Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:08
Setempat

SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI BARU

Peniaga pakaian manfaatkan pendigitalan

Oct 20, 2019 | 05:30 AM

TERLETAK di deretan kedai bertentangan Masjid Sultan adalah jenama tempatan yang menampilkan pakaian moden Melayu/Islam fusion gabungan batik tradisional dan songket.

Tetapi lebih daripada kedai fizikal sahaja, jenama ini juga telah 'bertapak' di alam maya.

Tidak perlu lagi bagi pelanggan kedai itu untuk berkunjung ke kedai fizikal Ozel untuk membuat pilihan mereka atau tempahan, sebaliknya mereka boleh menyesuaikan pilihan pakaian mengikuti citarasa masing-masing di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Pendekatan untuk mara ke arah digital ini yang diambil pengasas butik fesyen Ozel, Encik Kamal Abdul Razak, 57 tahun.

Beliau, yang memanfaatkan laman e-dagang, Shopify, berkata: "E-dagang adalah pasaran yang bernilai lebih $300 bilion, justeru anda tidak boleh tertinggal."

Di samping memastikan beliau kekal kompetitif dari segi e-dagang, Encik Kamal juga telah mendigitalkan proses mengurus sumber manusia dan perakaunan, menggunakan pelbagai wadah dalam talian.

Menurut Encik Kamal, yang sifatnya sering memandang ke hadapan, beliau memang sudah berhasrat mahu mendigitalkan proses niaganya dari mula beliau tubuhkan butik tersebut kerana tidak mahu membuang masa mengamalkan cara yang tidak produktif.

"Contohnya, mencatat kehadiran pekerja saya. Saya tidak mahu pekerja punch kad dan saya perlu log kehadiran mereka secara manual. Saya rasa ia tidak produktif," ujar bapa dua anak itu.

Dengan fokus perniagaannya terhadap penyesuaian peribadi (customisation), Encik Kamal kini mahu mempertingkat dan memperbaiki laman e-dagang beliau.

"Kami mempunyai pakaian yang siap dipakai dan juga pakaian yang ditempah. Sebahagian besar pelangan kami memilih untuk menempah pakaian mereka. Ini bermakna mereka dapat memilih corak kain batik atau kain songket yang digemari dan memadankannya dengan warna fabrik yang sesuai. Ini akan menjadikan pakaian mereka unik dan lain daripada pakaian yang ada di pasaran.

"Saya mahu menambah ciri tambahan ini di laman web kami yang membolehkan pelanggan menyesuaikan pakaian mereka. Ini adalah langkah seterus-nya," kata Encik Kamal yang berkongsi laman yang sedia ada belum membolehkan pelanggan menyesuai padan tanpa mengunjungi kedai fizikal.

Justeru, untuk memenuhi keperluan tersebut, Pusat SME@Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) bekerjasama dengan Encik Kamal untuk menghasilkan huraian yang terbaik, dan menghubungkan Encik Kamal dengan vendor teknologi untuk membantu membangunkan prototaip laman web.

Lebih daripada itu, Encik Kamal bekerjasama dengan vendor tersebut untuk menyepadukan sistem beliau yang mengizinkannya memantau inventori dan penjualannya dari kedua-dua laman e-dagang serta di kedai fizikal menerusi sistem cloud.

Penasihat perniagaan Pusat SME@DPPMS, Encik Qamarul Solihien Daud, berkata: "Kami hidup dalam era digital di mana semua terletak di cloud, membuatkan semua mudah diakses dan di hujung jari anda. Dengan adanya huraian bersepadu, ia membolehkan pemilik perniagaan seperti Encik Kamal untuk memastikan data sentiasa terkini dan mudah diperolehi. Ini meningkatkan kecekapan dan produktiviti niaga."

Walaupun baru empat tahun mendirikan perniagaannya, yang berjaya berpindah dari pemilik tunggal ke syarikat sendirian berhad, Encik Kamal turut mempunyai cita-cita untuk menebarkan sayap niaga dengan menembusi pasaran luar negara.

Beliau berkata: "Terdapat rancangan untuk ke luar negara dan pada awalnya, kami hendak ke Filipina. Namun, kami telah mengenal pasti Indonesia sebagai pasaran terbaik untuk ditembusi. Saya mempunyai perniagaan di Indonesia, justeru saya lebih tahu tentang landskap niag di sana."

  • Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan.

AYUH SERTAI SEMINAR EKONOMI BARU ANJURAN BH/BM

Dengar perkongsian dua syarikat – Asyura Paste dan Lemaq – yang pernah manfaatkan Pusat Inovasi dan Sumber Makanan (FIRC) dan sertai satu sesi dialog bagi membincangkan isu-isu perniagaan.

Bila: Isnin, 11 November
Waktu: 2.30 hingga 5.30 petang
Tempat: Pusat Inovasi dan Sumber Makanan (FIRC), Politeknik Singapura
Tidak ada bayaran dikenakan.

Sila daftar di econ.sphevents.com.sg

Seminar turut disokong Majlis Ekonomi Masa Hadapan (FEC)

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian