Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengorbanan demi Anak dan Keluarga

Mar 22, 2021 | 05:30 AM





Tinggalkan Dow Jones demi jaga anak istimewa 



BAGI seorang ibu, pengorbanan untuk anak tidak ada noktahnya.

Ini yang diharungi oleh Cik Faraliza Zainal apabila terpaksa mengorbankan kerjayanya di syarikat global, Dow Jones pada 2010 untuk menumpukan kepada masa depan anak istimewanya. 

Cik Faraliza, 50 tahun, meninggalkan dunia korporat untuk menubuhkan Pendidikan MIJ Ltd (MIJ Education Ltd), sebuah pusat pendidikan bagi memenuhi keperluan anak sulungnya yang mengalami sindrom Asperger, sejenis autisme. 

Pertubuhan tidak meraih untung itu kini berkembang kepada tiga pusat di sini dan bekerjasama dengan Caring SG, inisiatif dipimpin penjaga untuk penjaga dan masyarakat golongan keperluan istimewa. 

Menurut Cik Faraliza, anaknya, Encik Mohd Ashraf Mohammad Ali, disahkan penyakit itu semasa berusia tiga tahun dan mengalami penyakit tuberous sclerosis iaitu sejenis gangguan genetik, yang menyebabkan pertumbuhan tisu normal berlebihan di pelbagai bahagian badan lantas kerap mengakibatkan serangan sawan epilepsi. 

Keadaan itu menyedarkan ibu tiga anak itu tentang betapa penting pendidikan disesuaikan untuk kanak-kanak keperluan khas semasa beliau menjaga anak sulungnya itu. 

Inilah yang mendorong beliau agar meletak jawatan sebagai pengurus latihan serantau untuk Asia Pasifik di Dow Jones bagi menubuhkan pusat itu – yang menawarkan kelas madrasah hujung minggu, program prasekolah, program bagi pelajar dewasa dan pusat penjagaan pelajar khusus untuk pelajar berkeperluan khas termasuk pelajar autistik, gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) dan kelewatan pembangunan global (GDD).

“Sejujurnya, perasaan saya bercampur aduk hendak meninggalkan pekerjaan saya tatkala saya di tahap kemuncak kerjaya.

“Tetapi pada masa yang sama, saya mahu melihat anak saya mempunyai pendidikan baik dan membantu anak keperluan istimewa yang lain,” cerita Cik Faraliza.

Keputusan menubuhkan pusat itu telah mendapat sokongan padu suaminya, Encik Mohammad Ali Dawood, 51 tahun, yang bertugas sebagai pengarah pemasaran kanan dalam industri penerbangan untuk Asia Pasifik.

“Kami terpaksa membuat beberapa perubahan seperti berpindah dari hartanah privet ke flat HDB. 

“Mujurlah, hasil daripada jualan hartanah privet dapat membantu kami membiayai yuran sekolah pelajar-pelajar yang memerlukan kami pada tahun-tahun awal kami menubuhkan pusat pendidikan ini,” ujar Cik Faraliza. 

Bagi membolehkan Cik Faraliza mengurus pusat pendidikannya, keluarganya termasuk ibu bapa dan adik-beradik daripada keluarga beliau dan suaminya membantu menjaga ketiga-tiga anaknya. 

“Di rumah, suami saya membantu menjaga anak-anak semasa mereka masih kecil seperti memandi, menyuap mereka makan dan meluangkan masa bermain dengan mereka,” kata beliau. 

Cik Faraliza tidak menyangka pusat itu akan berkembang dan kekal bertahan selama 10 tahun.

Kini jumlah pelajar meningkat daripada lima pelajar ke hampir 300 pelajar berusia di antara tiga dengan 30 tahun serta terdiri daripada berbilang bangsa termasuk Cina dan warga asing seperti dari Indonesia.

Pada Januari tahun lalu, sebuah cawangan privet, Hab Antarabangsa MIJ, sepatutnya dibuka di Kuala Lumpur, Malaysia, tetapi tersekat akibat pandemik Covid-19.

“Pusat pendidikan kami berupaya mengisi jurang pendidikan buat pelajar keperluan khas sebab ada kanak-kanak tidak boleh ke sekolah biasa. Kami juga membantu penjaga mereka, khususnya ibu bapa, yang perlu bekerja,” katanya, lulusan pos siswazah dalam pendidikan keperluan khas dan keperluan pembelajaran tambahan dari Universiti South Wales, United Kingdom.

Kini beliau berbangga melihat Encik Mohd Ashraf, 20 tahun, sudah mula bekerja dalam pembuatan produk untuk jenama INSPO dari Ashraf Cafe, yang ditubuhkan bagi menyediakan pekerjaan untuk golongan keperluan khas.

Namun, beliau tidak menafikan menghadapi pelbagai cabaran dalam menjayakan pusat pendidikannya.

“Banyak kali saya mahu menyerah kalah tetapi saya cekalkan diri apabila saya ingatkan diri saya tentang niat saya menubuhkan pusat ini,” kata beliau yang sedikit sebanyak telah mempengaruhi anak keduanya agar mempunyai minat untuk menolong golongan keperluan khas. 



 




 



Undur diri dari NAC, jadi pekerja bebas dek sayang anak 



 



SEBAGAI seorang ayah, keperluan dan kesejahteraan tiga anaknya amat dititikberatkan oleh Encik Saiful Amri Ahmad Elahi.

Lantaran itu, beliau tidak sedikit pun berfikir dua kali apabila terpaksa meninggalkan pekerjaan sepenuh masa agar dapat menjaga anak-anaknya dengan sebaiknya. 

Setelah menyumbang kepada sektor seni setempat selama lapan tahun, Encik Saiful Amri, 43 tahun, membuat keputusan mengundurkan diri daripada tugasannya sebagai pegawai kanan dalam seni kemasyarakatan di Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 2015 dan beralih kepada pekerjaan bebas. 

Membuat keputusan itu enam tahun lalu, Encik Saiful Amri dan isterinya, Cik Masrina Abu Bakar, pengawal trafik udara, berasa adalah penting untuk salah seorang daripada mereka di rumah untuk menjaga anak-anak daripada mendapatkan khidmat seorang pembantu.

“Kededua ibu saya dan arwah ibu mentua saya telah membantu menjaga anak pertama dan kedua kami. 

“Tetapi, semasa kami mempunyai anak bongsu kami, ibu mentua saya sudah meninggal dunia dan ibu saya juga kian lanjut usia. 

“Maka, kami membuat keputusan untuk menjaga anak-anak kami sendiri kerana tidak selesa mempunyai seorang pembantu. 

“Oleh kerana saya berkecimpung dalam bidang seni dan sudah biasa melibatkan diri dalam projek-projek persembahan seni biarpun semasa mempunyai pekerjaan sepenuh masa, saya fikir ia lebih senang untuk saya menjadi pekerja bebas daripada isteri saya. 

“Lagi pun, sebagai pengawal trafik udara, isteri saya tidak boleh bekerja dari rumah,” jelas Encik Saiful Amri. 

Justeru, pelakon, penulis dan kini penerbit buat penerbitan seni itu, akan mengurus mesyuarat, janji temu atau latihan teater menurut jadual isterinya yang bekerja syif dan anak-anaknya. 

“Sejauh ini, saya selesa bekerja secara bebas kerana saya masih dapat melakukan apa yang saya minati dan pada masa yang sama, berpeluang melihat anak-anak saya membesar di depan mata. 

“Mereka bertuah kerana selalu ada ibu atau bapa di rumah,” kata Encik Saiful Amri, lulusan diploma dalam pengkhususan pengurusan acara dan seni dari Politeknik Temasek. 

Sementara itu, mengulas tentang bagaimana keputusan Encik Saiful untuk menjadi pekerja bebas telah membantu beliau dalam pekerjaannya, Cik Masrina berkata:

“Saya dapat fokus terhadap kerja dan pengajian saya apabila saya tahu bahawa semua perihal rumah terjaga dengan baik oleh suami saya.”

Pada tahun-tahun awal Encik Saiful Amri menjadi pekerja bebas, beliau perlu menjaga anak bongsunya yang masih bayi. 

Kini, antara rutin harian Encik Saiful Amri ialah untuk menyiapkan anak bongsunya untuk ke pusat penjagaan kanak-kanak dan sedaya upaya cuba untuk berada di rumah apabila anak sulung dan ank keduanya pulang rumah dari sekolah. 

Beliau kemudian akan membantu anak-anaknya dengan kerja sekolah selepas mereka makan tengahari.

“Anak sulung dan anak kedua saya lebih berdikari, manakala anak bongsu sudah bersekolah. 

“Jadi, saya lebih senang mengimbangi pekerjaan bersama masa bersama anak-anak. Kami juga lebih kerap makan malam bersama,” kata Encik Saiful Amri, yang membahagikan tugas pengurusan rumah tangga bersama isterinya. 

Berkat pengorbanan beliau bekerja dari rumah, isterinya berpeluang melanjutkan pendidikannya secara jarak jauh dalam bidang Pengurusan Penerbangan di Universiti Massey dari New Zealand pada 2020. 

Namun, Encik Saiful Amri akur sebagai pekerja bebas, pendapatannya bergantung pada jumlah projek yang beliau perolehi setiap bulan. 

“Ada kalanya, saya dapat pendapatan berlebihan dan ada kalanya, pendapatan saya kurang sedikit. Tetapi secara keseluruhan, saya bersyukur dapat mencari rezeki dan pada masa yang sama, dapat melihat anak-anak membesar,” kata Encik Saiful Amri.

Dalam pada itu, beliau juga belajar untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan klien atau rakan kongsi serta mengekalkan hubungan dengan lebih baik.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang ada dan sokongan keluarga terhadap keputusan saya untuk menjadi pekerja bebas. 

“Sejak awal lagi, niat saya ialah untuk memberi tumpuan pada keluarga dahulu dan dengan niat ini, insya-Allah, kami dapat hidup dengan selesa,” tambahnya.



 



 



​Rencana ini dibawakan oleh  Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan rakan kerjasama 



 



Sertai Perbincangan Mengenai Pembangunan Wanita Singapura di http://go.gov.sg/SGWomen



Tunjukkan sokongan anda terhadap kempen Merai Wanita SG. Lungsuri http://go.gov.sg/celebratingSGWomen untuk nikmati pelbagai tawaran khas daripada rakan kerjasama kami.



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >