ANUGERAH JAUHARI HARAPAN

Pengorbanan ibu bapa sumber inspirasi Jauhari Harapan BH

PENERIMA Biasiswa Presiden tahun ini, Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, dinobat Jauhari Harapan Berita Harian (BH) semalam.

Encik Dhafer, 19 tahun, yang merupakan antara empat penerima biasiswa berprestij tahun ini, diiktiraf akhbar ini bagi kecemerlangan akademiknya, serta potensinya menyumbang kepada masyarakat pada masa depan.

Bekas pelajar Raffles Institution (RI) itu meraih gred A bagi semua tujuh subjek yang diambilnya dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A'.

Beliau kini berada di California, Amerika Syarikat, untuk menyertai kursus ijazah bidang Sastera Bebas, atau Liberal Arts, di Universiti Stanford.

Dalam satu rakaman video yang dihantar kepada BH, Encik Dhafer melahirkan penghargaannya atas pengiktirafan akhbar ini.

"Saya juga berterima kasih kepada keluarga saya dan semua yang telah menyumbang kepada pembangunan saya.

"Mereka telah menjadi suri teladan, dan bukti kepada pepatah Melayu, hidup kayu berbuah, hidup manusia berjasa," ujar Encik Dhafer.

Beliau telah menyebut ibu bapanya - Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan) Profesor Madya Faishal Ibrahim dan Cik Hayati Haron - sebagai sumber pendorong bagi beliau menyumbang kepada masyarakat.

Anggota Panel Pengadil Anugerah Jauhari, Profesor Madya Abdul Razakjr Omar, berkata kecemerlangan akademik Dhafer adalah teladan kepada masyarakat.

"Beliau antara segelintir dalam masyarakat kita yang menerima Biasiswa Presiden berprestij dengan persaingan hebat.

"Dengan semangat kental yang dipaparkannya, beliau akan mencapai impiannya," ujar Dr Razakjr, Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Raffles, yang juga Jauhari 2013.

Biasiswa Presiden dianggap biasiswa terunggul yang diberikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC).

Penerima Melayu Biasiswa Presiden sebelum ini ialah Encik Mohamed Ismail Ibrahim pada 1968 dan Encik Adil Hakeem Mohamad Rafee pada 2012.

Seorang lagi pengadil, Encik Suhaimi Rafdi, berkata Dhafer merupakan "sumber inspirasi dan melambangkan potensi masyarakat agar terus mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang".

"Masyarakat kita tidak perlu tunggu terlalu lama sebelum melahirkan seorang lagi penerima Biasiswa Presiden, dan ini menunjukkan betapa jauhnya langkah masyarakat Melayu/Islam Singapura," ujar Encik Suhaimi, Pengarah Kanan, Our Tampines Hub, yang juga Jauhari 2012. - NUR ADILAH MAHBOB