Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengunjung pameran bawa pulang banyak pemahaman baru tentang Raffles

May 01, 2019 | 05:30 AM



NAMANYA sering disebut sebagai pengasas Singapura moden, malah patung marmarnya yang tercegat di Tapak Mendarat Raffles, tempat di mana beliau dipercayai menjejakkan kaki buat kali pertama pada 1819 di pulau ini menjadi antara ikon di kawasan Sungai Singapura.



The History of Java hasil karyanya yang diterbitkan pada 1817 menjadikan bekas kerani di syarikat British East India Company itu seorang cendekiawan yang statusnya dalam masyarakat diangkat.



Namun, di sebalik kemuliaan yang dikaitkan dengan Sir Stamford Raffles, mungkinkah terkandung dalam sejarah perkara yang boleh mencemar keharuman nama baiknya itu?



Sempena memperingati Bicentennial Singapura atau ulang tahun ke-200 negara, sebuah pameran hasil kerjasama antara Muzium Tamadun Asia (ACM) dengan Muzium British yang diadakan bulan lalu bertujuan meneroka isu tersebut.



Hasilnya, imej Raffles yang kompleks dan berlapis berjaya dikupas sambil mempamerkan warisan seni dan kebudayaan yang kaya di Jawa dan dunia Melayu melalui Raffles in Southeast Asia, Revisiting the Scholar and Statesman.



Menerusi artifak dan paparan yang sebahagiannya merupakan koleksi Raffles sendiri, pameran tersebut membuka mata pengunjung kepada sisi Raffles yang mungkin kurang diketahui ramai.



Menerangkan lebih lanjut, salah seorang kurator pameran tersebut, Cik Naomi Wang, berkata:



"Antara perkara yang ingin dilakukan menerusi pameran ini ialah melihat cara yang tersaring yang telah digunakan untuk memahami Jawa... bagaimana Raffles mengetengahkan maklumat dan cara beliau 'membungkusnya semula' bagi orang yang berbeza (British)."



Penolong Kurator, Asia Tenggara di ACM itu menambah bahawa mereka juga mahu melihat peranannya sebagai cendekiawan dan bagaimana beliau dapat memberi kesan terhadap pemahaman orang ramai tentang Jawa pada waktu itu.



"Pada masa itu, kebanyakan orang di Britain tidak berpeluang menaiki kapal untuk ke Jawa untuk menyoal siasat Raffles dan melihat (sama ada apa yang dikatakannya) betul atau tidak. Orang percaya maklumat yang diberikannya," ujar Cik Wang.



Oleh itu, barang-barang yang dikumpul dan dibawa pulang oleh Raffles daripada pelayarannya seperti patung wayang kulit, beberapa alat gamelan, lukisan, kain batik dan patung-patung menjadi bahan dari mana masyarakat Eropah pada waktu itu cuba memahami masyarakat Jawa.



Kebanyakan lukisan yang beliau bawa pulang memaparkan kawasan yang "terbiar, dipenuhi tumbuh-tumbuhan... tiada kehidupan kampung di sekitarnya, seolah-olah ada kekosongan di tengah-tengah Jawa, tapi ini tidak benar", kata Cik Wang, sambil menunjukkan lukisan-lukisan yang dipamerkan.



"Oleh itu, saya fikir apabila kita lihat bahan-bahan ilmiah seperti ini, ia bukan sahaja untuk kita katakan 'oh, lukisan ini salah'.



"Ia adalah aksi keganasan intelektual, dan dalam banyak cara aksi keganasan intelektual ini...wujud sehingga hari ini. Ia juga bagaimana pemikiran stereotipikal membentuk pemikiran dunia," ujar beliau.



Pameran tersebut turut mengetengahkan beberapa warisan kesultanan Johor dan Riau-Lingga yang diperbuat daripada emas dan permata "yang menandakan kekayaan yang dikumpulkan kerajaan pada waktu itu, dan ini menyangkal idea bahawa kita merupakan sebuah perkampungan nelayan yang tidak diketahui", tambah Cik Wang.



"Saya rasa pameran ini cuba mengetengahkan sudut lain dalam memahami Raffles.



"Raffles yang kita pelajari di sekolah merupakan seorang yang liberal, baik hati dan progresif. Tapi saya fikir dengan mana-mana jenis penyampaian cerita, akan selalu dilakukan dari satu sudut, jadi apakah sudut lain yang terdapat?" ujar beliau.



Pameran tersebut yang bermula Februari tahun ini, melabuhkan tirainya pada 28 April lalu.



Respons yang diterima daripada para pengunjung - warga Singapura mahupun orang asing sangat pelbagai, kata Cik Wang.



Namun, belaiau menambah bahawa rata-rata mereka yang datang telah membawa pulang pengetahuan dan pemahaman 'baru' mengenai Raffles yang namanya menghias pelbagai kawasan serta bangunan di negara ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >