Cik Noorlinah akan berkongsi pengalamannya menjaga pesakit demensia sebagai salah seorang ahli panel di Sidang Bulan Alzheimer Sedunia (WAM) 2018.



Sidang tersebut akan dibuka kepada orang ramai di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair, Sabtu ini, mulai 9 pagi.



Maklumat lanjut boleh diperolehi di http://alz.org.sg/wam2018/.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >