Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25

Peniaga akur makanan warisan perlu dipelihara, diiktiraf

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Peniaga akur makanan warisan perlu dipelihara, diiktiraf

Oct 01, 2018 | 05:30 AM

Baru-baru ini, budaya penjaja di Singapura dicalonkan bagi mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sedang ramai pegerai berusaha mengekalkan makanan dan tradisi warisan negara ini. BERITA HARIAN melaporkan beberapa pegerai yang sudah lama menjayakan perniagaan mereka.

SEBUT sahaja putu piring, pasti perniagaan Traditional Haig Road Putu Piring timbul dalam fikiran.

Manakan tidak, perniagaan turun-temurun itu sudah lama berjalan di Singapura.

Bahkan, Cik Nooraisha Mohamad Hashim, 35 tahun, merupakan generasi keempat yang mewarisi perniagaan tersebut.

"Moyang saya memulakan perniagaan ini sekitar 1940-an sebagai penjual jalanan manakala nenek dan ibu hanya menolong.

"Ibu kemudian ingin membuka sebuah gerai rasmi bagi meneruskan warisan makanan tradisional ini.

"Gerai pertama dibuka di Bukit Batok pada 1985. Setelah ia ditutup, kami buka pula di Clementi yang juga melabuhkan tirai beberapa tahun kemudian.

"Pada 1990-an pula, ibu membuka gerai di Haig Road," kongsi Cik Nooraisha.

Seperti ibunya, beliau turut mempelajari cara membuat kuih itu.

Malah, minatnya telah mendorong Cik Nooraisha mengambil jurusan pembuatan kuih di Universiti Johnson & Wales, Amerika Syarikat, lebih daripada 10 tahun lalu.

"Sekembalinya saya ke Singapura pada 2006, saya bantu menguruskan perniagaan putu piring yang dimiliki ibu dan bapa.

"Memandangkan saya berhasrat mewarisi dan mengembangkan perniagaan berkenaan, pelbagai persediaan perlu dilakukan.

"Saya hanya mengambil alih sebagai pemilik pada 2014, setelah persiapan dibuat bersama suami," dedahnya.

Suami Cik Nooraisha, Encik Mohd Nizam Iskandar, atau dikenali sebagai Benson, 33 tahun, kini turut membantu menguruskan perniagaan tersebut.

Hasil usaha bersama, Cik Nooraisha dan suami dapat mengembangkan perniagaan Traditional Haig Road Putu Piring dan membuka tiga lagi cawangan di Singapura.

Kini, orang ramai boleh ke Pasar Haig Road, Al-Wadi di Onan Road, Teh Tarik Geylang Serai dan Teh Tarik Ang Mo Kio bagi mendapatkan putu piring mereka.

Selain di gerai-gerai berkenaan, Cik Nooraisha turut berkongsi bahawa beliau tetap menerima tempahan bagi majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan acara sekolah.

"Ketika sambutan Hari Keharmonian Kaum yang lalu, ada sekolah yang menjemput kami bagi menjual putu piring.

"Bahkan, ada satu sekolah yang menjemput perniagaan putu piring daripada pelbagai kaum," ujarnya.

Baginya, warisan makanan tradisional ini patut diteruskan.

Oleh yang demikian, Cik Nooraisha menyokong rancangan Singapura mahu mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (Unesco) bagi budaya penjaja di negara ini.

"Saya gembira kerana makanan tradisional kita kini mendapat pengiktirafan di Singapura.

"Selain itu, langkah ini mungkin dapat bantu menaikkan semula kepopularan makanan lama," ujar ibu tiga anak itu.

Pendapatnya turut dipersetujui Encik Palil Juwahir, atau lebih dikenali sebagai Saiful, 65 tahun.

Encik Saiful yang merupakan pemilik Alhambra Heritage & Original Satay Club, memiliki gerai di Teh Tarik Geylang Serai.

"Anak zaman sekarang, ada yang lupa dengan sate. Kadangkala, jika diberi pilihan memilih makanan, sate tidak terlintas pun dalam fikiran mereka.

"Ada baiknya langkah memberi pengiktirafan kepada budaya penjaja ini. Ia mungkin dapat bantu mengekalkan warisan makanan tradisional kita," kata Encik Saiful.

Alhambra Heritage & Original Satay Club juga sebuah perniagaan turun-temurun sejak 1950-an.

Encik Saiful merupakan generasi kedua yang memiliki perniagaan itu selepas bapanya.

Dalam masa beberapa tahun akan datang pula, perniagaan tersebut akan diserahkan kepada anak buahnya, Encik Mustakim Salamat, 35 tahun.

Seperti Encik Saiful, Encik Mustakim mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan sate.

"Minat saya dalam bidang masakan timbul apabila saya berasa seronok menyediakan makanan buat keluarga dan orang tersayang.

"Memandangkan bapa saudara saya terlibat dalam perniagaan ini, saya membuat keputusan membantunya.

"Pada masa yang sama, saya dapat mempelajari selok-belok perniagaan," kongsi Encik Mustakim.

Biarpun sudah terlibat dalam kendalian harian Alhambra Heritage & Original Satay Club selama lebih daripada 12 tahun, beliau berkata banyak perkara yang perlu dipelajari daripada pak ciknya itu.

Mengulas tentang memiliki Alhambra Heritage & Original Satay Club, Encik Mustakim berkata:

"Saya tidak sabar menguruskan pekerja serta perniagaan ini.

"Kami juga merancang mengembangkan perniagaan ini ke luar negara seperti ke Australia atau Canada.

"Oleh itu, saya teruja melihat kemajuan perniagaan ini pada masa hadapan."

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3