Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peniaga, penganjur tikai wang sewa lebih $100,000 lepas bazar ditunda dek Covid-19

Syarikat akan bincangkan penyelesaian agar semua pihak berpuas hati
Mar 19, 2021 | 05:30 AM



SATU pertikaian kini timbul mengenai bayaran sewa - dianggar lebih $100,000 - melibatkan dua bazar yang terpaksa ditunda beberapa kali tahun lalu dek Covid-19.



Lebih 50 peniaga, termasuk dari Malaysia, telah mengemukakan keprihatinan mereka berkaitan cengkeram bagi gerai bazar CelebFest dan Twilight itu yang belum dipulangkan.



Penganjur acara itu, Adi Media Pte Ltd, berkata mereka tidak berniat "melarikan wang" tersebut dan meminta masa bagi menimbangkan semua permintaan agar ia dapat dipulangkan.



Bazar Twilight dan CelebFest masing-masing dijadualkan diadakan secara fizikal pada April dan Mei tahun lalu di Pusat Konvensyen Suntec City, tetapi terpaksa ditunda disebabkan sekatan ke atas acara besar-besaran demi mengelakkan penularan Covid-19.



Semasa dihubungi Berita Harian, beberapa peniaga itu mendakwa penganjurnya tidak mengendahkan permintaan agar wang tempahan yang telah dibayar penuh itu dipulangkan.



Menurut seorang peniaga, Syed Ali Syed Hussin, Adi Media menawarkan pilihan alternatif - peniaga menggunakan 'kredit' atau wang tersebut bagi slot bazar dalam talian - tetapi kebanyakan mereka menolaknya.



"Kami tak inginkan ruang dalam talian kerana wang yang kami bayar itu untuk gerai fizikal," katanya.



Syed Ali berkata selepas beliau mengeluarkan pos di Facebook untuk ingin tahu berapa ramai peniaga mengalami keadaan itu, lebih 50 peniaga, termasuk dari Malaysia, menghubungi beliau.



Bayaran bagi gerai bazar fizikal itu dibuat peniaga terlibat sepenuhnya seawal dua tahun lalu, berjumlah antara $500 hingga $8,000 bagi pakej berbeza.



Menurut Syed Ali, bayaran yang dibuat semua peniaga yang tampil itu berjumlah lebih $100,000.



Pemilik bersama butik Sarah Marguerita, Encik Zulkifli Baharudin, berkata beliau membayar hampir $5,800 bagi gerai di empat acara anjuran Adi Media.



Menurut Encik Zulkifli, apabila meminta penganjur memulangkan wang itu, beliau diberitahu bahawa permintaan itu tidak dapat dilakukannya.



"Penganjur tawarkan ruang dalam talian, tapi berapa banyak hasil boleh kami dapat berbanding acara fizikal? Tambahan pula mereka akan dapat komisen daripada setiap produk yang kami jual.



"Lebih baik kami lakukannya di ruang dalam talian kami sendiri," ujar beliau.



Menjawab pertanyaan Berita Harian, pengasas Adi Media, Encik Md Noor Hadi, berkata mereka sedang berusaha memberi respons terhadap keprihatinan yang dikemukakan peniaga itu.



Beliau berkata semua permintaan bagi pemulangan wang itu akan ditimbangkan berdasarkan setiap kes, dan Adi Media memerlukan masa lebih lama untuk menyemak semua permintaan.



Encik Md Noor menambah bahawa para peniaga itu faham bayaran yang mereka buat boleh ditukar menjadi 'kredit' yang boleh digunakan bagi sembarang acara anjuran Adi Media pada masa depan.



"Kami ingin tekankan bahawa dasar itu telah dilonggarkan, dan peniaga yang ingin menyimpan kredit mereka sehingga kami dibenarkan menganjurkan acara fizikal boleh berbuat demikian.



"Kami tidak akan melarikan wang mereka. Kami faham dan bersimpati akan keadaan peniaga. Untuk itu kami bersetuju tidak mengehadkan tempoh penggunaan kredit tersebut," katanya.



Encik Md Noor juga berkata Adi Media juga telah mendahulukan bayaran kepada pengendali lokasi, kontraktor dan bakat-bakat yang sepatutnya terlibat dalam acara itu.



"Kami mengalami nasib sama seperti para peniaga itu, dengan bayaran tertentu tidak dikembalikan kepada kami," katanya.



Beliau menambah bahawa syarikat itu akan membincangkan penyelesaian dengan semua peniaga berbeza agar mereka semua berpuas hati.



Sebelum ini, pelepasan daripada tuntutan kontrak tertentu, termasuk acara dan perkahwinan, diperkenal pemerintah di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara), namun tempoh bagi membuat permohonan ditutup pada 31 Januari lalu.



Ia bertujuan memberi ruang bernafas kepada pihak menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan di bawah kontrak mereka disebabkan kesan pandemik Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >