PENIPUAN pancingan data melibatkan e-mel palsu daripada Netflix muncul semula dengan sekurang-kurangnya lima orang menjadi mangsa tipu muslihat ini pada Julai, kata polis.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (18 Julai), polis berkata keseluruhan wang yang lesap daripada penipuan ini berjumlah sekurang-kurangnya $12,500.
Dalam penipuan ini, mangsa awalnya menerima e-mel daripada sumber yang dipercayai seperti Netflix yang mengandungi pautan untuk memperbarui langganan.
Apabila mereka klik pada pautan ini, mangsa akan diarahkan semula ke laman pancingan data di mana mereka diminta memberikan butiran kad kredit atau debit mereka serta kata laluan sekali atau OTP.
Mangsa akan mengetahui bahawa mereka telah ditipu hanya apabila mereka menemui transaksi tidak disahkan yang telah dibuat dengan menggunakan kad kredit atau debit.
Polis berkata orang ramai harus mengambil langkah berjaga-jaga apabila mereka menerima e-mel serupa yang mendakwa daripada sumber dipercayai seperti Netflix.
Ini termasuk memastikan domain e-mel itu sama seperti peniaga yang meminta bayaran dan memeriksa jika pautan laman itu nampak mencurigakan.
Polis menambah orang ramai harus mengikuti langkah pencegahan jenayah seperti tidak klik pada pautan yang disediakan dalam e-mel yang tidak diminta ini dan pesanan teks lantas mengesahkan kesahihan maklumat dengan laman atau sumber rasmi, dan tidak mendedahkan maklumat perbankan peribadi atau Internet mahupun OTP kepada sesiapa.
Orang ramai juga harus melaporkan sebarang bayaran kredit atau debit yang berbentuk penipuan ini kepada bank berkenaan dan membatalkan kad mereka dengan segera, tambah kenyataan itu.