Pengisian ibadah tatkala masjid ditutup, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
6:59
Isyak
8:14
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat3

IBADAH JALAN TERUS

Pengisian ibadah tatkala masjid ditutup

Apr 02, 2020 | 05:30 AM

MASJID-MASJID di seluruh Singapura telah ditutup buat sementara. Begitu juga solat Jumaat sejak tiga minggu lalu tidak dapat dilaksanakan. Kesemua ini terpaksa berlaku demi membendung wabak Covid- 19 yang semakin menular. Pemeliharaan nyawa menjadi keutamaan masa ini.

Selain Singapura, beberapa negara lain termasuk Arab Saudi, Mesir, Kuwait, Malaysia dan Indonesia telah mengambil langkah yang sama. Dengan rasa hiba, umat Islam melihat penutupan masjid terutama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Ibadah umrah juga tidak dibenarkan buat masa ini.

Walaupun pintu-pintu masjid kini ditutup, apa yang pasti adalah hubungan seorang Muslim dengan Penciptanya tidak pernah putus. Begitu juga pelaksanaan ibadah seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya masih dapat diteruskan seperti biasa.

Bahkan, hubungan dengan Tuhan dan pengisian ibadah kita dapat dipertingkat ketika masjid-masjid tidak dapat dihadiri.

Terdapat banyak hikmah di sebalik penutupan masjid yang harus kita fahami.

FAHAMI HIKMAH TUTUP MASJID

Mungkin ramai masyarakat Islam berasa penutupan masjid ini ibarat suatu bencana yang menimpa mereka. Mereka juga beranggapan bahawa aktiviti ibadah mereka akan tersekat dengan penutupan masjid.

Mereka kesal dengan kejadian ini dan juga keputusan yang diambil pihak berwenang.

Tidak dinafikan, perasaan sedemikian dapat difahami dan wajar.

Apakan tidak, penutupan seluruh masjid-masjid di Singapura ini berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah negara ini.

Namun pada waktu yang sama, kita tidak harus lupa bahawa terdapat juga hikmah, kebaikan dan peluang yang boleh digarap ketika kita berhalangan mendatangi masjid.

Begitu juga solat Jumaat yang tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

Dalam situasi sebegini, syariat Islam telah memberi kita panduannya. Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menjelaskan bahawa kita berada dalam keadaan darurat yang mengharuskan masjid-masjid kita ditutup dan solat Jumaat ditiadakan.

Selain sebab darurat, fatwa tersebut juga menjelaskan bahawa membiarkan masjid dibuka ketika penularan wabak itu mendatangkan kemudaratan yang harus dihilangkan mengikut prinsip syariat.

KELUASAN PENGERTIAN IBADAH

Mari kita fahami pengertian ibadah dalam Islam.

Menurut bahasa Arab, ibadah bererti pengabdian.

Menurut syarak pula, ia bererti perbuatan yang menghubung hamba dengan Tuhannya menerusi cara-cara yang ditetapkan syariat.

Begitu juga segala perbuatan baik yang tidak melanggar syariat dan dapat mendekatkan seseorang itu kepada Allah juga boleh dipanggil ibadah.

Dengan pengertian ini, ibadah dapat dilakukan di mana sahaja dan tidak semestinya di masjid.

Selain solat Jumaat dan beriktikaf, ibadah-ibadah yang sering kita laksanakan di masjid boleh juga dilakukan di rumah atau di mana sahaja tempat yang sesuai. Ini termasuk solat berjemaah, mendirikan solat-solat sunnah, membaca Al-Quran, berselawat dan membaca maulid, tahlil dan sebagainya.

Selain ibadah, aktiviti-aktiviti keagamaan yang sering dilakukan di masjid juga dapat dilakukan di rumah dan tempat lain.

Contohnya, pembelajaran agama, pengajian Al-Quran, membayar zakat dan sebagainya boleh juga dilaksanakan di luar masjid.

Selain memahami erti ibadah yang sebenar, umat Islam juga harus mengambil peluang dan menggunakan masa ini dengan sebaiknya. Disebabkan pintu-pintu masjid ini ditutup, mengapa tidak membawa "masjid" itu ke rumah masing-masing. Semangat masjid itu masih lagi boleh diteruskan.

Salah satu caranya ialah meneruskan yang sering kita lakukan di masjid bersama keluarga di rumah.

MASA PERKUKUH INSTITUSI KELUARGA

Sering kita mendengar ungkapan "rumahku syurgaku".

Inilah masanya untuk umat Islam menjadikan rumah mereka sebagai taman syurga.

Taman syurga di dunia ini pernah disifatkan oleh Nabi Muhammad saw sebagai tempat umat Islam berkumpul untuk mengingati Allah.

Bagi mereka yang mungkin jarang melakukan solat berjemaah di rumah, inilah masanya memulakan amalan murni ini bersama ahli keluarga.

Setiap lelaki Muslim bertanggungjawab ke atas keluarganya.

Ini dipesan oleh Baginda Nabi saw dengan sabdanya: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab atas pimpinannya."

Begitu juga, Allah swt memerintahkan kita menjaga diri dan ahli keluarga.

Dalam firman-Nya dalam Surah At-Tahrim, ayat 6:

"Wahai orang-orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka."

Dalam keadaan masjid tidak dapat didatangi, marilah kita ambil peluang mengukuhkan institusi keluarga kita dengan mengajak mereka beribadah bersama.

Selain solat berjemaah, berapa ramaikah di antara kita yang sering duduk untuk membaca Al-Quran bersama ahli keluarga di rumah?

Sekiranya kita mampu mengumpulkan ahli keluarga untuk makan bersama, bermain bersama dan melakukan aktiviti bersama, mengapa tidak kita beribadah bersama dengan keluarga sendiri.

Beribadah bersama keluarga memang digalakkan dalam Islam walaupun dalam keadaan masjid kita tidak ditutup.

Namun, amat baik sekali bagi umat Islam merebut masa ini dengan masjid tidak dapat dihadiri untuk beribadah bersama keluarga.

Ini akan juga merapatkan lagi hubungan di antara ahli keluarga.

IBADAH DALAM TALIAN

Sejak masjid-masjid di Singapura ditutup tiga minggu lalu, kita dapati semakin banyak masjid telah meneruskan aktiviti pembelajaran agama mereka dalam talian. Ini adalah satu usaha yang amat sekali dengan masyarakat Islam kita dapat memanfaatkan teknologi dalam wadah media sosial untuk tujuan ibadah dan pembelajaran.

Bagi masyarakat pula, mereka harus berani dan berfikiran positif dalam menerima perubahan dan melakukan penyesuaian.

Dalam situasi penularan wabak ini, kita harus menerima perubahan untuk memastikan kehidupan kita dapat terus berjalan seperti sedia kala.

Amat difahami sekiranya sebahagian masyarakat kita terutama sekali warga emas belum terbiasa dengan penggunaan wadah media sosial ini.

Namun, ini dapat di atasi setelah penyesuaian itu dapat dilakukan.

Pembelajaran agama adalah penting bagi umat Islam. Ia ibarat makanan bagi kerohanian kita.

Sementara masjid kita ditutup, pengisian kerohanian masih boleh diteruskan.

Mujur ada kemajuan teknologi yang membantu memudahkan banyak urusan kehidupan kita.

Ini juga menunjukkan bahawa kemajuan teknologi itu membawa banyak manfaat sekiranya digunakan untuk tujuan yang baik dan berfaedah.

Selain pembelajaran agama, umat Islam juga dapat terus menderma dan mengeluarkan zakat walaupn dalam masjid ditutup.

Dengan kemudahan penghantaran wang dalam talian seperti PayNow, PayLah dan sebagainya, masyarakat Islam masih terus boleh menderma dan berinfaq.

Begitu juga dengan pembayaran zakat yang boleh disalurkan menerusi transaksi dalam talian.

Dalam masa yang sukar ini, ekonomi negara bahkan ekonomi dunia mula merosot.

Begitu juga dengan nasib masjid-masjid kita.

Selagi mana masjid kita belum dapat didatangi, begitu juga tabung derma dan juga tabung Jumaat di masjid kita tidak dapat diisi. Ini tidak bermakna sifat kedermawanan kita harus berhenti.

Masjid kita masih lagi boleh menerima derma dengan cara-cara lain seperti pembayaran melalui chek, dalam talian dan sebagainya.

KESIMPULAN

Penutupan masjid ketika darurat ini adalah sesuatu yang harus dilakukan. Namun, ia tidak bermakna masyarakat akan pincang dengan penutupan masjid ini.

Penutupan ini adalah penutupan sementara demi kemaslahatan umum dan pemeliharaan nyawa.

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir ketika menjelaskannya bahawa masjid akan dibuka kembali apabila tiba masa yang dianggap selamat untuk melakukannya.

Beliau menggesa agar masyarakat Islam di sini terus mendapatkan bimbingan agama melaui wadah talian yang dikendalikan masjid setempat.

"Sesungguhnya setiap kesusahan itu pasti ada kesenangannya nanti."

Ini janji Allah swt kepada kita.

Dalam mengharungi cabaran wabak Covid-119 ini, masyarakat Islam harus bersabar dan perfikiran positif serta melakukan perubahan dan penyesuaian dengan hati yang terbuka.

Kesyukuran harus dipanjatkan kerana kehidupan kita masih boleh diteruskan dalam keadaan krisis ini.

Begitu juga pengisian ibadah juga dapat dipastikan dan hubungan dengan Tuhan itu tidak akan terputus. Malah, hubungan pengabdian kita dengan Tuhan dapat diperkukuh dalam keadaan kita tidak dapat melangkah kaki ke masjid. Semoga hasrat kita untuk kembali ke pangkuan masjid dapat dipercepatkan oleh Allah swt.

  • Penulis ialah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihaan Keagamaan (RRG). Beliau juga adalah anggota Lembaga Rayuan Syariah dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Beliau Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map