ANGGOTA tentera perkhidmatan negara bukan sahaja menikmati ganjaran apabila menunjukkan prestasi baik semasa latihan, mereka juga akan diberi saguhati apabila mula membina rumahtangga.
Di bawah Skim Hadiah Perayaan (Celebratory Gifts), anggota NS akan menerima baucar bernilai $100 apabila mereka berkahwin atau meraikan kelahiran anak.
Daya usaha ini diumumkan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Ong Ye Kung semasa perbahasan di parlimen bagi pembentangan Belanjawan untuk Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini.
Di samping itu, terdapat juga perancangan untuk mempertingkat skim pengiktirafan NS sedia ada.
Encik Ong berkata, "Kami mencari jalan untuk menunjukkan penghargaan kepada anggota perkhidmatan negara kami, dan mereka yang memberi sokongan, seperti Pelepasan Cukai untuk anggota perkhidmatan negara, Perumahan untuk Anggota NS, Anugerah Perubatan dan Pendidikan dan kemudahan Safra.
"Kesemua bentuk pengiktirafan ini adalah penting untuk memberitahu mereka bahawa pengorbanan mereka begitu dihargai, dan untuk kebaikan lebih baik untuk Singapura," katanya.
Bermula bulan ini, satu program untuk memberi ganjaran kepada anggota NS yang menunjukkan prestasi baik semasa latihan dalam kem telah dipertingkat.
Menerusi Anugerah Kecemerlangan NSm yang sebelum ini dikenali sebagai Baucar Pengiktirafan Keluarga, jumlah anggota NS yang akan diberi anugerah baucar akan ditingkatkan dari 10 peratus teratas kepada 30 peratus teratas.
Mereka yang berada di dalam kelompok 10 peratus teratas akan menerima baucar bernilai $200, sementara kelompok 20 peratus selanjutnya akan menerima $100.