PENGGUBAH muzik India, Encik Joey Mendoza, yang sebelum ini mendakwa beliau menulis We Can Achieve - lagu yang mirip dengan lagu Hari Kebangsaan Count on Me, Singapore - mengesahkan beliau tidak menggubah lagu itu pada 1983 menyusuli pemeriksaan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Encik Mendoza, yang dituduh meniru lagu itu, kini menarik balik dakwaannya itu dan didapati tidak memiliki bukti untuk mengesahkan dakwaan beliau menulis lagu We Can Achieve pada 1983.
Beliau juga "tidak membuat sebarang tuntutan terhadap lirik dan lagu" Count on Me, Singapore, kata MCCY dalam satu kenyataan di Facebook semalam.
Kementerian itu menambah Encik Mendoza juga menerima bahawa pemerintah Singapura memegang hak cipta muzik dan lirik lagu tersebut.
"Beliau telah tanpa syarat dan secara tidak dapat diubah menarik balik segala tuntutan dalam apa jua sifat, secara langsung atau tidak langsung, berkaitan lirik dan lagu We Can Achieve, yang serupa dengan lagu itu (Count on Me, Singapore).
"Beliau telah memaklumkan kepada semua rakan sekerja dan rangkaiannya di atas, dan mengarahkan semua platform media sosial untuk memadamkan We Can Achieve," kata MCCY.
Lagu We Can Achieve itu terbabit dalam satu kontroversi ciplak minggu lalu, dengan Encik Mendoza mendakwa beliau menulis lagu itu pada 1983 - tiga tahun sebelum Count on Me, Singapore, yang digubah warga Canada, Encik Hugh Harrison, dan disusun penyanyi jaz tanah air, Encik Jeremy Monteiro, pada 1986.
Dalam laporan The Straits Times baru-baru ini, Encik Monteiro berkongsi pengalamannya berada di dalam studio rakaman apabila lagu itu ditulis pada lewat 1985 dan diselesaikan pada 1986.
MCCY, yang memegang hak cipta lagu itu, memetik bukti sezaman Encik Monteiro, dan juga pemeriksaan yang dijalankan di India yang menunjukkan "tiada bukti atau rekod apa pun daripada Encik Mendoza yang memiliki sebarang hak terhadap We Can Achieve dari tahun 1983 atau bila-bila masa selepas itu".
MCCY berkata Encik Mendoza juga telah meminta maaf atas "kekeliruan yang dicetuskan" dan juga menyatakan beliau tiada niat menyerang kewibawaan atau profesionalisme Encik Harrison.
Kementerian itu menerima permintaan maaf Encik Mendoza dan mengulangi bahawa:
"Adalah penting bahawa hak kita ke atas lagu itu dilindungi dan tidak ada keraguan mengenai asal usul dan pemilikan lagu itu.
"MCCY menerima permintaan maaf Encik Mendoza atas syarat-syarat yang dinyatakan di atas, dan akan menganggap perkara ini sebagai selesai, atas dasar ini."