DUA perusahaan makanan dan minuman (F&B) halal Singapura - Ashes Burnnit dan Padi@Bussorah - kini menempa nama di Amerika Syarikat, apabila cawangan antarabangsa pertama dibuka kepada orang ramai di kota New York kelmarin.
Cawangan mereka itu terletak di sebuah ruang penjaja bernama Urban Hawker dekat Times Square.
Ruang yang diusahakan Makansutra, yang diasaskan Encik KF Seetoh, dan syarikat Amerika, Urbanspace, itu menempatkan 18 gerai, termasuk 11 gerai oleh perusahaan F&B dari Singapura, dengan tiga daripadanya dikendali usahawan Muslim.
Selain Padi D'NYC dan Ashes Burnnit NYC, satu lagi gerai kendalian anak Melayu/Islam itu ialah Mamak's Corner, yang turut dikendali oleh restoran Padi.
Dihubungi Berita Harian, pemilik rangkaian gerai makanan Ashes Burnnit, Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, berkata ini merupakan pengalaman yang baik bagi mereka selain meraih pengalaman menembusi pasaran antarabangsa buat kali pertama.
"Bagi saya, langkah kami menebar sayap ke New York ini adalah satu pengalaman pembelajaran yang menarik sekali," ujarnya.
Bagi pemilik restoran Padi@Bussorah, Encik Hashim Ali, pula, beliau terharu penduduk tempatan di kota New York ghairah mencuba hidangan Melayu Padi serta hidangan India yang disajikan Mamak's Corner.
Laporan lanjut: