Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

KORONAVIRUS

Penginapan sementara pekerja M'sia ditutup dek rendah permintaan

Mar 24, 2020 | 05:30 AM

DEWAN Sukan Jurong East yang digunakan untuk menempatkan pekerja Malaysia yang terjejas dengan tempoh perintah sekatan pergerakan telah ditutup semalam disebabkan permintaan yang rendah.

Mengumumkan demikian semalam, Kementerian Pembangunan Sosial dan keluarga (MSF) berkata tempat tumpang tidur sementara itu tidak lagi diperlukan selepas terdapatnya "sokongan yang semakin meningkat dari masyarakat untuk menempatkan pekerja-pekerja ini".

Menurut MSF lagi, sejak 17 Mac lalu, agensi pemerintah Singapura itu telah membantu sekitar 30 pekerja Malaysia yang mencari tempat berteduh di dewan tersebut.

"Terdapat bantuan yang melimpah ruah bagi pekerja yang terjejas dalam masyarakat, termasuk daripada rakan kerja masyarakat MSF melalui Rangkaian Peers dan tempat perlindungan sementara.

"Kami bangga bekerjasama dengan warga Singapura untuk mendekati dan menjaga pekerja Malaysia ini yang membantu memastikan kehidupan harian kita boleh berjalan seperti biasa sebanyak mungkin," kata seorang jurucakap MSF.

Sepanjang minggu lalu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan pihak polis meningkatkan rondaan di seluruh Singapura di mana mereka menemui segelintir pekerja Malaysia tanpa penginapan jangka pendek.

MOM turut membantu majikan untuk mendapatkan tempat penginapan bagi pekerja mereka, kata MSF lagi.

Pada Jumaat lalu, kedua-dua Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan untuk membenarkan sekitar 300,000 pekerja Malaysia terus bekerja di sini sepanjang tempoh perintah sekatan pergerakan yang dijangka berakhir 31 Mac nanti.

Pekerja Malaysia yang memiliki permit kerja Singapura akan terus dibenarkan bekerja di sini, dengan ujian kesihatan dan tempat tinggal yang sesuai diatur buat mereka.

Khamis lalu, seorang jurucakap MOM berkata sekitar 2,000 majikan dan 10,000 pekerja Malaysia telah dibantu oleh kumpulan berbilang agensi yang ditubuhkan untuk membantu mencari penginapan buat pekerja terjejas itu.

MOM turut menegaskan bahawa majikan yang gagal menyediakan penginapan sementara untuk pekerja mereka akan dikenakan tindakan dan mungkin dilarang daripada mengambil pekerja asing.

Dalam pada itu, MOM meminta agar pekerja Malaysia yang masih belum mendapatkan penginapan sementara boleh menghubungi kementerian itu menerusi emel mom_qops@mom.gov.sg.