Subuh
5:30
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09

Peniaga F&B, katering jangka niaga lebih rancak tetapi prihatin kurang pekerja

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Peniaga F&B, katering jangka niaga lebih rancak tetapi prihatin kurang pekerja

Rata-rata peniaga sedia sesuaikan niaga dengan pelanggan yang dijangka bertambah susuli pelonggaran sekatan Covid-19
Apr 25, 2022 | 05:30 AM

PENIAGA makanan dan minuman (F&B) Melayu/Islam di sini menjangkakan kenaikan besar dalam jumlah pelanggan yang datang menjamu selera di restoran dan kafe mereka, terutamanya selepas Ramadan nanti, manakala syarikat katering pula telah menerima banyak pertanyaan dan tempahan untuk Hari Raya ini.

Ini menyusuli pengumuman pelonggaran sekatan Covid-19 baru-baru ini, yang antaranya tiada lagi had saiz kumpulan dan had jumlah pengunjung di rumah dan tiada lagi perlu jarak selamat mulai esok.

Namun, meskipun mengalu-alukan berita baik itu, peniaga memberitahu Berita Harian (BH) bahawa mereka prihatin tentang sama ada dapat menangani permintaan yang meningkat kerana masih menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

Pemilik Kafe I Am Cafe, Encik Jamuri Busori, berkata perniagaannya kini semakin rancak tetapi mereka menghadapi masalah menangani jumlah pelanggan yang semakin ramai kini kerana kekurangan pekerja.

Untuk mengatasi masalah itu, Encik Jamuri berkongsi bahawa kafenya memanfaatkan aplikasi digital bagi pelanggan memesan makanan, malah sebelum mereka sampai di kafe itu.

"Kami hantar mesej kepada pelanggan untuk memesan makanan awal dalam aplikasi ini agar apabila mereka sampai di sini, semuanya sudah sedia dan kami boleh menangani keadaan," kata beliau.

Pemilik restoran halal Italy Kucina, Cef Gero Di Maria Mohammed Omar, turut akur terdapat kekangan tenaga kerja sekarang, tetapi restorannya berusaha menguruskan keadaan dengan sebaik mungkin, dan malah, telah mendapatkan kakitangan dapur baru.

Untuk membantu perniagaan F&B yang menghadapi masalah kekurangan pekerja, Cik Fadilah Abdul Majid, pemilik bersama Hamidah's Kitchen @ Kaff Kafe, berharap pemerintah akan dapat mempercepatkan pelaksanaan peraturan yang membolehkan majikan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan menggajikan pekerja asing di bawah permit kerja dan bukan Pas S yang sebelum ini diumumkan akan bermula tahun depan.

"Ini satu berita yang amat dialu- alukan… tetapi kami juga masih menghadapi isu kurang pekerja, dan jika ada ramai pelanggan tetapi tidak cukup pekerja, ia satu tekanan besar buat kami," kata beliau.

Sementara itu, rata-rata peniaga syarikat katering, seperti pemilik Jamil Catering & Trading, Cik Rohaniah Mohamed, berkata perniagaan mereka telah menerima banyak pertanyaan tentang tempahan untuk Hari Raya nanti.

Namun, beberapa peniaga seperti pemilik Amani Services, Encik Mohamed Nor Ismail, atau lebih dikenali sebagai Kino, juga mengutarakan keprihatinan serupa mengenai isu kekurangan tenaga kerja untuk menangani permintaan katering yang meningkat.

"Ada pelanggan yang sudah buat tempahan untuk Hari Raya hubungi kami semula untuk minta tambah makanan dan sebagainya… tetapi kami juga ada isu kurang pekerja. Sebelum ini, kami terpaksa lepaskan beberapa kakitangan kami. Pekerja asing kami pula siang-siang sudah pulang," kata beliau.

Pengarah urusan Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, pula berkongsi restorannya perlu mengawal jumlah tempahan bufet yang diterima supaya mereka tidak terlalu dibebani.

"Pekerja asal Malaysia kami nak balik beraya kerana sudah dua tahun mereka tidak berjumpa dengan keluarga. Kami gunakan tenaga kerja sambilan dari Singapura tetapi semasa musim Hari Raya ini pun mereka tidak mahu bekerja.

"Oleh itu, kami perlu kawal jumlah tempahan yang diterima supaya pelanggan yang telah menyokong kami selama bertahun-tahun ini tidak rasa kecewa," kata beliau.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3