Pengurus didenda $6,000 kerana hantar SMS untuk pengaruhi keterangan saksi

SEORANG pengurus operasi syarikat pelancongan, yang menghantar SMS kepada saksi pendakwaan dengan niat mempengaruhi beliau supaya memberi kesaksian tertentu di mahkamah, didenda $6,000 pada Isnin (14 Nov).

Ng Ang Heng, 59 tahun, yang bekerja bersama Sin U Lian Travel & Coach, mengaku cuba memutarbalikkan proses keadilan semasa perbicaraan rakannya, Xu Yajie, di Mahkamah Negara dengan menghantar mesej teks, melalui seorang rakan sekerja lain, Cik Toh Lee Hong, kepada Cik Xu Xiaona agar beliau memberi kesaksian khusus pada 28 April tahun lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa seorang pemandu, Kwan Kwok Hung, ditangkap memandu tanpa lesen memandu bas sah di sebuah ekspreswe pada 16 Jan 2014.

Siasatan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menunjukkan Yajie, ketua sumber manusia Sin U Lian, menemuduga dan menggajikan pemandu itu tanpa lesen. Yajie kemudian dikenakan tuduhan.

Pada hari perbicaraan pada 28 April 2015, Ng bertemu Xiaona di mahkamah dan menyedari bahawa beliau akan menjadi saksi.

Bimbang mengenai kesaksian yang Xiaona akan beri, Ng mahu memberitahunya bahawa dia yang membuat keputusan muktamad menggajikan Kwan.

Sebelum tengah hari, Ng menghantar beberapa SMS dalam bahasa Cina kepada Cik Toh, seorang eksekutif akaun syarikat itu, dan meminta beliau menyampaikannya kepada Xiaona.

SMS itu memberitahu Xiaona supaya mengatakan bahawa Ng, dan tiada orang lain, bertanggungjawab bagi pengambilan dan membayar pekerja.

Xiaona tidak bersetuju dengan kandungan SMS itu dan tidak menurutinya.

Yajie kemudian dibebaskan selepas perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jasmin Kaur memohon hukuman penjara enam hingga lapan minggu dikenakan. Beliau berkata tindakan Ng menunjukkan dia langsung tidak memperdulikan bidang kuasa mahkamah, dan kes itu telah melewati batas bagi dikenakan hukuman tahanan.

Namun Hakim Mahkamah Daerah Kessler Soh berasa denda tinggi mencukupi.

Beliau berkata Ng secara peribadi percaya apa yang dia beritahu saksi itu adalah kebenaran. Tidak ada ancaman atau paksaan, katanya.

Ng juga tidak melakukannya untuk kepentingan sendiri dan dia juga tidak berjaya membuat saksi mengubah keterangannya.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:13
Maghrib
6:51
Isyak
8:04
3 HR PSI: 15
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.