Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penggodaman sistem satelit bukan lagi sekadar teori

Jun 15, 2022 | 05:30 AM



KEGAGALAN sistem navigasi syarikat penerbangan hingga membawa kepada perlanggaran pesawat dan gangguan isyarat mudah alih mengakibatkan kehilangan komunikasi mungkin kelihatan seperti adegan daripada sebuah filem aksi, tetapi ancaman ini - timbul apabila sistem satelit digodam - lebih dekat kepada realiti daripada apa yang kita sangka, kata pakar.



"Kami melihat penggodam mempunyai alat lebih cekap... (dan) sistem satelit ialah sasaran sangat menarik bagi penggodam kerana banyak aktiviti kita sekarang berdasarkan perkhidmatan yang disediakan oleh satelit," kata Encik Franck Perrin, ketua keselamatan siber, platform dan prasarana bagi pembuat satelit Thales Alenia Space, lapor The Straits Times.



Beliau berkata banyak komponen dalam satelit kini telah digantikan dengan sofwe, sekali gus membolehkan platform angkasa lepas menjadi lebih terhubung dengan prasarana darat dan membuka lebih banyak cara untuk diakses melalui sistem sedemikian.



Encik Perrin berkata demikian semasa berucap kepada wartawan dari seluruh dunia pada Hari Media Thales, yang dianjurkan oleh firma berbilang negara Perancis Thales di Paris bulan lepas.



Ketua Pejabat Keselamatan Agensi Angkasa Eropah, Encik Massimo Mercati, berkata di majlis yang sama bahawa hanya seorang penggodam sahaja yang diperlukan untuk menceroboh sistem darat rangkaian satelit atau pertubuhan jenayah dengan banyak sumber untuk menyerang satelit itu secara langsung.



Serangan terbaru yang diketahui ke atas rangkaian satelit berlaku pada 24 Februari dan ia berlaku ketika Russia sedang menyerang Ukraine.



Penggodaman itu menghapuskan perkhidmatan jalur lebar satelit bagi puluhan ribu isi rumah di seluruh Eropah, kata penyedia perkhidmatan Internet Viasat, yang memiliki satelit itu.



Penggodam itu, yang tidak dikenal pasti dalam laporan Viasat, mengeksploitasi konfigurasi yang salah dalam peranti rangkaian peribadi maya, yang merupakan sebahagian daripada sistem darat, untuk mendapatkan akses jauh ke rangkaian syarikat itu, yang menyambungkan satelitnya, KA-SAT, dan modem pelanggannya.



Penceroboh itu kemudian menghantar arahan kepada banyak modem, yang tulis ganti data utama dalam storan memori peranti dan menghentikannya. Tetapi Viasat berkata satelit itu tidak terjejas.



Kesatuan Eropah serta negara seperti Amerika Syarikat dan Britain menyalahkan Russia bagi serangan siber itu, lapor Reuters.



Dalam acara di Paris itu, pengurus pembangunan perniagaan Thales, Cik Silvia Diana, berkata sasaran utama serangan siber ke atas rangkaian satelit ialah sistem darat.



Jika berjaya, penceroboh boleh mendatangkan malapetaka dengan menghantar arahan salah atau memuat naik sofwe jahat ke pelbagai komponen rangkaian yang terjejas.



Serangan ini boleh menjejas perkhidmatan seperti siaran televisyen, sambungan Internet dan sistem navigasi, serta merosakkan data yang dihantar melalui rangkaian, termasuk maklumat berkaitan perbankan, operasi ketenteraan dan penyelidikan saintifik, katanya.



Encik Perrin berkata tidak ada kes diketahui mengenai satelit digodam secara langsung.



Tetapi ini tidak bermakna serangan siber seperti itu tidak akan berlaku, tambahnya.



Encik Mercati pula berkata apa yang diperlukan ialah pertubuhan jenayah yang mempunyai sumber dan teknologi untuk melakukan itu.



Amaran serupa mengenai penggodaman komunikasi satelit diberi seawal 2018 apabila penyelidik di persidangan Black Hat di Las Vegas berkata ancaman seperti itu terhadap kapal, pesawat dan tentera bukan lagi sekadar teori.



Secara khusus, penyelidik keselamatan bebas, Encik Ruben Santamarta, telah memberi amaran bahawa pelbagai sistem komunikasi satelit popular terdedah kepada serangan siber disebabkan kelemahan dalam langkah keselamatan mereka.



Contohnya, seperti pintu belakang yang boleh digunakan oleh penggodam untuk mengakses sistem dengan mudah.



"Akibat daripada kelemahan ini sangat mengejutkan. Oleh itu, kes teori yang saya bangunkan empat tahun lalu bukan lagi teori," katanya kepada media Britain, The Guardian.



Encik Santamarta, yang bekerja untuk firma keselamatan maklumat IOActive pada masa itu, berkata serangan ini berfungsi dengan mengakses dan mengawal antena satelit di lapangan, membolehkan penggodam memintas atau mengganggu komunikasi - misalnya mencuri dengar e-mel - atau malah melancarkan serangan penggodaman selanjutnya ke atas peranti yang terhubung.



Penggodam juga akan dapat menentukan lokasi antena satelit, yang boleh menjejas lokasi pasukan tentera atau pangkalan yang menggunakannya.



Penyelidik juga berkata antena itu mungkin digunakan untuk melancarkan "serangan frekuensi radio intensiti tinggi", yang boleh menyebabkan kerosakan pada sistem elektrik.



"Ia hampir sama dengan prinsip di sebalik ketuhar gelombang mikro," tambahnya.




"Kami melihat penggodam mempunyai alat lebih cekap... (dan) sistem satelit ialah sasaran sangat menarik bagi penggodam kerana banyak aktiviti kita sekarang berdasarkan perkhidmatan yang disediakan oleh satelit."



- Encik Franck Perrin, ketua keselamatan siber, platform dan prasarana pembuat satelit Thales Alenia Space.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >