PELANGGAN Bank DBS telah melaporkan bahawa mereka mengalami pembayaran duplikasi bagi produk-produk yang mereka beli ketika menggunakan kad kredit dan debit bank itu.
Bank itu berkata pada Jumaat (18 Jun) bahawa ia sedang menyiasat urus niaga berulang itu agar dapat mengembalikan wang kepada pelanggan yang terjejas.
DBS, bank terbesar di Singapura berkata ia sedang mengenal pasti dan memperbaiki isu itu.
Salah seorang pengguna, Cik Ruzana Rahim yang bekerja sebagai guru sekolah kehilangan $1,100 apabila urus niaga bernilai $550 di Shopee telah dipotong dua kali pada 17 dan 18 Jun.
Beliau menggunakan kad debit DBS untuk melakukan pembayaran itu.
Pengguna lain pula memberitahu Berita Harian (BH) urus niaga bagi perbelanjaan harian seperti makanan, minuman dan juga perkhidmatan teksi atau kereta sewa privet dengan menggunakan kaedah NETS dan PayWave juga mengalami gangguan yang sama.
DBS berkata semua wang bagi urus niaga yang diduplikasikan akan dikembalikan.
"Kami ingin meminta maaf atas gangguan ini dan kami harapkan kesefahaman anda," tambah DBS.