DALAM kalangan 77 kes jangkitan baru Covid-19 yang dikenal pasti pada Khamis (27 Ogos), 97 peratus daripadanya merupakan kes import atau berkait dengan kelompok atau kes yang dikenal pasti sebelum ini. Baki tiga peratus pula menanti hasil proses jejak kenalan.
Antara yang berkait dengan kes sebelum ini adalah kes masyarakat melibatkan wanita Singapura berusia 31 tahun yang mengunjungi kedai kamera SLR Revolution di Pusat Beli-Belah Excelsior di 5 Coleman Street pada 17 Ogos lalu. Beliau dikatakan berkemungkinan berinteraksi dengan pekerja kedai berusia 61 tahun yang sudah disahkan positif Covid-19.
Demikian jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya Khamis malam (27 Ogos).
Wanita itu dan satu lagi kes masyarakat melibatkan remaja lelaki berusia 13 tahun dikesan hasil ujian kemasyarakatan yang dipertingkat bagi menguji kesemua individu berusia 13 tahun yang menghidap jangkitan pernafasan akut kali pertama bertemu doktor.
MOH bagaimanapun menambah risiko jangkitan bagi pengunjung ke kedai tersebut didapati rendah. Sungguhpun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, MOH akan menghubungi kesemua individu yang mengunjungi kedai kamera itu antara 15 dengan 18 Ogos lalu bagi menyelaras ujian Covid-19 buat mereka. Mereka yang didapati tidak sihat akan dirujukkan ke hospital bagi pemeriksaan perubatan lanjut.
Semua pengunjung SLR Revolution juga diminta agar memantau kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan segera seandainya menghidap tanda jangkitan pernafasan. Mereka boleh hubungi MOH di talian 1800-333-9999 jika ada pertanyaan lanjut.
Dalam pada itu, kes masyarakat melibatkan remaja itu pula tiada kaitan dengan sebarang kes sebelum ini. Siasatan epidemiologi sedang dijalankan bagi mengesan kes tanpa tanda jangkitan. Ujian darah serologi bagi mengesan antibodi bakal dijalankan ke atas individu di bawah satu bumbung dengan remaja berkenaan bagi menentukan sama ada beliau dijangkiti mereka.
Secara menyeluruh, MOH menjelaskan kes baru dalam masyarakat bertambah dari satu kes sehari secara purata pada minggu sebelumnya kepada dua kes sehari sepanjang minggu seterusnya.
MOH menambah 168 kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. 68 kes pula masih dirawat di hospital dalam keadaan mantap atau kian pulih. 41 kelompok pula ditutup selepas disahkan bebas daripada Covid-19.