Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peniaga F&B rancang tambah jumlah pekerja bagi penuhi permintaan

Apr 08, 2022 | 05:30 AM



  • Rangkaian restoran seperti Black Hole Group dan The Malayan Council berharap dapat tambah pekerja dengan pembukaan sempadan

  • Namun naib presiden DPPMS tekankan permintaan tinggi bagi pemegang permit kerja akan naikkan kos perniagaan


RAMAI peniaga makanan dan minuman (F&B) yang mempunyai tenaga kerja minimum ekoran pandemik kini merancang menambah jumlah pekerja mereka selepas langkah pengurusan selamat (SMM) yang dilonggarkan merangsang permintaan pelanggan.



Beberapa perniagaan ditinjau berkata sejak pelonggaran SMM, tempahan pelanggan meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus dan tenaga kerja menjadi cabaran utama dalam memenuhi peningkatan ini.



Pemilik rangkaian kafe The Malayan Council dan The Fortune Cookie, Encik Mohamad Hafiz Salim al-Khatib, menerima lebih banyak tempahan untuk saiz kumpulan lebih besar dengan tempahan meningkat kira-kira 20 peratus secara keseluruhan sehingga Ramadan.



"Alhamdulilah, sambutan menggalakkan sejak sekatan dilonggarkan dan ini sesuatu yang positif kerana kami menerima pelanggan tetap mahupun baru.



"Namun kekurangan tenaga pekerja menjadikan keadaan ini mencabar, khususnya apabila tempahan dibuat pada masa yang sama, di samping pelanggan 'walk-in' dan menguruskan penghantaran.



"Maka itu, kami kini dalam proses mengambil lebih ramai pekerja," ujar beliau.



Dengan pembukaan semula sempadan, Encik Mohamad Hafiz berharap boleh mengambil lebih ramai pekerja asing. Kini, beliau menggajikan sekitar 60 pekerja asing, dengan 25 peratus dari Malaysia.



"Sudah tentu saya merancang lebih ramai pekerja asing, bergantung kepada jawatan kosong yang ada.



"Ini lebih-lebih lagi kerana kami akan meluaskan perniagaan dengan membuka cawangan di Esplanade dan One Fullerton," tambahnya.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Hospitality Group, yang memiliki tujuh restoran bufet halal serta ruang dewan, Encik Ali Abbas, berkata meskipun gembira dengan pertambahan pelanggan, beliau prihatin dalam aspek pekerja.



Ekoran tempahan yang meningkat sehingga 40 peratus, maka Encik Ali memerlukan lebih ramai pekerja untuk menguruskan permintaan pelanggan.



"Dengan sempadan yang sudah dibuka, ada juga pekerja asing kami mahu pulang ke tanahair untuk bercuti selepas pandemik.



"Kami juga ada pekerja tempatan, namun ia mungkin tidak mencukupi untuk menggantikan mereka yang tiada," jelas Encik Ali.



Pemilik bersama Black Hole Group yang memiliki rangkaian kafe dan restoran, Encik Mustaffa Kamal, lega dengan pelonggaran langkah, tetapi apa yang penting ialah ketetapan dalam merancang tenaga kerja bagi minggu-minggu mendatang di samping memastikan kesihatan dan keluarga pekerja.



Dalam hal ini, beliau memastikan agar adanya jumlah pekerja mencukupi, termasuk pekerja asing.



"Kumpulan kami terus berkembang dan kami mahu meningkatkan jumlah pekerja yang ada bagi mengekalkan mutu khidmat dan makanan, khususnya sekarang jumlah pelanggan akan bertambah.



"Pelanggan di kedai kami turut meningkat jadi lebih banyak sokongan diperlukan bagi memastikan aliran kerja berjalan lancar di restoran dan kafe kami," ujar Encik Mustafa, yang pekerja asingnya kini mencapai lebih 20 orang berbanding 15 sebelumnya.



Dalam pada itu, Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Fadilah Abdul Majid, menarik perhatian sedang ramai peniaga merancang menambah pekerja, namun ada beberapa cabaran dihadapi - seperti trend pekerja pemegang permit kerja yang kerap menukar pekerjaan semakin meningkat.



"Ramai golongan pekerja ini tahu mereka dalam permintaan, jadi mereka akan kerap tukar kerja untuk mencari gaji lebih tinggi.



"Justeru, ada peniaga berharap pemerintah akan mempercepatkan pengeluaran isu permit kerja bagi pekerja dari sumber negara lebih luas yang akan memberi persaingan kepada pekerja dari Malaysia serta fleksibiliti kepada peniaga F&B dalam memilih pekerja yang benar-benar layak."



"Ia akan mengambil sedikit masa untuk industri ini pulih dari segi pekerja. Ramai peniaga ghairah mendapatkan pekerja pemegang permit kerja dari lebih banyak negara, yang dibenarkan mulai September tahun depan," tambah Cik Fadilah.



Presiden Persatuan Pengurusan F&B, Encik Kung Teong Wah, pula berkata tekanan pekerja boleh reda dengan pembukaan semula sempadan.



"Keadaan ini akan pulih sedikit namun Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) terus memberi cabaran kerana F&B di hotel-hotel mungkin tiada kuota mencukupi untuk menggajikan pekerja asing," ujar Encik Kung.




"Kumpulan kami terus berkembang dan kami mahu meningkatkan jumlah pekerja yang ada bagi mengekalkan mutu khidmat dan makanan, khususnya sekarang jumlah pelanggan akan bertambah.



Pelanggan di kedai kami turut meningkat jadi lebih banyak sokongan diperlukan bagi memastikan aliran kerja berjalan lancar di restoran dan kafe kami."
- Pemilik bersama Black Hole Group, Encik Mustaffa Kamal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >