PENINGKATAN hutang di seluruh dunia mungkin akan menjadi masalah paling besar selepas pandemik Covid-19, kata pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Ravi Menon.
Sedang langkah-langkah fiskal dan kewangan di seluruh dunia buat masa ini telah menurunkan risiko kegagalan kredit dan kekurangan pembiayaan, peningkatan hutang akan memberi banyak kesan, termasuk risiko kesukaran korporat sebaik toleransi dan penangguhan pinjaman berakhir, katanya dalam satu wawancara podcast dengan presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kewangan Antarabangsa, Encik Tim Adams. Transkripnya dikeluarkan oleh MAS semalam.
"Pengumpulan hutang mungkin akan menjadi masalah nombor satu akibat pandemik Covid-19. Dan kita harus menanganinya mulai 2021," kata Encik Menon.
Tindak balas fiskal Singapura terhadap krisis itu - empat pakej sokongan dalam masa empat bulan berjumlah sekitar 20 peratus daripada hasil kasar dalam negeri (GDP) - dibantu oleh simpanan rizabnya yang sihat.
Bagaimanapun, pemerintah di tempat lain telah mengumpul jumlah hutang yang besar untuk menyokong ekonomi mereka.
Encik Adams menukil data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menunjukkan defisit anggaran di Amerika Syarikat telah meningkat menjadi 6 peratus GDP, dengan hutang meningkat sebanyak AS$17 trilion ($24 trilion).
Mengenai hutang korporat, ia sudahpun tinggi sebelum wabak dan sekarang meningkat di banyak tempat di dunia, katanya dalam podcast pada 28 Mei itu.
"Sekiranya keadaan Covid-19 tidak dibendung, hutang itu akan terus meningkat, kualiti kredit akan merosot dan risiko kredit akan mula meningkat.