Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

KEBANGKITAN SEMULA ACARA BESAR

Peniaga Mice mula atur strategi anjur acara skala besar

Namun kos pembekal dan tenaga kerja lebih tinggi timbul keprihatinan
Jun 18, 2022 | 05:30 AM



PENIAGA dalam industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (Mice) menjangkakan perniagaan yang lebih rancak bagi beberapa bulan mendatang, selepas sektor itu dilonggarkan dan dibuka semula.



Mereka ditinjau mengakui sudah mengatur strategi untuk menganjurkan acara berskala besar selepas kegiatan mereka terjejas ekoran pandemik Covid-19 selama dua tahun.



Naib Presiden, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Fadilah Abdul Majid berkata pembukaan semula industri ini bermakna peniaga Melayu boleh menjangkakan peluang untuk pulih semula selepas kerugian yang dialami sejak dua tahun lalu.



"Ini khususnya bagi perniagaan berpangkalan di rumah dan syarikat kecil dan sederhana (SME) yang boleh memanfaatkan acara seperti di ekspo, yang tertunda selama dua tahun, untuk menarik pelanggan dan meningkatkan kesedaran tentang perniagaan mereka," ujarnya.



Antara yang giat merebut peluang ialah syarikat penganjur acara, MegaXpress International yang menganjurkan semula antara jenama acara utamanya, Halal Expo 2022.



Malah, syarikat itu telah merancang untuk menganjurkan beberapa acara popularnya - seperti pameran Halal International dan Pameran Malaysia - pada beberapa bulan akan datang ini, menurut pengurus projek kanan MegaXpress, Cik Vivienna Hamzah.



"Kami bersyukur keadaan kembali seperti hampir biasa dan segala usaha serta perbincangan dengan agensi dan pihak berkuasa membuahkan hasil pada hari ini.



"Selepas dua tahun pameran di ekspo senyap sahaja, kami dapat berasakan keghairahan daripada peniaga dan pengguna yang tidak sabar untuk menghadiri dan menyertai acara," katanya.



Menurut Cik Vivienna, apa yang penting, pembukaan semula itu mempunyai kesan domino yang berakhir dengan menambah pendapatan daripada sektor pelancongan.



"Acara-acara ini sebenarnya memberi peluang untuk orang ramai berniaga dan kami lihat sekarang sahaja banyak permintaan dan minat daripada peniaga dari luar negara seperti Malaysia dan Indonesia untuk menyertai acara kami," tambah beliau.



Beliau menjangkakan sekitar 20,000 hingga 30,000 orang akan berkunjung ke pameran Halal Expo selama tiga hari yang berakhir esok.



Berkongsi sentimen serupa, pemilik MakBesar Pte Ltd, Cik Haryani Othman berkata pembukaan semula industri itu memang dinantikan ramai.



"Ini memang menggembirakan ramai peniaga terutama mereka yang amat bergantung kepada acara seperti ini dan pasar malam untuk meraih pendapatan serta pelanggan yang gemar berjalan dan berbelanja," jelas beliau yang menyewa ruang kedai di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi sejak 2020, dan diubah menjadi kedai pop-up untuk disewa kepada vendor.



Bagi memastikan tidak terlepas peluang perniagaan, syarikat itu sudah merancang acara berskala besar pada bulan depan, Mak Besar Powerhouse Market, yang dijangka menarik lebih 15,000 pelawat.



Ini di samping satu acara di Sentosa pada September dan acara lain pada tahun depan.



Menurut Cik Haryani, peluang untuk berniaga terbentang luas dengan pelonggaran sektor ini.



Namun, beliau prihatin tentang beberapa cabaran dalam menganjurkan semula acara berskala besar seperti kos pembekal dan tenaga kerja yang lebih tinggi.



"Misalnya, kami perhatikan barangan seperti khemah, bekalan elektrik dan singki sudah meningkat sekurang-kurangnya 25 peratus.



"Beberapa lokasi juga naik harga ekoran inflasi dan permintaan yang semakin bertambah," ujarnya.



Meskipun peniaga ghairah untuk kembali cergas dalam penganjuran acara, isu keselamatan terus menjadi keprihatinan.



"Kami sedar Covid-19 sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan jadi kami berharap pelawat terus bertanggungjawab. Jika sakit, elak ke acara awam besar," nasihat Cik Vivienna.



Cik Haryani pula menubuhkan 'pasukan kecemasan' bagi semua acaranya sekarang, yang diwujudkan semasa Singapura berada di tahap Dorscon Jingga, apabila semua acara dibatalkan.



"Kami tubuhkan pasukan ini untuk menguruskan atau menangani sebarang perubahan pada dasar, penutupan atau tahap amaran disebabkan Covid-19, dan mereka perlu menyiapkan dokumen pentadbiran jika ada peraturan baru," kata beliau.



Sebagai persiapan bagi pembukaan semula acara besar, Cik Fadilah menasihatkan syarikat agar mengatur sumber dan pekerja dengan lebih baik bagi menghadapi jumlah tempahan dan pertanyaan yang bertambah nanti.



"Mereka juga boleh menggunakan masa ini memperkukuhkan usaha pemasaran untuk menarik orang awam dengan lebih baik, serta mempromosikan pakej lebih menarik dan berdaya saing.



"Peniaga juga boleh menerapkan pendigitalan bagi membantu dalam masalah tenaga kerja," ujarnya.




"Kami bersyukur keadaan kembali seperti hampir biasa dan segala usaha serta perbincangan dengan agensi dan pihak berkuasa membuahkan hasil pada hari ini.

Selepas dua tahun pameran di ekspo senyap sahaja, kami dapat berasakan keghairahan daripada peniaga dan pengguna yang tidak sabar untuk menghadiri dan menyertai acara."

- Pengurus projek kanan MegaXpress, Cik Vivienna Hamzah.



"Misalnya, kami perhatikan barangan seperti khemah, bekalan elektrik dan singki sudah meningkat sekurang-kurangnya 25 peratus.

Beberapa lokasi juga naik harga ekoran inflasi dan permintaan yang semakin bertambah."

- Pemilik MakBesar Pte Ltd, Cik Haryani Othman.



"Ini khususnya bagi perniagaan berpangkalan di rumah dan syarikat kecil dan sederhana (SME) yang boleh memanfaatkan acara seperti di ekspo, yang tertunda selama dua tahun, untuk menarik pelanggan dan meningkatkan kesedaran tentang perniagaan mereka."
- Naib Presiden, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Cik Fadilah Abdul Majid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >